TAG 1829-16:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 16
Dinding Yang Boleh Bersuara
(The walls that talk)
Laporan Khas Malaysia Today  - Laman M@RHAEN
Rencana Khairy Jamaluddin membawa masuk Anwar Ibrahim kembali ke pangkuan UMNO adalah sebagai mengimbangi kuasa yang ada pada bakal pengganti jawatan Perdana Menteri, Najib Tun Razak sambil berusaha melonjakkan kedudukannya di persada parti. Rencana ini sudah mendekati garisan penentu setelah terjalinnya pertemuan antara Abdullah Ahmad Badawi dengan Anwar Ibrahim

Walaupun kedua-dua pihak bersikap dingin mengenai pendedahan isu itu, telah ada beberapa laporan yang menunjukkan agenda utama ialah menyediakan laluan mudah untuk Anwar kembali semula menganggotai UMNO. Namun masih ada hambatan kepada usaha itu: Anwar enggan memohon pengampunan (walaupun dia tidak akan menolak seandainya pengampunan itu diberikan padanya) dan lebih suka diterima balik berasaskan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membuktikan dia tidak bersalah. Sebaliknya Abdullah dan Khairy mahu Anwar dibawa masuk hanya kalau jelas dan nyata bahawa Anwar masuk atas budibicara Presiden UMNO – dengan ini ia membawa erti bahawa Anwar akan terus berhutang budi kepada Abdullah.

Namun, hari demi hari segala hambatan ini nampaknya sudah tidak menjadi begitu membebankan lagi. Anwar sendiri sedar betapa partinya PKR terlalu sibuk dengan kemelut dalaman yang berpuak-puak sehingga tidak dapat menarik minat majoriti marhaen setidak-tidaknya bagi masa yang terdekat. Segala usaha memperkasakan PKR hanya akan memberi hasilnya bagi jangka yang panjang dan Anwar tidak sabar menunggu terlalu lama. Rakan beliau di pihak pembangkang tidak pula terdaya memecahkan kebuntuan perkauman untuk melonjakkan Anwar naik ke persada kuasa. Yang tinggal hanyalah satu sahaja: UMNO

Khairy juga sedar akan kesempitan masa . Hari demi hari Abdullah semacam tidak mampu menunaikan janji lama yang dibuat sebelum pilihan raya umum yang lalu. Pasukan Mahathir sudah berjaya mengocak suasana yang sukar untuk ditentang oleh Abdullah. Suasana ‘kelegaan’ yang dirasakan dulu sudah lama menghilang dan kejayaan awal meyakinkan rakyat marhaen akan perang membasmi korupsi ternyata sudah hilang ghaib. Yang lebih penting lagi, Najib semakin cepat bersekongkolan dengan kuasa lain untuk menentukan pasukannya dapat menguasai akar umbi - sebagai persiapan menghadapi pemilihan pucuk pimpinan UMNO yang akan datang.

Kita harus ingat bahawa kebanyakan ketua bahagian UMNO sekarang ini pernah berkhidmat bersama Najib semasa beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO pada 1980-an. Ini bererti dia mempunyai sokongan akar umbi yang tidak ada pada Abdullah dan belum lagi dapat dilakar oleh Khairy. Pada waktu yang sama, Najib boleh menyandarkan harapan kepada sepupunya supaya menentukan Pergerakan Pemuda UMNO tidak terlalu condong pada  telunjuk Khairy. Dia juga menerima bantuan anak-anak Mahathir yang giat menyediakan barisan kelima dalam pergerakan Pemuda UMNO untuk menampan keghairahan Khairy. Inilah jaminan legasi (warisan) Mahathir dan kejayaan mereka itu diukur beberapa bulan yang kebelakangan ini kepada kesilapan Khairy yang percaya bahawa Najib dan pegawai beliau telah membuat usaha serius untuk bersekutu dengan agenda Abdullah. Ini memerlukan sedikit usaha menghantar SMS yang memuji ucapan Khairy pada persidangan Pemuda UMNO dulu sebagai satu gambaran yang dia mendapat pujian Najib. Tetapi Najib bukan calang-calang ahli politik kerana sudah lama bergelumang begitu berbanding Khairy yang masih hingusan tetapi berani sangat mengetepikan ejekan dan sindiran yang dibuat oleh anggota pergerakan pemuda Umno pada tahun lalu.

Namun demikian, usaha Khairy mengenakan pukulan maut telah dihalang oleh keadaan dinding yang pandai bersuara. Atas alasan sendirian yang aneh, kawan dan musuh Khairy menganggap penting usaha membocorkan maklumat mengenai urusan Khairy dengan Anwar Ibrahim. Inilah yang menyukarkan usaha Khairy kerana berbeza dengan keadaan silam dia tidak punya kuasa untuk menguasai hal ehwal kebocoran rahsia itu. Khairy tidak dapat menutup lubang kebocoran itu kerana kebanyakan kebocoran tidak dapat dikawal oleh Khairy ataupun oleh bapa mertuanya. Kebocoran yang terus mengalir keluar itu membuatkan Khairy sentiasa sibuk memeranginya. Khairy perlu menepis keraguan rakannya yang berpolitik dalam UMNO. Najib tidak lagi mempercayai beliau dan ada kalanya ketuanya dalam pergerakan UMNO, Hishamuddin Hussein mendapati sukar untuk terlalu mempercayai bahawa Khairy memberikan kesetiaan yang tidak berbelah-bagi padanya.

Yang lebih penting lagi, pemimpin UMNO tidak lagi yakin apakah haluan Khairy di masa depan disebabkan putar belit sahaja. Khairy telah menyebabkan Ali Rustam dan Muhiyuddin Yassin mengambil sikap berhati-hati. Malahan, mereka dan juga pemimpin lain seperti Khir Toyo sudah begitu sedar bahawa seandainya Anwar dibawa balik menganggotai UMNO, hanya Khairy yang akan meraih keuntungan . Pihak yang lain terpaksa berhati-hati menjeling kanan dan kiri akan pergerakan para penyokong setia Anwar yang sudah lama diperam sejak tujuh tahun yang silam. Para penyokong ini sudah tentu menanti peluang untuk membalas dendam terhadap para pemimpin yang naik mencanak mengisi kelompongan yang wujud selama itu.

Sudah tentu Khairy akan menyokong mereka. Menyingkirkan Khir Toyo akan bererti memperkasakan kedudukan Khairy dalam Pemuda UMNO. Penyingkiran Ali Rustam akan mencetuskan dua kekosongan dalam pucuk kepimpinan yang dapat diisi oleh orang-orang Khairy. Setakat ini Timbalan Ali Rustam dalam pergerakan 4B, Noh Omar sudah pun menjeling-jeling akan kerusi itu sebagai langkah memperkasakan kedudukan beliau menaiki tangga kuasa.

Sekutu bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad sudah lama sedar betapa ‘budak hinguih’ (gelaran Mahathir terhadap Khairy) merupakan bahaya kepada kerjaya politik mereka. Yang lebih penting lagi, anak-anak Mahathir sedar kemaraan Khairy bererti akan terkikisnya legasi bapanya yang berusia 22 tahun itu.

Kem Anwar sesungguhnya bercakap macam burung murai. Mereka perlu meneruskan propaganda bahawa Anwar masih relevan dan menunjuk-nunjuk bahawa Ezam masih lagi mempunyai peranan dalam parti. Pertemuan itu juga menunjukkan bahawa Anwar masih lagi berharga dalam politik Malaysia. Hakikat bahawa Ezam dan seorang lagi penjilat Anwar, Naib Presiden PKR Azmin Ali, sedang bergocoh cuba mendapatkan fokus bos mereka, bererti mereka berdua turut menunjuk-nunjuk yang mereka rapat dengan Khairy dan perihal penglibatan mereka dalam perbincangan mengenai masa depan politik Anwar. Sama ada Khairy sedar ataupun tidak, kebanyakan cerita yang berlegar merata tempat mengenai usaha beliau memberi laluan mudah kepada Anwar memasuki UMNO semula datangnya daripada sumber yang selalu berhubungan rapat dengan dirinya. Walaupun secara rasminya dia menafikan kemungkinan Anwar menganggotai UMNO semula, hakikatnya adalah amat berbeza. Ezam dan Azmin kerap menyebut nama Khairy sebagai sumber maklumat dalaman UMNO. Malahan mereka berani bersuara tegas betapa Khairy adalah saluran utama dalam perbincangan antara Abdullah dan Anwar. Mereka berani berkata betapa Khairy begitu membantu; berbeza dengan pegawai lain seperti Thajudeen Abdul Wahab.

Para penjilat seperti editor risalah parti dan juru propaganda Zunar telah melangkah jauh lagi dengan kebocoran itu semua bukan sahaja kepada pemimpin Keadilan malahan kepada tokoh-tokoh PAS yang didakwa rapat dengannya. Zunar pernah menjadi kakitangan HARAKAH satu ketika dulu. Kesannya, segala cerita ini mencetuskan keraguan di kalangan sesetengah pemimpin PAS mengenai tujuan masa depan Anwar yang sebenarnya. PAS mempunyai cara tersendiri mencari kesahihan cerita itu semua. Ada beberapa pemimpin muda PAS memang mempunyai laluan terus untuk menghubungi Khairy dan mereka berhubung melalui telefon dengan dia selalu. Khairy tidak pula mampu menafikan perkara itu terlalu lama kerana lambat-laun kebenaran akan tersembul juga dan dia tidak mampu menepisnya ketika itu. Dia takut juga kalau dicop sebagai pembohong dan tukang karut.

Memang tidak dinafikan orang seperti Zunar mempunyai keseronokan sendiri dalam membocorkan maklumat seperti itu. Dia merasa seronok kalau pemimpin PAS dan Keadilan memberikan pujian kepadanya kerana merupakan satu sumber maklumat kepada mereka. Sebaliknya sebagai seorang ketua tukang karut kepada jabatan propaganda parti dia tidak boleh dilihat sebagai terlalu ghairah dengan kemasukan semula Anwar menganggotai UMNO. Kerana itu dia kerap kelihatan bercelaru dengan tugasnya sehinggakan ketua biro politik PKR, baru-baru ini bermesyuarat membincangkan kebocoran maklumat oleh Zunar. Biro itu berpendapat Zunar telah menonjolkan sangat kisah pertemuan antara Abdullah dengan Anwar sehinggakan para pemimpin PKR sendiri menjadi bingung dan para pemimpin UMNO naik marah terhadap pendedahan itu, lebih-lebih lagi setelah mengetahui Zunar mahu mendedahkannya dalam akhbar parti itu.

Malahan segala kebocoran itu sengaja dibuat oleh pihak Anwar. Memang ada juga penjilat Khairy yang berbuat perkara yang sama. Kebanyakan mereka itu adalah rakan rapat dengannya seperti di Ethos Consulting, yang bekeliaran mencampuri golongan berpendidikan Barat yang muda-muda. Mereka menganggap pemecatan Anwar oleh Mahathir Mohamed adalah satu penghinaan dan salahguna kuasa . Walaupun mereka tidak berapa lantang menentang episod yang kejam itu, mereka terus mengatakan bahawa itulah episod hitam dalam sejarah politik Malaysia. Sahabat Khairy semuanya mempertahankan kewibawaannya dengan menyebarkan secara meluas betapa Khairy memang bersimpati dengan Anwar. Malahan, kumpulan ini kerap mengulang-ulang kisah lawatan Khairy ke rumah Anwar pada malam Anwar dibebaskan daripada penjara.

Kawan-kawan rapat Khairy merupakan peguam yang muda-muda, pegawai bank, dan orang yang mempunyai impian dalam politik yang amat yakin bahawa pemulihan Anwar merupakan satu langkah besar dalam usaha membersihkan UMNO daripada daki-daki politik Mahathir. Mereka kerap meyakinkan diri betapa Anwar mampu mengembalikan kegemilangan UMNO di kalangan orang Melayu dan menyegarkan kembali ketokohan Abdullah Badawi sebagai seorang reformis liberal. Kerana itu setiap kali mereka berbincang mereka akan menyebarkan rahsia mengenai usaha Khairy mahu membawa Anwar kembali memasuki UMNO dengan menyelitkan kepujian betapa Khairy adalah suara masa depan. Dengan lain perkataan, lagi ramai golongan liberal muda menyokong Khairy, perbincangan mengenai Anwar dianggap sesuatu yang baik. Sebaliknya, ini merupakan satu bukti kukuh bahawa Khairy memang serius mengenai reformasi dan bukannya seorang ahli politik yang berpandukan acuan lama UMNO.

Kebocoran daripada kumpulan Khairy datang daripada dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah mereka yang memang selalu begaul rapat dengan Khairy seperti Omar Ong, Ahmad Zaki Zahid, Norza Zakaria, Lim Kian Teck, Rozabil Abdul Rahman, dan ramai lagi seperti mereka yang tidak berapa suka membincangkan isu ini secara terbuka. Namun ada yang terpaksa berbuat demikian juga. Sebagai contoh ialah Omar Ong yang selalunya bertugas sebagai pegawai Khas kepada Najib Tun Razak. Dia kerap diprovok oleh pegawai Najib yang lain supaya memberikan maklumat mengenai pergerakan Khairy dan rencana politiknya. Dengan lain perkataan maklumat juga kerap diperah daripada Omar Ong seolah-olah semacam memicit tiub ubat gigi. Akhirnya berita itu sampai juga kepada Najib yang membincangkannya secara rahsia dengan orang-orang kepercayaan beliau untuk menganalisis maklumat itu secara lebih terperinci.

Kumpulan kedua dalam kem Khairy mengandungi mereka yang dibawa masuk oleh kumpulan pertama tadi sebagai teknokrat sokongan. Ini termasuk anggota muda dalam Ethos Consulting, YPCS dan kumpulan yang bersekutu dengan Khairy . Walaupun mereka mengenal Khairy mereka bukanlah rapat dengannya. Namun, apa juga maklumat yang mereka tahu kerap disebarkan secara cepat kerana mereka mahu dihitung sebagai salah seorang orang suruhan Khairy yang boleh dipercayai. Selalunya kebocoran maklumat semacam ini tersebar luas pula ke pihak lain dan sekali gus membawa padah kepada Khairy.

Jadi, bukan semua kebocoran itu timbul daripada musuh-musuh Khairy. Malahan sebahagian besar maklumat mengenai pergerakan Khairy diperolehi daripada golongan yang dianggap sahabat dan sekutunya. Masalah politik Khairy ialah terlalu ramai kawan kawannya yang masih muda dan terlalu mentah berpolitik. Mereka tidak mempunyai kepintaran orang lama politik yang pandai memutar lidah untuk menyebelahi dan menyelamatkan diri mereka. Kepincangan semacam inilah yang membawa padah. Gara-gara terlalu tinggi ambisi mereka membuatkan mereka terlalu rakus dan meminta-minta. Kesannya mereka kuat bercakap dan inilah yang membuat Khairy sedar betapa orang luar mempunyai tanggapan negatif terhadapnya kerana mulut celupar orang-orangnnya sendiri. Inilah bencana yang menimpa Khairy kerana mempunyai terlalu ramai penjilat yang terlalu muda berpolitik Mereka bukan sahaja rakus tetapi kadangkala ternyata bodoh juga..

Dan yang lebih penting lagi ada pula yang begitu bijak untuk mencungkil maklumat itu  dan menggunakannya untuk tujuan sendiri dalam memusnahkan Khairy.

Bersambung ke Bahagian 17:  Patahnya Dahan Bergantung

- MalaysiaToday

Hikayat Khairy Jamaludin:  Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 2122 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan

Terjemahan MT-SPAR  - 17.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Penafian oleh Zunar:
Merujuk rencana dalam laman web Malaysia Today, bertajuk The Khairy Chronicles bertarikh 9 Oktober 2005  (Terjemahan: TAG 1829-15: Hikayat Khairy Jamaludin - Permainan Berisiko Tinggi) dan (The walls that talk) Dinding Yang Boleh Bersuara, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya pernah bercakap dengan pengarang atau mana-mana wakil dari laman web tersebut.

Kandungan rencana tersebut yang menyentuh nama dan apa yang didakwa peranan saya adalah sama sekali tidak berasas, berbau fitnah dan berniat jahat untuk menjatuhkan maruah saya.

Rencana seperti ini hanya mampu terbit dari kerangka fikiran penulis yang bankrup moralnya, desperado dan yang sanggup memperdagangkan prinsip.

Yang benar,
Zunar

Catatan webmaster: Penafian ini pertama kali disiarkan di Laman M@RHAEN pada 11 Oktober 2005 yang lalu.

Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN