TAG 1829-14:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 14
Menabalkan Seorang Raja
(Crowning the king)
Laporan Khas Malaysia Today  - Laman M@RHAEN
Satu ketika dulu, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, pernah berjenaka betapa dia senang hati dengan tugasnya sehingga tidak ingin melepaskan jawatan itu secara tergesa-gesa. Malahan, dia pernah berkata secara berseloroh juga bahawa Timbalannya, Tun Razak masih muda lagi untuk menjadi sebagai seorang pengganti. Memanglah, Tunku bergurau senda seperti biasa. Akan tetapi, peristiwa itu lama terpahat di minda Tun Razak sehinggakan dia mula naik jengkel dibuatnya. Selang beberapa tahun selepas itu Tunku mula merasakan tindakan balas Tun Razak yang mula mual dan merasakan betapa takhtanya dirampas sejurus meledaknya peristiwa 13 Mei 1969.

Beginilah laluan golongan putera mahkota yang sudah menghampiri kuasa singgahsana, selalunya amat peka akan ketidakstabilan kedudukan mereka. Selagi mereka tidak mengecapinya, kedudukan mereka tetap goyah laksana telur di hujung tanduk. Seseorang raja sesungguhnya mempunyai kuasa ke atas seseorang putera mahkota dan golongan ini selalunya terpaksa berdepan dengan raja yang perkasa ataupun seseorang yang menjadi gila kuasa disebabkan terlalu lama mencengkamnya.

Pada waktu ini, walaupun zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi baru sahaja muda usianya, nampak sangat pertanda betapa goyahnya cengkaman kuasa itu. Raja yang lemah sudah tentu sukar menyerlah. Putera mahkota pula terlalu ghairah menyambar peluang untuk memainkan peranan itu. Harus difahami dengan nyata bahawa walaupun Najib Tun Razak adalah orang yang bakal menggantikan Abdullah, dan Anwar Ibrahim merupakan orang mengidam yang tak sudah, pengganti sebenar kepimpinan Abdullah nanti ialah menantunya, Khairy Jamaluddin. Pada usia muda 30 tahun, Khairy sudah ternyata merupakan Peneraju Masa Depan yang tidak ada tolok bandingnya.

Khairy tentu sedar betapa rapuhnya kedudukan beliau kini. Walaupun merasa selamat gara-gara talian jodohnya, dia tidak boleh begitu taksub dengan kepercayaan yang dia masih selamat kerana kedudukan Abdullah yang begitu kurang meyakinkan sebagai nakhoda peneraju bahtera negara. Khairy perlu menjadi seorang raja secepat mungkin ataupun menggantikan bapa mertuanya dengan seorang manusia yang terhutang budi kepadanya. Sejak kebelakangan ini keperluan itu semakin terdesak lagaknya. Keadaan tidak stabil sudah semakin menular dalam kerajaan Abdullah setelah rakyat Malaysia sedar betapa orang yang begitu kuat mereka sokong semasa pilihan raya umum dulu masih tidak mampu menunaikan segala janji yang dikatakannya.

Pada November 2003, semasa Abdullah naik takhta sebagai Perdana Menteri, Khairy pernah berkata kepada kawan-kawannya betapa dia mahu melihat mantan Perdana Menteri Dr. Mahathir dipenjarakan, bersama-sama Daim Zainudin dan beberapa penyangak di zaman mereka. Dua tahun sudah pun berlalu, Mahathir masih perkasa membuktikan yang dialah sebenarnya seorang raja. Dunia politik Malaysia masih diperkotak-katik secara remot sahaja yang ternyata memang begitu stailnya sejak dulu. Mahathir telah berani mencabar kuasa Abdullah dengan mendedahkan isu AP dengan muslihat bahawa kerajaan Abdullah adalah lebih korup berbanding kerajaannya dulu. Malahan dalam banyak hal, Mahathir telah menunjukkan yang dia bukan mudah diketepikan. Abdullah memang sedar yang dia tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya, walaupun dalam hal ehwal UMNO, tanpa memikirkan dulu apa pendapat Mahathir mengenai setiap perkara itu.

Sebagai contoh eloklah kita ambil kisah pelantikan Mahadzir Khalid sebagai Pemangku Menteri Besar Kedah. Semua orang tahu betapa Menteri Besar yang ada, Syed Razak sudah kurang bertenaga dan uzur sejak beberapa bulan. Namun, Abdullah mengambil masa yang lama untuk melantik seorang pemangku Menteri Besar, bukan disebabkan ketiadaan calon. Abdullah sendiri yang membuat pengakuan kepada satu rombongan yang dianggotai timbalan menteri UMNO Kedah dan ahli Exco, bahawa Syed Razak tidak boleh diketepikan kerana beliau adalah orang Mahathir. Demikianlah lembiknya Abdullah Badawi, sehingga dia telah terhalang untuk melantik orang-orangnya sendiri sebagai Menteri Besar Perlis, Kedah, Selangor, Johor dan Sabah. Hanya di Negri Sembilan, Abdullah berjaya meletakkan calonnya sebagai pemimpin utama di negeri itu.

Najib Tun Razak memang sudah jelas amat mengecewakan. Walaupun mulut dia sentiasa berbuih mengulang laungan pembaharuan yang digesa oleh Abdullah, Najib ternyata bersikap dingin dalam menyokong dasar-dasar Abdullah. Malahan dalam isu AP. Najib yang memang tidak rapat dengan Rafidah, hanya memainkan peranan seorang jurucakap, seolah-olah dia berlakon dalam drama mainan di sekolah rendah. Najib terlalu berhati-hati, tidak bersedia bersuara lantang mempertahankan ketuanya, kerana wujudnya kesedaran kalau berlaku sesuatu kepada ketuanya, dialah yang akan menggantikan tempatnya.

Inilah yang membuatkan Khairy sukar tidur di malam hari, mencongak akan segala rencana yang dilakar dua tahun dulu lagi, dan masih lagi tidak berapa menjadi.. Khairy masih merasakan bahang ancaman kepada impiannya untuk menjadi seorang Perdana Menteri Malaysia yang paling muda. Dia amat mengharapkan ketokohan Anwar dapat membantu sejurus dia berjaya memujuk Abdullah menerima Anwar kembali menganggotai UMNO. Akan tetapi Anwar pun sudah semakin kehilangan kilauannya. Gara-gara terlalu kerap berada di luar negara, Anwar sudah semakin renggang dengan para penyokong kuatnya dengan memilih bulu seperti mana dia berlagak semasa masih berkuasa dulu. Yang lebih penting lagi, Anwar sudah gagal menunaikan janji untuk memimpin puak pembangkang ataupun membawa pulang dana yang amat diperlukan daripada dermawan luar seperti yang pernah dijanjikannya. Kegagalan beliau memujuk DAP menerima PAS, yang merupakan usaha utama beliau semasa pilihan raya umum 1999 dulu, ternyata mencalar keupayaannya.

Pucuk kepimpinan PAS sudah semakin mencurigai Anwar dan para pembantunya. Mereka amat sedar betapa Anwar masih intim dengan Khairy dan berhasrat mahu rujuk kepada UMNO dan menerajuinya semula. Walaupun dua pemimpin utama PAS, presidennya, Abdul Hadi Awang dan Ketua Metneri Kelantan, Nik Aziz Nik Mat, masih menghormati Anwar setiap kali dia ebrada di wilayah mereka, ramai pemimpin PAS yang lain, trermasuk golognan profesional dalam parti terus mengadakan pertemuan rahsia merancang strategi bagaimana bertindak seandainya Anwar memeranjatkan mereka mengenepikan puak pembangkang hanya kerana mahu berada dalam UMNO semula.

Ada seorang naib presiden PAS yang telah bertemu sendirian dengan Khairy. Mereka bertemu dua bulan dulu di sebuah bilik di Crown Princess Hotel, Kuala Lumpur. Pertemuan itu adalah tidak formal tetapi ada dua perkara yang telah mereka bincangkan. Pemimpin PAS itu telah memberitahu Khairy bahawa Anwar tidak akan berjaya membawa PAS menganggotai BN semula. Ini merupakan satu tindakan di mana Abdulah Badawi pernah memainkan peranan utama di tahap awal kepimpinan kerajaan Tun Razak. Kedua, Khairy telah memberitahu pemimpin PAS itu bahawa walaupun Anwar memang sedia diterima balik oleh UMNO, partinya PKR mesti dibubarkan dulu sebelum kemasukan Anwar dapat diterima semula.

Walaupun Anwar menafikan ini secara terbuka, Anwar tetap tidak muak memberitahu pendengarnya betapa UMNO kerap menghantar pesanan agar dia menimbangkan semula untuk menganggotai parti itu. Beberapa hari yang lalu di Kota Bharu, Anwar ada menyebut perihal seorang mantan Menteri Besar dan beberapa pemimpin bahagian UMNO menjemput beliau rujuk semula untuk mereformasikan UMNO. Para pendengarnya tentu lebih yakin akan cakap-cakap Anwar kalaulah dia berani menyebut nama mereka secara terus terang.

Mantan Menteri Besar itu ialah Osman Aroff, seorang ahli politik Kedah yang begitu terkenal dengan korupsi yang amat tinggi dan kini laksana kucing kurap sahaja di kalangan pucuk kepimpinan UMNO. Osman Arof pernah menjadi orang suruhan Anwar di Kedah, dalam usaha memerangi pengaruh penjilat utama Mahathir di sana yang bernama Sanusi Junid. Tetapi, Osman Arof sudah tidak berpengaruh lagi dan tidak dihiraukan oleh sesiapa. Pemimpin bahagian yang Anwar maksudkan itu termasuklah Afifuddin Omar, seorang loyalis Anwar yang cuba bermain peranan yang sama dengan Abdullah tetapi tertipu juga apabila diberikan kerusi negeri sebagai ganti kepada kerusi dan jawatan Parlimen yang amat ditagihnya.

Semua manusia ini berjumpa dengan Anwar kerana tidak ada orang lain yang bersedia menemui mereka.

Sejak Khairy meninggalkan pejabat Perdana Menteri, Abdullah sudah mula menerima laporan khas Cawangan Khas (SB) di rumahnya dengan selesa dan tidak lagi di pejabatnya. Alasannya? Untuk membolehkan Khairy muncul semasa taklimat diberikan, seolah-olah secara kebetulan sahaja dan membolehkan beliau menarik kerusi yang terdekat untuk mengetahui maklumat rahsia yang dibincangkan.

Dalam hal ehwal yang bersangkutan dengan Anwar Ibrahim, Khairy diberikan tugas khas untuk menilai maklumat SB itu semua dan merancang satu strategi khas untuk bapa mertuanya. Abdullah sedar betapa Anwar adalah lebih penting kepada Khairy kalau dibandingkan kepada keperluannya sendiri. Lagi pun kalau ada usaha membawa Anwar semula memasuki UMNO, ia akan mengilaukan masa depan Khairy sebagai seorang tokoh politik yang berwibawa di hari muka. Anwar pula dijangka dapat memberikan sokongan kepada Khairy kalau diasak oleh Najib. Akan tetapi, di waktu yang sama Abdullah sedar segala usaha membawa Anwar semula akan mencetuskan satu keadaan di mana dia sendiri akan berdepan dengan gerakan bersepadu yang datang daripada Mahathir dan Najib. Kerana itu, helah membawa masuk Anwar adalah usaha untuk Khairy menonjolkan dirinya sebagai calon tengku mahkota yang mahu naik menjadi raja yang berdaulat dan berkuasa.

Yang peliknya, Anwar tidak pernah menceritakan urusannya dengan Khairy kepada umum. Tetapi, secara peribadi, Anwar memang mengagumi Khairy sehingga satu tahap seolah-olah dia cemburu juga. Tidak kiralah apa kelemahan Khairy, Anwar menganggap beliau sebagai kunci utama untuk pulang semula ke pangkuan UMNO dan kuasa. Khairy juga merupakan kunci utama Anwar untuk menyerang balas Mahathir Mohammad. Walaupun perkara ini boleh dianggap aneh, orang dalaman Anwar sudah diberikan panduan bukan sahaja menghormati Khairy, tetapi cuba merapati penasihat Khairy seperti Omar Ong dan Ahmad Zaki Zahid.

Politik mempunyai pasang surut yang sungguh aneh, kerana sukar diramal dengan tepat sekali. Dalam beberapa minggu yang mendatang, lakonan ini akan dimainkan sehingga kemuncaknya. Beberapa tindakan sedang dirancang oleh pihak Khairy dan juga oleh pihak lain yang terlibat dalam drama ini yang akan memuncak dan membawa perubahan kepada warna politik Malaysia. Khairy sedang berdepan dengan satu ujian besar dalam kerjaya politiknya yang begitu singkat tetapi cepat naik mencanak.

Bersambung ke Bahagian 15:   Permainan Berisiko Tinggi

- MalaysiaToday

Hikayat Khairy Jamaludin:  Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 2122 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan

TerjemahanMT-SPAR  - 06.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN