Kalam Perantau: 
16 September Tarikh Pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat?

Oleh Mohd Shuhaimi Al-Maniri - Laman M@RHAEN


 

Tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah dalam usaha untuk menyelamatkan kerajaannya. Sekiranya beliau tidak bersedia mengadakan ”kerajaan perpaduan” dengan parti-parti pembangkang, beliau terpaksa bergantung kepada kerenah parti-parti politik BN dari Sabah dan Sarawak  untuk terus berkuasa diperingkat pusat kerana kekuatan politik BN dan PR di Semenanjong adalah seimbang.

Melihat kepada ketidakpuasan hati Ahli Parlimen Sabah, saat-saat kejatuhan kerajaan Barisan Nasional hampir tiba. Ucapan dua Ahli Parlimen UMNO dari Sabah yang menolak jawatan Timbalan Menteri, Dato’Anifah Aman (Kimanis) dan Abdul Ghafur Salleh (Kalabakan) secara jelas menunjukan mereka mahu kerajaan baru yang lebih adil dan saksama dibentuk segera.

Anifah dalam ucapannya di Parlimen menyebut Ahli Parlimen Sabah akan berhijrah kepada pembangkang sekiranya perlu dan tidak merasa sayang untuk meningalkan BN yang baginya menyakitkan hati. Mereka berkias sanggup meninggalkan rumah banglow (BN) untuk tinggal di rumah teres (Pakatan Rakyat) kerana apa guna berada di dalam banglow kalau diletakkan di tepi tandas.

Abdul Ghafur pula dalam ucapannya memberi reaksi yang sama menjelaskan Ahli Parlimen Sabah akan melakukan jika perlu untuk berbuat begitu. Beliau mengungkit soal Sabah dianaktirikan, layanan double standard dalam membawa pembangunan infrastruktur dan pendidikan serta mencabar PM agar merombak semula Kabinet dengan memberikan  jawatan menteri penting kepada Sabah kerana peruntukan tiga kerusi menteri kepada ahli Parlimen Sabah yang merupakan kerusi tidak penting sebagai penghinaan kepada rakyat Sabah.

Selain daripada membangkitkan isu tersebut, beliau juga meminta  royalti minyak dinaikan 20 peratus daripada kadar5 peratus sekarang untuk dimasukan ke dalam tabung pembangunan Sabah. Ini selaras dengan tawaran pembangkang sekiranya Ahli Parlimen Sabah menyokong Pakatan Rakyat royalti minyak sebanyak 20 peratus akan diserahkan kepada Sabah.

Sekarang perbahasan menjadi semakin panas dan menarik. Apakah Pak Lah terpaksa akur kepada kehendak dan tuntutan Ahli Parlimen UMNO Sabah atau membiarkan sahaja. Jika dibiarkan risiko terhadap kerajaan BN pimpinannya amat tinggi kepada BN.

Dalam beberapa minggu lepas saya menulis berhubung dengan teori RAHMAN yang selama ini dipercayai sebagai petunjuk kepada Perdana Menteri Malaysia seterusnya selepas Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6.

Teori RAHMAN menjadi semakin menarik. Adakah ianya akan berlaku sebagaimana diramalkan. ’N’ tersebut adalah Dato’ Seri Najib  jika Pak Lah bersedia melakukan peralihan kuasa sebagaimana dirancangkan oleh Tun Mahathir sebelum beliau bersara bagi melengkapkan teori tersebut.
Manakala seorang pengkaji politik yang lain pula menyebut, ’N’ tersebut singkatan kepada ’New Government’ diterajui oleh Pakatan Rakyat yang tidak akan terikat lagi dengan teori tersebut. Parti Keadilan Rakyat mensasarkan tarikh ulangtahun  pembentukan Malaysia pada 16hb. September sebagai tarikh keramat untuk penubuhan kerajaan baru seperti yang dilaporkan dalam lidah rasmi parti tersebut, Suara Keadilan .

Abdul Hadi Perdana Menteri sementara !

Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipersetujui oleh  parti-parti Pakatan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri kerajaan Pakatan Rakyat (PR) masih berteka teki sama ada untuk bertanding dalam pilihanraya kecil sebelum atau selepas pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat.

Anwar ada menyebut, jika belum sempat menjadi Ahli Parlimen ketika kerajaan Pakatan Rakyat dibentuk, beliau akan melantik isterinya, Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ketua Pembangkang penggal ini sebagi Perdana Menteri sementara.

Jika Wan Azizah dilantik sebagai Perdana Menteri, saya percaya ramai tok-tok guru pondok yang menjadi pendokong setia perjuangan PAS selama ini akan mengkaji balik sokongan mereka kepada PAS kerana  melantik perempuan sebagai pemimpin, selain terpaksa membuka semula kitab-kitab untuk mencari hujah yang boleh menyakinkan pengikut-pengikutnya berhubung dengan ayat al-Quran bermaksud, “Lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita (An-Nisa’ :34) dan hadis bermaksud, “tidak akan berbahagia satu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada perempuan”.

Jika dipaksakan kepada PAS menerima keadaan ini adalah sepertimana DAP memaksa PAS menggugurkan ideologi perjuanggan Islamnya. Tidak mustahil PAS akan berhadapan dengan perpecahan dikalangan pengikutnya kerana ramai yang menyertai PAS kerana perjuangan Islamnya yang berteraskan kepada kepimpinan ulamak.

Kedudukan orang-orang melayu dalam kerajaan Pakatan Rakyat tidak bermakna tanpa penyertaan PAS, yang berpengaruh dikalangan oleh Melayu. Selain dari UMNO, PAS adalah alternatif kepada orang Melayu.

Jika Anwar tidak menjadi Ahli Parlimen, jika kerajaan Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan, kaedah yang diamalkan oleh Parti Keadilan & Pembangunan (AKP) di Turki boleh dijadikan panduan.

Ketika Tayyib Erdogan yang disebut-sebut sebagai Perdana Menteri baru Turki tetapi  tidak dibenarkan bertanding ketika pilihanraya diadakan, beliau tidak menamakan isterinya, sebaliknya, beliau memilih Abdullah Gul sebagai Perdana Menteri sementara bila AKP membentuk kerajaan. Bila Tayyib Erdogan dipilih sebagai Ahli Parlimen, Abdullah Gul meletakan jawatan Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada beliau menjadi PM.

Dalam kes ini, saya rasa Anwar tidak wajar menjadikan politik Malaysia ini sebagai politik keluarga. Beliau boleh memilih rakannya,  Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS  yang telah berpengalaman menjadi Menteri Besar Terengganu sebagai Perdana Menteri sementara seperti yang dilakukan oleh AKP di Turki.

Bukan Pakatan Rakyat sahaja hendakkan kerajaan berubah. Malah  Ahli Parlimen (Bebas-Pasir Mas), Dato’ Ibrahim Ali mencadangkan kepada parlimen agar kerajaan yang mengalami krisis kepimpinan hari ini menukar kepimpinan negara. "Saya nak cadangkan jika rakyat sokong Yang Amat Berhormat Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri Malaysia," katanya bersungguh.

Saya juga diberitahu, ketika UMNO menyambut hari ulangtahunnya ke-62 pada 11 Mei, 2008, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang telah mengumumkan seorang tokoh akademik dari sebuah universiti terkemuka yang juga  penasihat kepada seorang Menteri akan dilantik sebagai Setiausaha Politiknya yang baru.

Jika ini berlaku, saya yakin lebih ramai ahli-ahli akademik akan turut serta berhijrah kepada Pakatan Rakyat kerana mereka mahu lepas dari kongkongan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dipaksakan ke atas mereka sejak tahun 1974 lagi.
 

18.05.2008

Laman M@RHAEN dihoskan di: http://www.marhaen.org/v1
Ditaja oleh:


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Emel