![]()
Kenyataan Media Angkatan Muda PKR
AMK SAMBUT BAIK LANGKAH KERAJAAN KAWAL HARGA BERAS Laman M@RHAEN
![]()
Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyambut baik 5 langkah yang diambil kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga beras. 5 langkah ini diharap dapat meringankan beban pengguna buat sementara.
Namun begitu, sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang, kerajaan harus meningkatkan pengeluaran padi negara ke tahap mampu diri. AMK turut bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk meneroka kawasan baru serta tanah terbiar untuk tanaman padi, penggunaan benih padi yang bermutu, perlaksanakan kaedah pertanian yang berkesan, menaiktaraf sistem pengairan serta memberi insentif galakan kepada petani.
Namun begitu, kaedah perlaksanaannya harus dikaji semula memandangkan kaedah yang digunapakai sekarang tidak mendapat hasil yang diharapkan. Menurut perangkaan, keluasan kawasan tanaman padi di Malaysia pada tahun 2007 dianggarkan hanya 670,000 hektar berbanding 699,000 hektar pada tahun 2000, menurun 29,000 hektar. Manakala kadar pengeluaran padi bagi tahun 2006 hanya 2,154,000 tan metrik, berbanding 2,278,000 tan metrik pada tahun 2004, penurunan sebanyak 124,000 tan metrik. AMK mendesak kerajaan menjelaskan kepada rakyat, kemanakah wang peruntukan sebanyak RM 2.3 bilion untuk subsidi padi bagi tiga tahun yang lalu dibelanjakan.
Walaupun diberi subsidi, namun kenaikan kos input pertanian seperti baja, racun dan jentera harus diberi perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan. Kenaikan kos input pertanian tersebut begitu membebankan pesawah kecil hingga menghilangkan minat mereka untuk melaksanakan aktiviti pertanian secara bersungguh-sungguh akibat margin keuntungan yang kecil. Dilaporkan, purata pendapatan kira-kira 70,000 pesawah di Kedah hanya RM 180 bagi setiap relung padi yang dituai.
Dalam masa yang sana, peranan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang ditubuhkan pada tahun 1994 berikutan pengkorporatan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) harus diambil kira. Difahamkan, harga padi yang ditawarkan oleh Bernas adalah jauh lebih rendah dari harga padi yang ditawarkan oleh pengilang-pengilang padi yang lain. Justeru, para pesawah lebih cenderung untuk menjual hasil tuaian mereka kepada pengilang lain. Ini menyebabkan Bernas hanya menguasai 15 peratus pasaran beras tempatan, sedangkan pasaran beras importnya menjangkau 30 peratus dari pasaran beras dalam negara. Hasilnya, Bernas kehilangan kawalan dalam menstabilkan harga beras tempatan.
Bagi memastikan Bernas masih dapat mengawal harga serta bekalan beras yang mencukupi, AMK mencadangkan Bernas menawarkan harga padi kepada pesawah dengan kadar harga yang kompetitif dengan pengilang-pengilang yang lain untuk mengekalkan penguasaan pasaran beras tempatan, sekaligus dapat mengawal harga beras tempatan daripada dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. AMK juga bertegas dengan pendiriannya menggesa Bernas menunaikan tanggungjawab korporatnya dengan memastikan bekalan beras yang mencukupi serta harga beras di dalam negara dapat berada di tahap yang kompetitif sebagai balasan monopoli pasaran beras import di negara ini.
Hasmuzair Hassan
Exco Angkatan Muda
Timb Pengerusi Biro Hal Ehwal Kepenggunaan AMK
Parti Keadilan Rakyat
Surat dari Aisyah r.ha. untuk Khalifah Muawiyah berbunyi begini:
Aku dengar Rasulullah SAW bersabda:
Siapa yang mengusahakan keredhaan Allah sampai dikesali manusia, dia akan disokong Allah dalam menghadapi manusia. Dan siapa yang membelakangkan Allah agar disenangi manusia, nasibnya akan diserahkan Allah pada manusia itu.Oleh itu tetaplah hati tuan dalam takut pada Allah kerana bila tuan takut pada Allah, Dia akan menyokongmu terhadap manusia. Tetapi kalau tuan takut pada manusia, mereka tidak akan dapat menolongmu terhadap Allah.
Biro Penerangan
Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
No 110-4, Jln Tun Sambanthan, Brickfields, 50470 Kuala Lumpur
Laman Web Rasmi: http://www.angkatanmuda.org
Emel: penerangan@angkatanmuda.org16.05.2008
Laman M@RHAEN dihoskan di: http://www.marhaen.org/v1 Tapak cerminan di: http://www.marhaendaily.net/v1
Ditaja oleh:![]()
Emel