TAG 1829-25:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 25
Muslihat Baru: Ketandusan Masa
(A New Deal: Running Out of Time)
Laporan Khas Malaysia Today - Laman M@RHAENSalah seorang kawan rapat Khairy ialah seorang pemuda India kelahiran Malaysia dan pernah lulus ilmu undang-undang di London, yang baru-baru ini bekerja dengan sebuah bank antarabangsa. Beliau adalah beberapa tahun lebih ‘senior’ daripada Khairy, dan sengaja bermain di sebalik tabir kerana ada sebab tertentu. Walaupun dia bangga dengan kejayaan Khairy, dia pernah berbincang dengan kawan-kawannya rahsia peribadinya bahawa dia fikir Khairy hampir melakukan kesilapan yang paling besar dalam hidupnya. Malahan peguam ini percaya bahawa Khairy sedang berada di satu kedudukan yang paling berbahaya dalam keseluruhan kerjayanya dan seandainya dia terjebak antara mulut harimau dan rahang buaya – yakni segala tindakan Khairy yang akan menghancurkannya, adalah tidak mungkin Khairy akan mampu bangkit semula.
Beberapa bulan yang lalu, peguam ini telah berjumpa Khairy untuk memberikan sedikit nasihat. Dia memberitahu Khairy secara terus terang bahawa walaupun ia faham Khairy bijak melakar rencana, Khairy seharusnya lebih berwaspada dan berhati-hati. Peguam itu memberi ingatan kepada Khairy agar tidak terlalu gelojoh dalam tindakannya.
Itu memang merupakan satu nasihat yang ikhlas. Pada masa dahulu, Khairy memang diam mendengar apa yang dileter oleh kawannya itu dan membuat rumusannya sendiri. Ada kalanya ia dapat menerima kritikan semacam itu untuk memperbetulkan kesilapannya. Akan tetapi Khairy masa kini adalah seorang anak muda yang berbeza. Sekarang ini nasihat semacam itu kerap diperlekeh sebagai sesuatu yang dia tidak perlu. Khairy beranggapan bahawa kawan-kawannya sudah memandai-mandai untuk kepentingan diri sendiri. Dia fikir tidak terhutang budi untuk mendengar segala celoteh mereka, apa lagi mengikuti nasihatnya. Lagi pun, kalau semua kawannya lebih cerdik daripada dia, tentu mereka sudah lama menggantikan tempatnya. Sebaliknya dialah orangnya, paling muda dalam kumpulan mereka yang berjaya mendapatkan kedudukan yang paling tinggi dalam masa yang paling singkat sekali.
Sikap Khairy begini yang mengejutkan para sahabatnya. Peguam itu seolah-olah dapat merasakan Khairy berperangai begitu adalah disebabkan dia sudah jauh menyimpang daripada kenyataan. Kuasa dan kemewahan adalah satu adunan yang menyebabkan Khairy mabuk sendiri dan menjadi begitu tuli kenapa suara rintihan yang semakin bergema di sekelilingnya. Malahan beberapa sahabat karib Khairy yang mengkagumi beliau dapat merasakan betapa dalam beberapa bulan kebelakangan ini Khairy akan membuat beberapa kesilapan juga. Beliau sudah pun menggantikan beberapa kawan yang mampu memberikan nasihat yang baik-baik dengan beberapa penjilat di kalangan Pemuda Umno yang membawa beg duit untuknya. Khairy kerap diiringi oleh anak-anak muda dalam usia dua puluhan yang membawa karung wang bernilai RM10,000, untuk mereka agihkan kepada penyokong setia di mesyuarat bahagian dan cawangan. Penyangak semacam inilah sahaja yang tinggal kekal sebagai kawan-kawan Khairy.
Sikap Khairy dalam beberapa bulan terakhir ini adalah gambaran betapa beliau masih lagi bertaraf hingusan, kurang matang dan bangang. Tanda-tanda korupsi dan penglibatan urusan-dagang-dalaman (insider trading) dalam pembelian saham ECM Libra dan penggunaan syarikat milik kerajaan Avenue Capital untuk menyelamatkan bisnes kroni Khairy dan menjadikan mereka jutawan kaya-raya dalam masa sekelip mata adalah tindakan yang sepatutnya dapat ditangani dengan kemas dan lebih berhati-hati. Sebaliknya penyelesaiannya menunjukkan tanda-tanda kerja orang gelojoh, persis kerja orang yang tidak matang berpolitik dan bisnes. Watak dan ketokohan yang digambarkan oleh Khairy sebagai seorang anak muda yang kacak dan bijak serta berkeyakinan diri sudah pun bertukar rupa kepada seorang yang tamak dan haloba kerana terlalu gelojoh dengan habuan korupsi. Gelaran “operator licik’ sudah pun berganti kepada “tukang kelentung yang gemar meragut dan cabut lari.”
Mungkin sudah wujud satu trend dalam kegilaan ini. Mungkin juga segala tindakan yang begitu pantas bukanlah satu kegelojohan yang tercipta disebabkan kesuntukan masa, tetapi sengaja dirancang begitu rupa untuk cuba menyelamatkan apa juga yang tinggal dalam pentadbiran Abdullah Badawi yang goyah dan akan tumbang menunggu hari. Satu pentadbiran yang bermula dengan segala janji manis untuk menghadiahkan rakyat Malaysia dengan mentari dan purnama, dan diiringi satu kemenangan paling besar dalam pilihan raya umum sejak ia bermula pada 1955 dahulu, sudah mula dilihat sebagai tidak mampu bertahan dana merupakan satu kerajaan haprak juga. Abdullah Badawi sedang bergayut di dahan rapuh melepaskan diri daripada beberapa krisis yang saling muncul tanpa bertempoh gara-gara tidak keruan cara menanganinya sehinggakan rakyat begitu lali dengan kelemahannya. Inilah krisis yang menanah sejak dua dekad yang lalu menyebabkan Paklah terhayun kiri dan kanan sambil menerajui pucuk kepimpinan kerajaan yang penuh dengan konflik dalaman dan tidak mampu menangani dengan baik waima satu isu yang mudah sekali.
Khairy sedar betapa masa depannya, dalam dunia politik, bisnes ataupun apa sahaja - amat bergantung kepada ketahanan Abdullah Badawi memegang tampuk kuasa. Ternyata kini bahawa Abdullah sudah goyah. Berbeza dengan tokoh yang digantinya dahulu, Abdullah Badawi tidak pandai menggunakan kekuatan yang ada padanya dalam Parlimen. Dia mudah dipesongkan oleh ide-idea haprak dan tidak berguna yang dicerna oleh orang-orang yang tidak berguna juga seperti Nazri Aziz dan Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Backbenchers Club) Shahrir Samad. Kerana itu Abdullah Badawi sudah kehilangan kuasa terhadap Parlimennya sendiri dan kini menghadapi serangan daripada senator dan anggota Parlimen di kerusi belakang yang menyerang kerajaannya begitu ganas - lebih dahsyat daripada yang terjadi di zaman Tunku Abdul Rahman Putra dahulu lagi. Abdullah berpendirian bahawa Parlimen harus diberikan lebih peluang untuk bersuara. Akan tetapi dia gagal memahami bahawa ramai anggota yang mewarnai kerusi belakang di Parlimen itu adalah manusia yang boleh berfikir dan bercakap lebih baik darinya ataupun barisan menterinya yang sudah lama melepasi tarikh lupus mereka. Kesannya, apabila Parlimen bangkit mengkritik beberapa dasar kerajaan yang haprak Abdullah tidak mampu menjawabnya secara yang meyakinkan. Secara perlahan lumut dan lumpur yang melumur kerajaannya yang rapuh itu mula menonjol untuk dilihat oleh semua.
Para menteri Abdullah juga turut membawa beban kepadanya. Ramai dari kalangan mereka itu dinaikkan pangkat dulu walaupun tidak berguna. Satu contoh terbaik ialah Shafie Salleh. Kalau dia berada dalam pentadbiran lain dia layak hanya setakat jawatan Setiausaha Parlimen sahaja. Abdullah rupanya tidak sedar betapa Shafie Salleh banyak bergantung kepada satu kelompok Setiausaha Parlimen dan pegawai-pegawai khas yang memang hanya tahu menyondol dan memandai-mandai dalam menguruskan satu kementerian yang sungguh sensitif. Namun, Abdullah tidak mampu berbuat apa-apa disebabkan kelemahan dirinya sendiri yang lembik dan tidak mampu menilai mana satu kaca dan mana satu permata di kalangan menterinya. Sesungguhnya Abdullah sudah terjebak dalam dunia kedunguan dan terpaksa menyandarkan harapan yang mutlak kepada anak-anak muda dan hingusan yang dibawa oleh Khairy dan bukan oleh menterinya sendiri.
Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa ramai menteri kabinet tidak menghormati Abdullah. Episod yang terbaru membabitkan sembilan orang menteri bukan-Islam menyerahkan satu memorandum kepada Abdulalh adalah satu kemelut yang sepatutnya tidak berlaku di dalam mana-mana pentadbiran. Rakyat telh diberitahu bahawa menteri itu semuanya telah menarik balik memorandum mereka dan bertindak mahu membentangkan kes mereka melalui ‘saluran betul’ dalam mesyuarat kabinet. Sebenarnya pengumuman itu adalah satu pembohongan dan satu usaha terdesak oleh tukang karut Abdullah untuk menyelamatkan reputasi sorang perdana menteri yang haprak dan tidak berguna.
Apa yang tidak diketahui rakyat jelata ialah memorandum itu telah diserahkan oleh menteri-menteri tersebut semasa kabinet sedang bersidang dan bukanya dil luar seperti yang dilapurkan oleh akhbar rasmi. Abdullah begitu terkejut beruk dnegan penyerahan memorandum itu sehingga terkunci mulutnya dan tidak tahu apa lagi yang perlu dikatakannya. Kerana terkunci multunya itu, dia cuba menepis penyerhan memorandum ituvdengan berkata yang dia ‘mahu memikirkannya dulu’. Apabila berita dibocorkan kepada akhbar, ketokohan Abdullah sudah tercalar teruk. Belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia apabila seorang Perdana Menteri dihantui satu bantahan terbuka daripada anggota kabinetnya, termasuk daripada beberapa orang Presiden parti komponen Barisan Nasional.
Kerana itu satu keputusan diambil untuk menggunakan media agar berbohong kepada rakyat jelata. Bernama dan kumpulan kaki penjilat di NST telah diarahkan membuat laporan bahawa itu memorandum ‘tidak sempurna’ kerana tidak diserahkan semasa mesyuarat kabinet. Ini memberikan peluang kepada Abdullah memaparkan para menteri itu sebagai tidak bertanggungjawab. Najib Tun Razak telah diarahkan untuk mengutuk menteri-menteri itu kerana bertindak di luar norma kebiasaan dan ‘tidak mengekalkan semangat perjuangan BN’. Sebenarnya setiap seorang menteri dalam ‘kabinet XXL’ itu sudah tahu bahawa memorandum itu telah diserahkan dengan sempurna dan sopan; dan Abdullah telah gagal memberikan jawapan yang betul setelah berdepan dengan bantahan yang paling besar sejak beliau menjadi Perdana Menteri.
Ekoran episod itu, walaupun rakyat diberitahu bahawa sembilan menteri itu berlaku biadap, beberapa orang menteri lain, termasuk mereka dalam Umno telah membocorkan beberapa dokumen rahsia kabinet yang membuktikan bahawa sembilan orang menteri itu telah melakukan tanggungjawab mereka secara sempurna. Sebenarnya Abdullah yang termanggu dan tidak tahu bertindak sesuatu. Semasa mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 24 Januari 2006, dua orang menteri yang memang terkenal kerana setia kepada mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad telah membuat salinan fotokopi beberapa minit mesyuarat kabinet yang merakamkan episod itu dan mengagihkannya kepada pemimpin Umno yang lain sejurus tamat mesyuarat kabinet tersebut.
Ketika Abdullah memberikan penjelasan mengenai ‘kesilapan’ sembilan orang menteri bukan-Islam tersebut, ada seorang anggota Majlis tertinggi Umno yang telah menerima SMS yang berkata: “PM SILAP MENTERI2 IKUT PROSEDUR”. SMS yang sama muncul daripada fon bimbit bernombor 019-331XXX2. In adalah nombor fon bimbit seorang menteri yang duduk bertentangan anggota Majlis Tertinggi. SMS yang sama telah diedarkan kepada beberapa anggota Majlis Tertinggi yang menghadiri mesyuarat itu.
Timbalan pindaan Menteri Najib Tun Razak memerhatikan semua ini dengan penuh riang. Beliau memberitahu kawan-kawannya betapa keadaan sudah drastik, tetapi dia mesti memainkan peranan dengan teliti kerana tidak mahu melihat nasib yang menimpa Anwar Ibrahim akan turut jatuh ke atasnya. Najib melakonkan peranan dengan penuh rahsia. Memang sudah lama Najib cuba mencari maklumat apakah Abdullah sedang merencana sesuatu yang menghalang kemajuannya ke puncak kuasa. Menyedari bahawa Abdullah masih berhubungan dengan Anwar Ibrahim melalui Khairy, Najib cuba menampan sebarang kesan itu dengan membuat beberapa hubungan berbaik-baik dengan beberapa anggota kumpulan kem Anwar. Pada waktu yang sama Najib bersiap sedia untuk menjebak Khairy kerana akhirnya nanti, dia sedar bahawa harapan terakhir Abdullah ialah menggunakan kepintaran Khairy untuk menyelamatkannya. Mengguling Khairy bererti menumpaskan pangkalan strategi Abdullah. Najib sedar kumpulan orang lama di keliling Abdullah tidak lagi menyokong beliau 100 peratus.
Ada segelintir penyokong utama seperti Nordin Kardi dan Mahadzir Khalid sudah begitu renggang daripada sekutu lama mereka, Thajudeen Abdul Wahab yang merupakan Ketua Setiausaha Peribadi Abdullah. Walaupun mereka ini semua adalah musuh Khairy, mereka sudah menjadi lembik dan tidak berdaya disebabkan kerap bergocoh sesama mereka. Kerakusan Thajudden Abdul Wahab dalam memfaraidkan kontrak kepada peniaga pilihan yang bersekutu dengannya, di sebalik segala sokongan dan cadangan penyokong lama Abdullah yang lain, menyebabkan kumpulan veteran itu sudah berpecah belah.
Semua ini memang memeningkan Khairy. Masa terlalu pantas bergerak dan kalau muncul satu lagi krisis yang besar ia akan membawa padah kepada kerajaan tadbiran Abdullah Badawi. Sejarah telah membuktikan betapa seorang Perdana Menteri yang lemah dan lembik tidak akan bertahan lebih satu penggal di jawatannya. Sebagai contoh, Hussein Onn walaupun dijulang semasa naik menggantikan Tun Razak dan ternyata tegas untuk menegakkan panji-panji Umno, dia jatuh terduduk juga gara-gara dicabar oleh seorang yang kurang dikenali bernama Sulaiman Palestin pada persidangan Umno 1978 dahulu.
Abdullah mungkin tidak menghadapi cabaran semacam itu kerana manipulasi undang-undang pemilihan dalam Umno, tetapi dia masih dihantui banyak serangan daripada dalam Umno. Pemimpin bahagian Umno sering mentertawakan kelemahannya mengawali kerajaan dan mereka naik marah melihatkan anak menantunya yang naik kaya-raya secara mendadak. Lambat-laun, yang patut jatuh akan tumbang jua dan unta yang lenguh akan terduduk juga menghumban si badwi yang jatuh terkangkang sama.
Khairy memang faham betapa Abdullah Badawi dianggap sebagai badut unggulan di negara ini. Sama ada dia suka ataupun tidak, Khairy akan berdepan dengan hakikat bahawa ia juga akan jatuh terduduk kecuali dia bertindak cepat dengan pantas dan tegas. Musuhnya sudah semakin rapat dan dia mesti berdepan dengan mereka sebelum terlambat.
- MalaysiaToday
Terjemahan MT-SPAR - 02.02.2006 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Hikayat Khairy Jamaludin: Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 21 - 22 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN