Jawatan dipecat jika guna telefon sambil memandu
Drp BERNAMA Dipetik oleh Alex (Migrant Care Malaysia) - Laman M@RHAEN


 

PUTRAJAYA: Berfikirlah dua kali sebelum menggunakan telefon bimbit tanpa kit bebas tangan semasa memandu kerana perbuatan itu bukan sahaja boleh menyebabkan anda disaman tetapi juga dibuang kerja.

Ya, anda boleh dipecat kerana melakukan kesalahan itu sekiranya anda seorang kakitangan Unilever (Malaysia) Holding Sdn Bhd.

Pengarah Sumber Manusia dan Perhubungan Korporat syarikat berkenaan, Nik Mustapha Nik Mohamed berkata peraturan itu telahpun wujud sejak tahun lepas sebagai sebahagian daripada usaha syarikat itu untuk mendidik kakitangannya mengenai keselamatan jalan raya.

"Keselamatan jalan raya adalah aspek yang penting dalam perniagaan kami memandangkan kakitangan kami di lapangan sering melakukan perjalanan terutamanya untuk tujuan jualan, pemasaran dan pengedaran produk.

"Jadi, tiada kompromi dalam keselamatan jalan raya bagi syarikat kami," katanya kepada pemberita tanpa menjelaskan kaedah yang digunakan oleh syarikat berkenaan untuk memantau kakitangannya yang melakukan kesalahan itu.

Ditanya sama ada terdapat kakitangan yang telahpun dipecat setakat ini kerana kesalahan itu, beliau berkata: "Tidak, mungkin mereka takut kehilangan kerja."

Terdahulu, Nik Mustapha menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Automotive Centre of Excellence (ACE) yang akan mengendalikan kursus latihan defensif untuk kakitangan Unilever.

ACE diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Scott Gibson manakala Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh menyaksikan upacara itu yang diadakan di pejabat JKJR di sini.

Nik Mustapha berkata kakitangannya yang ditangkap kerana memandu di bawah pengaruh alkohol semasa bertugas juga akan menghadapi hukuman serupa.

"Dalam kes membabitkan majlis anjuran syarikat dengan minuman beralkohol dihidangkan kepada kakitangan bukan Islam, syarikat akan menyediakan pengangkutan untuk mereka," katanya.

Suret mengalu-alukan inisiatif keselamatan jalan raya yang diambil oleh Unilever dan berharap lebih banyak syarikat akan menuruti jejak syarikat itu, sambil menambah Malaysian Oxygen Berhad, Lafarge Malayan Cement Berhad, Petronas, Shell, Mobil dan Caltex sudahpun melaksanakan inisiatif yang sama.

Beliau berkata CEO perlu memikul sepenuh tanggungjawab bagi menggalakkan budaya keselamatan jalan raya dalam organisasi masingmasing sebagai keutamaan mereka, termasuk daripada aspek pengurusan kenderaan, pengurusan pemandu serta pengurusan risiko dan perjalanan. BERNAMA
 

Dipetik oleh
Alex Ong
Migrant CARE
Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat
(Member of Migrant Forum in Asia and International NGO
Platform on Migrant Workers' Convention)

Jl. Pulo Asem I C No 15 RT 015 RW 001 Jati,
Jakarta Timur 13220 Indonesia
Telp/Fax: +62 21 4752803
E-mail: alexmigrantcare@gmail.com
migrantcare@nusa.or.id
Website: www.buruhmigranberdaulat.blogspot.com

17.05.2008


Ditaja oleh:


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Emel