TAG 1829-27:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 27
Muslihat Baru: Terhempas dan Terbakar
(A New Deal: Crash and Burn)
Laporan Khas Malaysia Today  - Laman M@RHAEN
Kerajaan Abdullah Badawi memulakan tugasnya dahulu dengan banyak janji yang diperkukuh dengan pelbagai ikrar, resolusi, manifesto dan jaminan. Untuk seketika, rakyat Malaysia menjadi terpesona dengan dongeng bahawa zaman gelap di bawah cengkaman Dr. Mahathir Mohammed sudah pun berlalu dan pelbagai perubahan akan datang melanda laksana hayunan Tsunami untuk membersihkan segala bencana silam dan menguburkan legasi Mahathir ke lembaran buku sejarah.

Memang, mereka membayangkan bahawa zaman ceria akan kembali semula, kononnya dan ada pula yang menganggap isu itu sebagai fantasi semata-mata. Sebagai manusia yang tidak sofistiket dan memilih sangat, kita memberikan ruang dan menepis luang keraguan sebagai memberi laluan kepada seorang insan yang selama itu kita gelarkan sebagai ‘Mr. Clean’ – walaupun tidak ada sebarang alasan kenapa gelaran semacam itu harus dikurniakan ke atas seseorang yang tidak pernah didedahkan kepada nafsu-nafsi menjadi seorang yang rakus. Hakikatnya selama ini Abdullah tidak pernah berupaya menggunakan kedudukannya dalam kerajaan untuk meraih kekayaan semata-mata kerana tidak ada kedudukan yang strategik di mana dia boleh mengaut keuntungan yang banyak dan mudah. Dengan demikian dia terus dilihat seolah-olah papa kedana berbanding dengan menteri yang lain, bukan disebabkan itu menjadi pilihannya. Justeru dia dianggap seorang yang mempunyai imej yang bersih lagi bersih. Bukanlah disebabkan ketiadaan usaha mahu mencuba tetapi kerana kurangnya membalun harta karun yang membuatkan Abdullah seolah-olah tercungap menjadi Mr. Clean berbanding rakan lain sekandang dengannya dalam kabinet.

Selepas lebih dua tahun Abdullah memegang tampuk kuasa, segala kelentungan yang disebar oleh pembantu Abdullah, yang dipelopori oleh Khairy Jamaluddin membuatkan masyarakat umum mula naik loya. Sebelum itu kelemahan seorang insan yang tidak mampu menanggung jawatan tinggi di negara ini memang mudah disorok-sorok di sebalik selaput apa yang disebut inisiatif baru dan perbezaan stail pengurusan. Malangnya, buat Abdullah, sesuatu krisis yang remeh pun boleh membesar menjadi satu masalah besar yang dihadapinya. Sesungguhnya ’Abdullah memang tidak berkelayakan langsung untuk menguruskan sebuah kerajaan, tidak kiralah kalau menerajui satu perdebatan dalam kabinet yang rutin di mana dia kerap tertidur di tengah-tengah perbahasan itu, ataupun di forum antarabangsa di mana ada kalanya dia terlupa apakah Presiden negara yang sedang ditemuinya ketika itu. Ada kalanya Abdullah boleh dianggap persis Ronald Reagan Malaysia, yang mudah tersilap, tetapi nyata menawan walaupun memang begitu kekurangan dalam memahami segala dasar, dan sudah pastinya merupakan seorang pemimpin yang begitu rendah inteleknya yang pernah menerajui satu tampuk kuasa negara.

Yang paling menjadi masalah besar kepada Abdullah ialah sikap tidak menepati masa. Walaupun pentadbiran beliau cuba memanjangkan ketokohan kuasanya dengan melambatkan segala-galanya dengan kewaspadaan yang terunggul, orang yang paling rapat dengan beliau --termasuk kaum keluarganya yang terdekat – ternyata tidak sabar lagi, gelojoh dan tamak haloba dalam usaha membesarkan tembolok masing-masing. Abdullah menutup matanya terhadap salah-guna kedudukan kerajaan yang dilakukan oleh suku-sakat Khairy yang berlagak laksana burung unta yang menyorokkan kepala di dasar pasir. Kekayaan mendadak Scomi, ECM Libra, Ethos Consulting, Binafikir dan Dewina boleh dilupakan begitu sahaja kerana Abdullah mudah buka kelentung dengan pembohongan bahawa dia tidak tahu-menahu dan ada kena- mengena dengan Pergerakan ataupun aktiviti mereka semua.

Memang, pada satu tahap ada sedikit kebenaran dalam perkara itu. Abdullah memang tidak terlibat secara langsung dengan usaha adiknya, adik iparnya, anak lelakinya menantu lelaki ataupun perempuannya dalam karenah mereka membalun harta karun selama dua tahun yang berlalu. Akan tetapi tidak pula beliau mengambil inisiatif untuk mewaspadakan mereka agar jangan gelojoh. Abdullah begitu memanjakan mereka sehingga tidak tergamak melihat apa yang mereka lakukan itu sebagai perbuatan yang salah. Malangnya dengan pemergian Endon Mahmood, segala brek untuk melembekkan proses tamak haloba itu sudah tidak ada lagi. Kumpulan yang bergayut di sekeliling Abdullah terdiri daripada anggota keluarga yang masih muda dan rakus serta tamak haloba. Mereka telah menyalahgunakan kedudukan sebagai anggota keluarga pertama negara untuk memaksa jabatan kerajaan memberi mereka kontrak. Seperti dalam kes Khairy Jamaluddin, beliau menggunakan syarikat milik Kementerian Kewangan untuk menyelamatkan perniagaan yang ada kaitan terus dengannya.

Kekecewaan yang dirasakan oleh rakyat tidak pun dapat menyaingi kekecewaan yang dirasakan oleh sahabat lama Abdullah di BTN dan GPMS dahulu. Mereka telah menjangkakan diberi peluang sedikit habuan mengikut kuasa yang ada di tangannya. Malahan, Abdullah telah melantik beberapa sahabat lama di zaman BTN dan GPMS untuk menjadi Setiausaha Sulit kepadanya sebagai tanda bahawa “orang-orang ini harus diberikan kontrak.” Akan tetapi setiap kali mereka membuat lawatan kunjung hormat kepada Thajudeen Abdul Wahab untuk mengendeng habuan mereka, kerap sangat mereka disekat oleh suku-sakat Khairy yang bertugas di Jabatan Perdana Menteri, terutama sekali Mr. Dua puluh persen, Ahmad Zaki Sahid - Inilah satu-satunya orang yang diberikan kepercayaan penuh oleh Abdullah terhadap urusan ekonomi dan kewangan negara, dan inilah malaun yang telah didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin UMNO dengan tuduhan korupsi.

Inilah paradoksnya dengan Abdullah Badawi. Dia tidak nampak ada salahnya dengan korupsi di kalangan anggota keluarga beliau, tetapi menentang begitu lantang kalau orang lain membuatnya. Dia menganggap Tan Sri Isa Samad sebagai seorang pembelot UMNO kerana mengagihkan wang untuk memantapkan kedudukan politiknya dalam UMNO. Akan tetapi apabila Ahmad Zaki berbuat perkara yang sama, Abdullah menganggapnya sebagai satu kesilapan yang tidak disedarinya.

Apabila Kasitah Gadam gunakan wang kerajaan untuk membantu syarikat milik keluarganya, Abdullah telah menghambatnya laksana seekor singa lapar. Akan tetapi apabila Kalimullah dan Khairy mendesak Nor Mohamed Yakcop memberi arahan agar Avenue Capital membeli ECM Libra, Abdullah hanya mampu berkata “dia tidak tahu-menahu akan urusan itu.” Sama ada Abdullah adalah seorang pembohong besar ataupun dia memang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang paling dungu dalam sejarah negara kita.

Cuba kita anggapkan bahawa alasan yang kedua itu adalah yang sebenarnya, bererti Abdullah tidak terlibat dengan korupsi yang membabitkan ahli keluarganya. Jika demikian Abdullah merupakan satu bebanan besar kepada negara ini. Adalah amat teruk keadaannya kalau seseorang itu menjalankan tugas tanpa menyedari bahawa orang yang paling rapat dan amat berharga dalam hidupnya menjadi kaya raya dengan menyauk harta negara.

Memang terlalu banyak kisah mengenai kelemahan Abdullah serta kedunguannya. Terlalu banyak untuk diingat semuanya. Bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad telah mengadu kepada kawan-kawannya bahawa Abdullah terlalu kerap tidur lena walaupun pada ketika dia sepatutnya menghadiri temu janji dengan pelawat dan tetamu negara asing serta pemimpin korporat.

Beberapa orang menteri seperti Syed Hamid Albar menjadi tertekan apabila mendapati Abdullah menyerahkan dokumen rahsia negara kepada menantunya Khairy sedangkan itulah dokumen yang menjadi bahan perundingan antara Malaysia dan Singapura untuk bacaannya sebelum tidur. Kerana tertekan bahawa maklumat mengenai dasar luar kerajaan sudah pun diketahui lebih awal oleh menteri sejawatannya di Singapura, Syed Hamid Albar menjadi begitu curiga terhadap Khairy sehinggakan dia membawa dokumen rahsia itu sendiri ketika berjumpa Perdana Menteri dan tidak lagi mengemukakan dokumen itu lebih awal ke meja Perdana Menteri.

Baru-baru ini Menteri Kewangan Kedua Nor Mohamed Yakcop telah terkejut beruk apabila mengetahui satu senarai kotak-kotak yang menyenaraikan nama pemenang kontrak di bawah Rancangan Malaysia ke Sembilan telah diconteng-conteng dengan nama dan syarikat yang patut diberikan projek itu, walaupun tender mengenai projek belum lagi disiapkan dan tendernya diumumkan. Coretan tangan itu adalah hasil kerja Khairy.

Pada satu hari selepas selesainya satu mesyuarat kabinet, Menteri Luar Bandar Aziz Shamsuddin telah berjumpa dengan pemimpin Pemuda UMNO tertentu daripada Pahang yang datang meminta kontrak. Aziz Samsudin terkejut beruk apabila mengetahui Dato yang muda-muda itu datang untuk menagih kontrak yang baru dua hari sahaja diluluskan oleh kabinet. Setelah menyiasat secara mendalam Aziz terkejut lagi melihatkan salinan mesyuarat kabinet itu ada di tangan tetamunya, yang mendakwa telah diberikan dokumen itu oleh Khairy. Walaupun marah dengan cara pelanggaran protokol dan rahsia negara yang dibocorkan, Aziz tidak mampu berbuat apa-apa lagi, kecuali mengizinkan permohonan mereka.

Aziz sudah lama bersahabat dengan Abdullah, dan memang sudah lama sedar sejak berbulan-bulan dahulu lagi betapa dia sudah kehilangan pengaruh ke atas Perdana Menteri yang kini hanya mendengar suara anak menantunya dan tidak suara orang lain lagi.

Masalah begini menular ke bawah hingga ke tahap pentadbiran negeri. Ada seorang peniaga Cina baru-baru ini memberitahu Ketua Menteri Pulau Pinang Koh Tsu Koon bahawa Khairy sudahpun memberikan beliau kuasa untuk membangunkan kawasan lapangan terbang Bayan lepas dengan cara menambak tanah – sedangkan projek itu belum lagi dibincangkan oleh kerajaan negeri dengan pihak luar. Sekurang-kurangnya ada dua orang Exco Gerakan yang telah berkata kemungkinan Tsu Koon dipindahkan ke Jabatan Menteri Persekutuan, dan mereka akan menjadi Ketua Menteri yang baru – mengikut apa yang dijanjikan oleh Khairy kepada mereka.

Menteri Besar Perak Tajol Rosli telah menerima satu surat daripada satu syarikat pembinaan yang bermodalkan RM2 dan berpangkalan di Lumut yang mengatakan bahawa Khairy telah memberikan mereka izin untuk menggali pasir daripada pesisiran pantai Lumut untuk dijual di luar Perak. Sedangkan penjualan pasir untuk melepasi sempadan negeri sudah lama diharamkan dan usaha itu melanggar peraturan Perak yang mahu mengekalkan pesisiran pantai sebagai usaha melindungi alam maya. Perkara semacam itu tidak membawa makna kepada Naib Ketua Pemuda Bahagian UMNO itu kerana dia adalah anggota Kelab Naib Ketua Pemuda yang dipelopori oleh Khairy. Apabila Tajol Rosli membantah, Naib Ketua Pemuda itu mengugut mahu membawa perkara itu kepada pengetahuan Khairy dan membawanya terus naik ke atas.

Ketua Menteri Sabah Musa Aman telah cuba sedaya upaya agar Danaharta menjual projek Sutera Harbour (Pelabuhan Sutera) kepada sekutunya seorang Kadazan bernama Melvin. Usahanya sebelum itu menjadi buntu sehinggalah Musa memberi arahan kepada seorang Ketua Pemuda UMNO bernama Hasnul Ayub Aman, anak lelaki kepada Pengerusi Sabah Times, untuk berjumpa dengan Khairy membawa segala butiran dan menawarkan beliau sedikit komisen. Dengan tawaran agar Khairy mendapat peratus dalam urusniaga itu, tidak lama lagi Kementerian Kewangan akan meluluskan penjualan Sutera dengan harga yang lebih rendah daripada sebutharga yang pernah ditetapkan oleh Danaharta sebelum itu. Penjualan akan berasaskan rundingan tanpa tender.

Semua ini merupakan secebis kisah daripada pelbagai peristiwa yang telah terjadi selama dua tahun melibatkan Khairy Jamaluddin dan pentadbiran kerajaan Abdullah. Ini adalah laksana mencakar di bahagian atasan sahaja. Sebelum ini para menteri dan ahli politik menjadi terlalu takut untuk bercakap. Akan tetapi, mereka kini sudah naik marah dengan Abdullah sehinga berani bersuara lantang mengenai Khairy yang salah-gunakan kuasa. Sedikit demi sedikit, kisah ini dapat bocor juga walaupun media rasmi kerajaan – yang dikawal sepenuhnya oleh pembodek Khairy seperti Kalimullah Masheerul Hassan, Brendan Pereira, Wong Sulong dan Wong Chun Wai - sengaja diam membisu tentang pergerakan anak menantu Perdana Menteri itu. Pihak akar umbi dalam UMNO berjaya juga mendapat berita secara gelap dan melalui mulut ke mulut. Hanya golongan yang begitu bengong dalam UMNO yang tidak sedar bahawa Khairy adalah raja dan dalang boneka yang menguasai Abdullah secara mutlak.

Bahaya yang mendepani Khairy ialah keberanian orang bersuara sekarang ini tanpa takut-takut mengenai korupsi yang begitu membarah dalam keluarga Abdullah. Lagi pun, mereka sudah naik jelak dengan perkara yang sama semasa pemerintahan Mahathir Mohamad dahulu. Akan tetapi Mahathir tidak pernah menjanjikan satu pembaharuan. Jadi, semasa rakyat memang sudah lali dengan karenah kerakusan keluarga Mahathir yang bergelumang dengan rasuah, mereka menjadi lebih kecewa dengan Abdullah, yang berlabelkan keintelektualan Islam tetapi membenarkan perkara yang sama berlaku dengan lebih rancak lagi ligatnya tanpa menghiraukan keresahan rakyat.

Ramai yang berkata bahawa Abdullah adalah merupakan satu ancaman berbahaya kepada UMNO dan harus disingkirkan secepat mungkin. Namun, tidak ada sesiapa yang berani mengorak langkah pertama untuk membuka silat perang. Memang ada beberapa nama yang dipujuk untuk menjadi tukang cara dalam perubahan itu. Mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad merupakan calon yang paling diharap oleh ramai anggota UMNO yang tidak puas hati mahukan pihak lain menyokong mereka, dan Tengku Razaleigh Hamzah adalah harapan mereka juga.

Kalau ada yang menyelamatkan tengkok Khairy masa ini ialah sifat rakyat Malaysia yang sudah lali dengan kegelojohan kerajaan dalam korupsi, setelah dipermudahkan oleh amalan zaman pemerintahan Mahathir dahulu. Sambil mereka masih berhati-hati, Khairy sudah bertindak pantas menimbun harta karunnya dan memantapkan kuasa naungannya terhadap para pemimpin UMNO yang mudah dibelinya. Khairy masih boleh menyandarkan harapan terhadap ketakutan paling besar Mahathir yakni kembalinya Anwar Ibrahim menyertai UMNO semula, yang sudah pasti akan disokong oleh Abdullah. Kalaulah ada antara penyokong Mahathir, contohnya Najib Tun Razak, berani mencabar Abdullah secara terbuka, Anwar akan menjadi bidak yang akan digunakan oleh Khairy dalam peperangannya terhadap Mahathir. Selagi Anwar mampu menarik perhatian rakyat dengan meneruskan dendam kesumatnya terhadap Mahathir dan mereka yang terlibat dengan konspirasi 1998 dahulu, yang menyebabkan kejatuhannya, bererti Khairy akan berada dalam zon selamat.

Akan tetapi, Anwar semakin kehilangan pengaruhnya dan Khairy juga menghadapi dilema yang sama. Mereka berdua berada di penghujung pertarungan dan ramai dalam UMNO yang mahu melihat Khairy dan juga Anwar dipupuskan untuk selama-lamanya. Memang amat menarik kalau pemimpin UMNO yang sudah lanjut usianya, membayangkan satu situasi di mana mereka berjaya menumbangkan Khairy, menjatuhkan Abdullah dan dengan itu menentukan Anwar menjadi seorang pemimpin yang sudah hilang bisanya dan terus kekal di pihak pembangkang yang tidak bertaring lagi. Mereka yang melihat Khairy satu ketika dahulu sebagai seorang tokoh yang sungguh unggulan tentu dapat melihat kini mana perginya permaidani terbangnya. Kalau disediakan rempah ratus yang betul, pesawat Khairy akan terhempas dan terbakar juga.

Bersambung ke Bahagian 28:

- MalaysiaToday

Terjemahan MT-SPAR  - 15.02.2006 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)

Hikayat Khairy Jamaludin:  Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 2122 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan

Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN