TAG 1829-20-3:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 20/3
Apakah UMNO Betul-Betul Mahu Menang?
(Does UMNO really want to win?)
Laporan Khas Malaysia Today  - Laman M@RHAEN
Najib jadi tertekan dan telah memanggil Che Johan untuk menjelaskan apakah betul benar cerita yang diterimanya mengenai pemalsuan cek itu. Secara tergagap-gagap Che Johan menjelaskan betapa dia telah menurunkan tandatangannya atas arahan Pengerusi yayasan ketika itu, yang bernama Dato’ Ibrahim Ali. Najib enggan mendengar lagi dan dengan pantas telah memotong nama Che Johan sebagai calon untuk pilihan raya kecil di Pengkalan Pasir.

Memang sudah lambat untuk Khairy berbuat sesuatu untuk membetulkan keadaan. Setakat itu Dato’ Rahim sudah pun melancarkan muslihatnya yang kedua. Rahim telah membuat pengumuman yang dia tidak berminat untuk menjadi calon dan membuka ruang kepada Hanafi Mamat, yang sudah tentu dijangka akan mencabar Dato’ Rahim bagi jawatan Ketua Bahagian UMNO pada tahun depan. Che Johan tidak punya pilihan lain dalam menyuarakan sokongan kepada Hanafi. Namun dia tidak berdiam diri, cuma menyalahkan nasib yang kurang baik. Sebaliknya Che Johan telah menghalang para penyokong beliau daripada menghadiri setiap mesyuarat dan kempen UMNO. Jumlah mereka semakin merosot dan jadi semakin ketara termasuk ketika Najib Tun Rzak tiba dan semasa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dato’ Hishamuddin Hussein datang melawat.

Kini Che Johan sudah sedar bahawa dia tidak mampu bertarung terhadap paduan pengaruh Dato’ Rahim dan Hanafi Mamat. Hanya satu cara lain yang membolehkan beliau terus diambil kira dalam politik Kelantan pada masa depan, dan ini ialah dengan memihak kepada satu tokoh besar yang mampu menelan pengaruh padu dua tokoh tempatan tadi. Lantas dia mula mencari peluang agar Khairy Jamaluddin memihak kepadanya. Beliau mungkin terlepas peluang sekarang ini, menyokong Khairy sudah tentu akan berbaloi satu hari nanti.

Kerana itu dianggap penting agar Khairy muncul semula di Pengkalan Pasir. Pucuk kepimpinan UMNO sudah lumpuh disebabkan perang saudara di Pasir Mas dan kelemahan pucuk kepimpinan negeri. Walaupun ramai pemimpin UMNO yang muncul untuk berucap di khalayak ramai, Khairy dilihat bertungkus lumus merapati rakyat marhaen. Kemunculan Anwar Ibrahim pada petang 'Hari Pencalonan' telah meyakinkan UMNO betapa perlunya parti memiliki seorang tokoh yang menonjol dan tidak mudah diperlekeh sebagai pemimpin biasa sahaja.

Akan tetapi, kemunculan semula Khairy di Pengkalan Pasir, tidak disenangi oleh semua pihak. Ramai pemimpin tertinggi UMNO tidak senang hati melihatkan beliau menarik terlalu banyak perhatian dan memalapkan ketibaan mereka pula. Ketua Wanita UMNO. Rafidah Aziz telah naik angin bila mengetahui RTM sahaja yang mengekori lawatan beliau yang singkat di Pengkalan Pasir, sedangkan pihak stesen TV yang lain semuanya berbondong-bondong mengekori Khairy semasa melakukan kerja-kerja mengecat surau. Mengikut seorang wartawan RTM, Rafidah naik angin dan mempersendakan dirinya sebagai seorang makcik tua dan mencadangkan agar para wartawan mengekori Khairy sahaja. Tambahan pula, ada segelintir pemimpin UMNO daripada luar Kelantan telah membawa beberapa makalah yang tidak menyelerakan untuk tatapan kawan-kawan mereka di Kelantan. Antaranya ialah laporan setebal 25 muka-surat di mana kisah skandal Khairy di Kedah yang tersebar luas semasa berlakunya perebutan kuasa antara Menteri Besar Syed Razak dengan Mahadzir Khalid. Oleh kerana banyak negeri belum menerima salinan skandal itu, ramai pemimpin Kedah yang membuat salinan laporan tersebut untuk diagih-agihkan. Salah satu salinan laporan itu telah diperolehi oleh Adnan Yaakob dan seorang Menteri Besar daripada sebuah negeri di Selatan yang telah mengarahkan Setiausaha beliau membuat salinan untuk diagihkan kepada semua ketua bahagian di negerinya sebagai maklumat sahaja, kononnya.

Yang lebih penting lagi, kemunculan semula Khairy Jamaluddin telah menyebabkan Hishamuddin Hussein merasa ragu akan rencana masa depan Khairy sebenarnya. Hishamuddin memang marah dengan gelagat Khairy Jamaluddin membelah-bagi Pengkalan Pasir menjadi semacam tebing barat dan timur untuk mereka berdua seolah-olah jawatan mereka dalam parti adalah setara sahaja. Hishamuddin memang tidak ada kualiti menyerlah seperti yang dimiliki oleh Khairy Jamaluddin. Hishamuddin sedar kemenangan UMNO di Pengkalan Pasir tidak akan dikaitkan kepada usaha beliau yang memang jarang berada lama di sana. Malahan semasa melawat lima UPU yang ditugaskan kepada Hishamuddin sebagai penaungnya, pembantu beliau Akhbar Khan terpaksa meminta bantuan seorang wartawan The Star untuk menghadiri majlis yang dihadiri oleh Hishamuddin dan tidak terus membuat liputan ceramah yang dihadiri Khairy. Semua akhbar telah memberi jolokan kepada pilihan raya Pengkalan Pasir itu sebagai pilihan raya Khairy dan sudah tentu Khairy akan diberikan kepujian seandainya BN menang di sana.

Seandainya PAS menang di Pengkalan Pasir, hanya segelintir pemimpin UMNO yang akan kecewa. Abdullah sendiri pun tidak berapa hiraukan sangat keputusan itu nanti kerana di Parlimen BN sudah mempunyai majoriti empat per lima membuatkan beliau seorang Perdana Menteri yang paling perkasa. Kepada Najib dan Hishamuddin, kemenangan UMNO di Pengkalan Pasir adalah kemenangan Khairy Jamaluddin dan ini adalah tanda penting betapa masa depan mereka sudah menghampiri garisan penamatnya.

Sebaliknya, kalau PAS menang di Pengkalan Pasir, akan terjejaslah imej Khairy lagi. Dia tidak mampu menerima kekalahan semacam itu. Kalau dia salah gunakan segala peluang yang ada padanya, Pengkalan Pasir mungkin laksana 'Pearl Harbour' kepada Khairy. Orang akan membeliakkan mata dengan satu kesedaran bahawa Khairy bukanlah sebesar intan yang mereka sangka dan bukannya si gergasi seperti yang diwarwarkan oleh NST dan TV3.

Memang, Khairy bertungkus-lumus mahukan kemenangan BN di Pengkalan Pasir. Segala usaha telah dijalankan untuk membawa balik hampir tiga ribu pengundi yang menetap di luar kawasan pilihan raya itu. Ada yang menetap di kawasan lain di Kelantan, di Kuala Lumpur malahan ada yang berada di Singapura. SPR telah diberi arahan untuk menyembunyikan maklumat sebenar mengenai 'pengundi imigeran' tadi daripada pengetgahuan PAS dan Dato’ Ibrahim Ali. Pada waktu yang sama duit turun mencurah-curah di Pengkalan Pasir seolah-olah satu pilihan raya umum sedang dianjurkan bagi keseluruhan negeri Kelantan. Pihak akhbar pula sudah melakukan satu usaha memalapkan kejayaan BN menembusi kawasan itu, sebagai satu usaha mendinginkan pengundi PAS daripada keluar beramai-ramai pada hari mengundi nanti.

Apapun, Pengkalan Pasir bukan lagi menjadi satu pilihan raya kecil di sebuah pekan kecil yang dikenali semua orang hanya beberapa minggu yang lalu. Pengkalan Pasir merupakan satu peperangan proksi yang dipertarung di banyak balapannnya. Inilah peperangan antara Kem Ibrahim Ali yang mahu membuktikan bahawa beliau masih relevan dalam politik Kelantan, dengan pucuk kepimpinan UMNO Kelantan yang mahu mengnyahkan beliau untuk selama-lamanya. Ini juga satu peperangan antara PAS dan UMNO di Kelantan untuk menentukan siapa nanti yang akan mengetuai kerajaan negeri pada pilihan raya umum tahun 2007 ataupun 2008. Inilah juga satu peperangan antara Khairy yang mahu membuktikan keperkasaannya, dan mereka yang mahu menjatuhkan beliau untuk menafikan peluang beliau naik menjadi Perdana Menteri pada 2015 nanti.

Belum pernah diramalkan masa depan politk ke atas satu pilihan raya kecil seperti ini.

Khairy sedar kalau mengikut keadaan semasa, di mana pertarungan mempunyai nisbah kemenangan setara 50:50, UMNO masih mampu menang tipis dengan majoriti 500 undi. Kewujudan undi yang membantah memang tidak akan mengelirukan. Akan tetapi kalaulah PAS memperolehi satu isu yang boleh membuatkan pengundi memihak kepadanya dengan sokongan 60% undi mereka, bererti Khairy akan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Pengkalan Pasir. Kini PAS sudahpun mempunyai isu itu yang membabitkan ketua UMNO Kelantan itu sendiri.

Khairy sedar betapa sengitnya pergocohan di kalangan UMNO Kelantan berbanding pertarungan antara UMNO dan PAS. Yang membebankan UMNO Kelantan sekarang ini ialah Ketua Perhubungan Negerinya Annuar Musa. Masyarakat Cina amat membenci beliau gara-gara mulut celupar yang menyebut “Cina Barua” dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan. Gelagat itu sudah dirakamkan dalam bentuk VCD dan diagihkan kepada semua pengundi kaum Cina. Ramai pemimpin lain dalam UMNO di Kelantan memang membenci beliau dan mahukan Pengkalan Pasir jatuh ke tangan PAS sebagai alasan agar beliau dapat dijatuhkan Kalaulah Annuar Musa terus mengepalai kempen pilihan raya itu, UMNO boleh sedia gulung tikar untuk membolehkan PAS menang dengan mudah.

Selepas itu barulah bermula satu pendakian yang rumit, bukan untuk UMNO tetapi untuk Khairy Jamaluddin sebagai seorang ahli politik UMNO.

Khairy sudah ketandusan pilihan. Dia baru sahaja menyingkirkan Annuar Musa dan menggantikan tempat beliau dengan Muhammad Taib. Mat Taib dijangka menjadi seorang penyelamat untuk merobah nasib UMNO di Pengkalan Pasir. Akan tetapi politik Kelantan adalah semacam dasar undang-undang milik tanahnya yang unik. Orang Melayu yang lahir di luar Kelantan pun tidak boleh memiliki tanah di sana. Orang luar mesti lahir di negeri itu dulu sebelum dapat membeli tanah di sana. Jika tidak mereka mesti menetap di situ selama tiga generasi terlebih dahulu. Melantik Mat Taib, yang bukannya warga Kelantan sebagai ketua pilihan raya akan hanya merupakan satu pilihan yang sedikit baik daripada meminta Presiden MCA, Ong Kah Ting, menjadi pengurus pilihan raya itu.

Di saat yang terakhir ini, apakah tindakan Khairy itu merupakan satu kesilapan besar beliau di Kelantan? Dalam masa sehari lagi, seperti yang diketahui oleh semua orang, Khairy akan muncul daripada keputusan Pengkalan Pasir sama ada sebagai seorang mahaguru politik, ataupun dia akan dilihat sebagai si tongong sahaja. Inilah satu titik-tolak dalam kerjaya politik Khairy, tidak kiralah apa jadinya.

- MalaysiaToday

Terjemahan MT-SPAR  - 05.12.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)

Hikayat Khairy Jamaludin:  Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 2122 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan

Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN