TAG 1829-20-1:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 20-1
Apakah UMNO Betul-Betul Mahu Menang?
(Does UMNO really want to win?)
Laporan Khas Malaysia Today - Laman M@RHAENWaktu itu menunjukkan jam 8 pagi. Seperti biasa Khairy Jamaluddin sedang tersangkut di pagi Isnin itu dengan kesesakan lalulintas Kuala Lumpur. Beliau sudah terlewat 15 minit untuk menepati temujanjinya dengan beberapa pemimpin Pemuda UMNO yang bertegas mahu menemui beliau di satu pertemuan sarapan pagi untuk membincangkan krisis perebutan kuasa di bahagian mereka. Pada ketika itu Khariy duduk di kerusi bahagian depan dalam kereta itu, kerana itu memang biasa dibuatnya untuk mengelakkan dia kelihatan seorang yang angkuh. Si supir memandu dengan laju sepanjang perjalanan menuju Hotel Crown Princess di mana pertemuan sudah dirancang. Dengan pantas Khairy memeriksa isi dompet duitnya. Dia tidak lagi tahu apa yang akan dibincangkan nanti, tetapi dia sudah pasti dengan satu perkara: apa juga yang mahu mereka katakan nanti, dia juga yang akan mengeluarkan belanja makan di pagi itu.
Baju khas yang dipakainya mempunyai beberapa saku khas untuk menyimpan tiga buah fon bimbit yang memang dibawanya selalu. Fon bimbit yang pertama ialah menggunakan Kad Maxis (012). Nombor fon itu diketahui umum kerana ianya tercetak pada kad nama berliau selain dipamerkan di laman web Pemuda UMNO. Itulah yang digunakan untuk mengirim SMS dan fon itu sentiasa dibisukan kerana ia kerap berdering setiap minit. Semua orang fikir bahawa Khairy terhutang budi kepada mereka, baik yang daripada peringkat rendah pergerakan pemuda UMNO hinggalah pelayar sambilan internet yang terjumpa nombor itu dalam laman web pemuda UMNO yang lama, hinggalah kepada seorang tauke Cina yang mencuba nasib mendekati Khairy gara-gara jolokan yang diberikan oleh peniaga Singapura sebagai “Mr. 20 persen”.
Fon bimbit yang kedua milik Khairy menggunakan nombor 019. Nombor itu hanya diketahui oleh orang yang penting sahaja. Para pengarang akhbar perdana di Malaysia dan Singapura memang tahu nombor itu seperti juga dua orang tokoh politik muda yang paling menonjol masakini, Husam Musa dan Ezam Mohd Nor. Nombor itu juga diketahui oleh para menteri yang sekarang ini merasa perlu menghubungi Khairy selalu untuk menyambung harapan dan mengekalkan impian. Khairy jarang menggunakan fon itu kecuali menghubungi kenalan yang rapat. Kerana itu setiap kali fon itu berbunyi dia tidak akan menjawabnya di hadapan khalayak ramai.
Secara tiba-tiba, telefon yang kedua itu berbunyi. Ada satu kiriman SMS yang muncul. Waktu itu ialah 8.05 pagi. Tajuknya ringkas dan amat bermakna. “Wan Aziz, ADUN Pengkalan Pasir, meninggal dunia pada 6.05 pagi ini”. Khairy sudah tahu apa maksudnya. Selama tiga bulan, UMNO dan PAS telah bersiap sedia, menunggukan pemergian Wan Aziz. Beliau pernah menjadi wakil rakyat Dewan Undangan Negeri bagi Pengkalan Pasir, yang merupakan sebahagian kawasan Parlimen Pasir Mas. Beliau telah menanggung penyakit barah hati dan berada dalam keadaan tenat sebelum itu. Semua pihak sudah menantikan ketikanya PAS dan UMNO akan bertentangan dalam pentas pilihan raya. Khairy juga sedar bahawa gergasi Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali, adalah satu faktor penting yang perlu dipadamkan untuk selama-lamanya.
Dengan pantas Khairy mengambil fon bimbitnya yang ketiga. Fon ini jenis iPAQ, nombornya diprogram untuk menyerlahkan kod nama beliau hanya kepada Perdana Menteri, ahli keluarga yang terdekat dan pihak keselamatan mereka. Inilah juga nombor yang selalu dihubungi oleh Abdullah Ahmad Badawi untuk bercakap dengan menantunya. Abdullah Badawi pun hanya memiliki satu fon bimbit sahaja yang dibimbit oleh Setiausaha Peribadinya yang mengekori beliau ke mana sahaja. Nombor Abdullah memang dikawal rapi; tidak tersenarai dan tidak boleh muncul di mana-mana fon kerana sudah diprogram oleh pakar keselamatan. Fon itu boleh mengeluarkan SMS dan mesej lain menggunakan satu talian proksi yang memadamkan nombor si pengirimnya. Khairy mahu menelefon bapa mertuanya memberikan berita kematian Wan Aziz, walaupun ketika itu Abdullah mungkin sudah pun mengetahuinya terlebih dahulu. Namun demikian, Khairy masih ingat akan peristiwa Mac 2004 yang menyebabkan Abdullah merasa dingin terhadap politik Kelantan.
Ketika itu Abdullah terlalu bergantung harap kepada Khairy untuk merencana kemenangan pilihan raya. Walaupun pembinaan imej ketokohannya dan segala tipu muslihat ternyata berjaya, Abdullah masih merasakan bahawa Kelantan memang sukar ditembusi oleh UMNO. Kalaulah Abdullah boleh ditonjolkan sebagai seorang ulama, bererti Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz adalah bapa segala ulama. Kepimpinan beliau di negeri itu memang tidak ada tolok bandingnya. Memang pun ada kalanya beliau tersilap, tetapi Abdullah pun begitu juga.
Abdullah telah mengutus seorang wakil berjumpa Nik Aziz menawarkan satu cadangan di mana UMNO memberikan laluan mudah untuk PAS di kerusi tertentu. UMNO tidak akan menarik calon untuk bertanding di tempat itu, tetapi akan berkempen di tempat tersebut secara sambil-lewa sahaja di kawasan yang difikirkan ia tidak akan menang. Nik Aziz bersetuju tetapi tidak disenangi oleh pemimpin PAS yang lain, terutamanya pemimpin pelapis PAS di Kelantan. Itu sebabnya Abdullah terpaksa memikirkan strategi lain bersama Khairy dan mengemukakan muka baru yang profesional sebagai calon bertanding di Kelantan.
Khairy telah menyerahkan senarai calon itu kepada Timbalan Perdana Mentneri Najib Tun Razak yang mempengerusikan jawatankuasa pemilihan calon BN untuk bertanding di Pilihan Raya Umum yang lalu. Itulah yang membuatkan Najib begitu tertekan. Senarai yang diberikan kepadanya telah menolak tepi hampir setiap orang yang sebelum itu memang setia kepada Najib. Sebaliknya, tokoh-tokoh yang pernah berkhidmat bersama Najib ketika dia memimpin Pergerakan Pemuda UMNO telah digantikan dengan nama muka-muka baru, yang berada di Kuala Lumpur. Mereka merupakan akauntan, peguam, peniaga dan bekas pegawai tinggi kerajaan daripada Kuala Lumpur yang menjadi pilihan Khairy untuk menukar imej UMNO Kelantan. Ia merupakan satu imej baru tonjolan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Mustapha Mohamad yang tidak berkarisma walaupun dia merupakan ahli ekonomi yang bagus.
Najib tidak berkata apa-apa kepada Khairy. Tetapi, dengan pantas dia mengarahkan Setiausaha Politiknya, Datuk Fatmi (pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu, satu ketika dulu) agar mengirimkan satu salinan senarai itu melalui faks kepada sekutu Najib di Kelantan. Sudah tentu mereka naik marah, dan tertekan, serta menjadi kecewa. Mereka menganggap senarai Khairy itu sebagai penamat kerjaya politik mereka. Walaupun mereka tahu tidak boleh berkata apa-apa, mereka mampu merancang sesuatu untuk mengaibkan Khairy akhirnya. Semasa Khairy tidur nyenyak dia tidak pun menyedari betapa sudah wujud 20 orang pemimpin UMNO Kelantan yang sedang mengasah parang mereka dan secara tiba-tiba menjadi musuh politiknya.
Beberapa hari menjelang hari Penamaan Calon, satu senarai yang disediakan oleh Khairy dan diluluskan oleh Abdullah telah dibawa oleh seorang utusan khas ke Kota Bharu. Sepatutnya UMNO Kelantan menyimpan senarai itu dengan selamatnya dalam peti besi untuk membolehkan persiapan serah surat watikah bagi Hari Penamaan Calon. Itulah rencananya. Malangnya Khairy tidak sedar akan kebijaksanaan rakan-rakan politik beliau di Kelantan. Sejurus penerbangan MH1388 mendarat di lapangan terbang Sultan Ismail Petra, di Pengkalan Chepa, utusan UMNO itu telah disambut oleh 10 orang tokoh pemuda UMNO yang beruniform. Memikirkan mereka adalah pengiring beliau, dia pun masuk ke dalam salah sebuah kereta yang sedia menunggunya. Kereta itu tidak membawanya menuju ibu pejabat UMNO negeri, sebaliknya melencung ke arah lain dan beg yang berisi senarai lengkap itu telah dirampas daripadanya. Utusan khas itu telah diperap dalam satu rumah khas di Jalan Long Yunus dan dinasihati untuk berehat sedikit lama di situ sehinggalah sekumpulan bos selesai dengan kerja mereka. Apa yang terjadi kemudian adalah layak menjadi satu dongeng khayalan sahaja. Semua pemimpin UMNO yang telah digugurkan oleh Khairy, ada antaranya adalah peguam yang berkelulusan tinggi dan ramai pula pernah menganggotai kerajaan UMNO pada 1980-an dulu, telah disenaraikan semula dalam satu carta baru menggantikan nama-nama yang pernah dicadangkan oleh Khairy. Senarai baru yang dipinda itu telah diisytiharkan sebagai senarai terkini untuk digunakan bagi Pilihan Raya Umum 2004. Hanya beberapa jam sahaja lagi sebelum diadakan satu persidangan akhbar oleh Jawatankuasa Perhubungan UMNO Kelantan untuk mengumumkan nama-nama calon dalam pilihan raya itu.
Sesungguhnya si utusan khas itu telah diam membisu gara-gara disogok dengan rasuah. Apa pun rahsia mereka tidak boleh diperam lama. Orang-orang seperti Dato' Nordin Razak, yang sudah pun dikatakan akan bertanding kawasan Parlimen dan sudah pun memberitahu kawannya sebelum itu, tiba-tiba mendapati nama mereka sudah hilang daripada senarai pencalonan. Orang lain seperti Dato’ Mustapha Taib sedar nama mereka di tempat lain sudah hilang juga. Calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sudah pun bertukar, termasuklah nama Hanafi Mamat yang dijadualkan bertanding kerusi Parlimen dan bukannya kerusi DUN Pengkalan Pasir yang disenaraikan kepadanya. Mereka yang telah digugurkan dan ditukar-tukar telah menelefon pejabat Abdullah Badawi untuk merungut dan membantah. Sudah terlambat waktunya. Abdullah terlalu sibuk untuk melayan segala aduan kerana dia juga terpaksa menangani satu senarai baru yang dikatakan sebagai “Senarai Mahathir”. Ketika itu pula Sultan Johor telah membuat bantahan terhadap pilihan Abdullah mengenai calon Menteri Besar. Selain bertindak tegas agar menyenaraikan semula nama yang disediakan oleh anak menantunya, keputusan telah dibuat agar senarai yang telah dipinda itu diterima sebagai senarai rasmi. Abdullah cuba menepis skandal di awal kepimpinannya sebagai seorang Perdana Menteri. Itu sebabnya dia berpendirian begitu kerana memikirkan UMNO tidak mempunyai banyak peluang untuk menang di Kelantan.
Akan bersambung ke Bahagian 20 - (2).
- MalaysiaToday
Terjemahan MT-SPAR - 03.12.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Hikayat Khairy Jamaludin: Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 21 - 22 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN