TAG 1829-28:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 28
Muslihat Baru: Rencana yang Terburai
(A New Deal: Losing the Plot?)
Laporan Khas Malaysia Today - Laman M@RHAENIa dikatakan sebagai satu rombakan kecil, tetapi dalam beberapa jam selepas pengumuman perubahan kabinet itu, Abdullah Ahmad telah terhumban ke kancah pengelakan bencana. Libasan memang muncul secara mendadak. Para wartawan yang membuat liputan tidak pun tahu apa yang perlu ditanya terhadap Perdana Menteri kerana terlalu tingginya harapan dan jangkaan sebelum pengumuman rombakan itu. Orang telah menjangkakan satu rombakan besar-besaran bersaiz XXL membayangkan pilihan Paklah dan menantunya Khairy Jamaluddin selepas berlalu Pilihan raya Umum. Semua itu ternyata satu kehampaan juga. Segelintir wartawan asing telah menyatakan komen yang sungguh menyindir para menteri yang sungguh korup dan kisah pelbagai skandal yang menghantui kabinet itu. Namun, wartawan tempatan yang hanya minggu lalu diperli kerana terlalu terikut-ikut dengan perangai dan gelagat wartawan asing, terpaksa termangu dengan soalan yang bodoh-bodoh seperti mahu tahu apakah harapan seorang Perdana Menteri terhadap kabinet barunya. Timbalan Perdana Menteri Najib Tun Razak tidak mampu menyorokkan geli hatinya melihatkan kelakuan Paklah yang tidak senang dengan pengumuman yang mengecewakan itu. Tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang melihat siaran di TV yang terlepas pandang akan perbezaan gaya gerak badan dua pemimpin tertinggi negara, yang memang amat ketara.
Apakah Abdullah sudah tersasar jauh daripada rencana asalnya? Sejak beberapa bulan yang berlalu, beberapa orang rakan rapat Khairy telah diberitahu akan desas-desus bahawa Abdullah berkemungkinan melakukan rombakan besar terhadap kabinetnya sebagai usaha menonjolkan dasarnya yang mahu memerangi korupsi. Khairy telah membocorkan maklumat kepada wartawan asing termasuk kepada beberapa orang wartawan ‘stringers’ di Singapore Straits Times betapa beberapa orang menteri tertentu, seperti Rafidah Aziz akan tersingkir, jika tidak ditukarkan kepada kementerian yang lebih rendah tarafnya daripada yang mereka pegang. Akhirnya keputusan mengekalkan beliau dan beberapa ‘tunggul lapuk’ peninggalan zaman Mahathir dan ditambah pula dengan kemasukan bekas menteri, tengkucelup Adnan Mansur yang menghadapi kes muflis di mahkamah, menampakkan bahawa Abdullah tidak lagi mendengar suara bisikan penasihat pilihannya yang juga merupakan seorang anak menantu.
Hanya beberapa jam selepas pengumuman Abdullah, Khairy telah memanggil Reme Ahmad di The Straits Times untuk menyatakan kekecewaan beliau dengan ‘barisan baru’ itu. Angin kelentungan berputar ligat. Kalimullah Hassan Masheerul Hassan telah diberitahu agar memaklumkan kepada kawan-kawan beliau dalam media asing bahawa Khairy merasa ‘kecewa’ dengan pilihan Abdullah dan dia tidak ada sangkut paut dengan barisan baru itu. Brendan Pereira dan Hishamuddin Aun telah bergerak cergas menggunakan New Straits Times dan Utusan Malaysia untuk membuat kritikan lembut terhadap pilihan Abdullah. Begitu juga dengan Wong Chun Wai di The Star yang mendapat arahan Khairy agar menyindir sedikit barisan baru itu. Semua itu adalah satu pembohongan - satu helah untuk menutup apa yang sebenarnya mungkin merupakan satu tindakan Khairy yang paling bermuslihat.
Golongan manusia biasa di kalangan kita mungkin boleh dimaafkan seandainya berfikiran bahawa Abdullah telah bertindak sendirian. Walaupun pudar sahaja barisannya, Abdullah telah melantik anggota kabinet tanpa merujuk kepada Khairy dan menunjukkan kemampuan bertindak bebas daripada cengkaman pemikiran Timbalan Ketua Pemuda UMNO yang semakin tidak disukai ramai. Sudah tentu Khairy mahu melihat keadaan Abdullah semacam orang yang sudah dikuasainya. Sejak enam bulan yang lalu, salah satu masalah besar Khairy ialah persepsi anggota UMNO dan juga khalayak ramai bahawa dia sudah menjadi terlalu perkasa dan berpengaruh sehingga mampu menyibuk dengan urusan Abdullah. Khairy dilihat sebagai tukang sibuk persis Svengali yang berpengaruh dahulu yang menjadi dalang kepada seorang Perdana Menteri yang mudah tertidur dan sentiasa letih sahaja. Keadaan sudah semakin berbahaya kepada Khairy kerana apa juga kesalahan dan kepincangan Paklah yang besar-besar kerap dihalakan telunjuk kesalahannya terhadap penasihat beliau yang salah dan tinggi kerakusan nafsunya.
Khairy mempunyai masalah dalam hubungan awam disebabkan kesan tiga bentuk persepsi - sama ada betul ataupun tidak. Pentadbiran Abdullah bermula dengan segala gembar-gembur menyerupai kemunculan satu gagasan imperial Presiden Amerika; tetapi kini mengecut dengan segala gambaran haprak perancangan itu. Seorang pegawai perkhidmatan awam yang bertukar menjadi pemimpin politik itu ternyata tidak mampu menggugurkan watak lembiknya dan kini semakin menonjol sebagai seorang badut yang tidak dapat memuaskan keyakinan rakyat setelah mereka menghadiahkan beliau dengan satu kemenangan besar dalam pilihan raya, selepas kemenangan Tunku Abdul Rahman dahulu. Kerana mahu menentukan satu masa depan yang berkesan, Khairy mahu dilihat sebagai tidak lagi berperanan persis Rasputin yang mendalangi Maharajah Czar.
Akan tetapi apabila diteliti dengan halus barisan kabinet itu, memang jelas penglibatan Khairy yang menentukannya. Pertama, pengekalan tunggul lapuk seperti Rafidah Aziz, Azmi Khalid, Aziz Shamsuddin, Rais Yatim, Lim Kheng Yaik dan yang sekandang dengan mereka. Kalau semua itu adalah satu gambaran kegagalan Khairy merobah kabinet, sebenarnya itu adalah satu taktik Khairy untuk mengabui helahnya. Untuk menentukan kesinambungan kerjaya politiknya, Khairy tidak perlu menggugurkan semua menteri itu dan bermusuh dengan mereka lebih dua tahun sebelum pilihan raya UMNO, di mana dia dijangka akan mencabar Hishamuddin bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO. Mencantas tunggul lapuk itu adalah satu tindakan yang tidak bijak kerana ia akan mencetuskan ketegangan dan memperkasakan musuh-musuh Khairy, khususnya Dr. Mahathir Mohamad dan anak emasnya Najib Tun Razak.
Berpandukan taktik itu, Khairy telah bertindak mengekalkan semua menteri itu dan mendesak Abdullah melakukannya. Lagi pun, kalau perlu dia masih mempunyai masa yang terluang untuk menggugurkan mereka di masa depan. Dengan mengekalkan mereka Khairy melonjakkan suhu kemarahan rakyat terhadap tunggul lapuk itu semua yang dilihat sebagai seteru rakyat kerana gelagat mereka yang tamak haloba dan membazirkan wang rakyat sahaja. Khairy tahu, tanpa menyingkirkan mereka setan akan terus bermaharajagila. Lagi pun tunggul lama ini kalau terusik dan tersentuh jiwanya akan merusuh dan membuka peti harta karun mereka untuk berbelanja sakan dan membalas dendam terhadap Khairy. Lantas muncullah taktik mengekalkan mereka, menambahkan kemarahan rakyat terhadap salah laku mereka dan mengusahakan penyingkiran mereka hanya selepas Pilihan Raya Umum ketika segelintir mereka itu sudah pun mencapai usia 70 tahun ataupun lebih.
Dari menggoncang dan merungkai pucuk kepimpinan, Khairy telah memilih usaha memperkasakan pengaruh di kalangan pemimpin pelapis. Beliau telah menyelamatkan seorang loyalis utama, Noh Omar daripada kepanasan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan mengalihkan kepada jawatan Timbalan Menteri Pelajaran ( yang dianggap sebagai satu jawatan selamat dan berpengaruh, dari kacamata UMNO). Noh Omar dilihat sebagai salah seorang yang amat diharap oleh Khairy untuk menyalurkan maklumat akan aktiviti bosnya, Hishamuddin Hussein yang merupakan saingan Khairy. Sesungguhnya cerita sebenar ialah Noh Omar diletakkan di situ untuk memenuhi dua tujuan..
Pertama, Khairy mahu Noh merisik kegiatan Hishamuddin dan mensabotaj apa juga usaha yang mungkin dilakukan oleh Hishamuddin untuk memperkasakan kedudukannya pada pilihan raya UMNO yang akan mendatang. Kedua, Noh ialah seorang ahli Pertubuhan Kelab Alumni UMNO bagi pelajar seberang laut, dan dengan kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri pendidikan, Noh mempunyai kedudukan penting untuk memberikan maklumat kepada Khairy. Dengan hanya setahun sahaja yang tinggal sebelum Pilihan Raya Umum yang lagi satu, Noh akan menjadi berguna untuk memberikan maklumat taktik yang penting dan berstrategik.
Di waktu yang sama Noh diletakkan di satu kedudukan terkanan di kalangan ahli politik Selangor. Dengan pengguguran Shafie Salleh daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Noh kini merupakan calon Selangor yang terkanan yang boleh digunakan oleh Khairy sebagai calon Menteri Besar untuk menggantikan Khir Toyo yang sungguh berbahaya padanya. Khir Toyo boleh menjadi penentang terhebat kepada Khairy.
Seorang lagi loyalis Khairy yang baru dinaikkan pangkat ialah Johari Baharom, bekas Setiausaha Politik Dr. Mahathir yang berpaling tadah setelah menyedari bahawa masa ketuanya akan berlalu juga. Abdullah dan Khairy telah lama menggunakan khidmat Johari sebagai mata dan telinga mereka di pejabat Mahathir di zaman terakhir cengkaman kuasanya. Ketika anak Mahathir, Mukhriz, cuba mencabar Khairy bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda UMNO, Khairy telah memberi arahan kepada Johari untuk memusnahkan usaha Mukhriz dengan mensabotaj pemilihannya dalam bahagian Pemuda UMNO Kubang Pasu. Kejayaan Johari menghancurkan ketokohan Mukhriz memberi suntikan kepada kejayaan Khairy untuk menang jawatan itu tanpa bertanding. Inilah yang
membuatkan tercalar imej Mukhriz tercalar sehingga terpaksa menjilat lukanya sebelum menantikan pemilihan UMNO pada tahun depan. Dengan melantik Johari sebagai Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Khairy semakin yakin dapat mengawal Setiausaha Agung UMNO, Radzi Sheikh Ahmad. Johari lebih berminat kalau dilantik naik terus menjadi seorang menteri seperti kawannya Aziz Shamsuddin, tetapi Khairy merasakan perlunya Johari berkhidmat terus sebagai agen dan pemuslihat beliau.Abdullah telah menjelaskan bahawa populariti dalam pemilihan UMNO tidak menjamin keputusan beliau dalam pelantikan seseorang menjadi menteri kabinet. Penurunan pangkat Ahmad Zahid Hamidi kepada salah satu pangkat di Kementerian Penerangan adalah satu taktik Khairy yang penting. Zahid merupakan seorang Ketua Pemuda UMNO yang popular (kepada pemuda UMNO dan bukannya pada dunia sejagat). Malahan, kemantapan Zahid semasa pemilihan Majlis Tertinggi dahulu membuatkan Khairy terkecut telur juga. Seperti bekas Ketua Pemuda UMNO Syed Hamid Albar, Zahid mampu muncul kuat semula seandainya Hishamuddin berhasrat mahu menjawat jawatan Naib Presiden parti. Kalau muncul situasi ini, dan Khir Toyo naik kecut pula, sudah tentu Zahid akan berupaya mencabar dan mengalahkan Khairy. Zahid amat sedar yang dia mendapat sokongan padu kumpulan Najib (beliau pernah menjadi Setiausaha Politik Najib satu ketika dahulu) dan juga para penyokong mantan Timbalan Presiden Anwar Ibrahim (yang kagum melihatkan Zahid ditahan di bawah ISA semasa hari-hari bermulanya Reformasi). Dalam pertandingan semacam ii Zahid mampu meraih 60% undi.
Khairy tidak mampu menghadapi risiko seorang pesaing, seandainya dia adalah seorang menteri. Menjelang pilihan raya UMNO nanti, Khairy mungkin tidak lagi menjadi seorang menteri, kerana ini akan menampakkan jelasnya amalan nepotisme menjadi amalan satu pentadbiran yang lembik. Paling tinggi pun jawatan yang diharapkan oleh Khairy ialah sebagai seorang ahli Parlimen dengan satu jawatan Timbalan Menteri. Ini masih tidak mencukupi kalau diambil kira kedudukan Zahid sebagai seorang anggota Majlis Tertinggi dan bekas Ketua Pemuda UMNO yang popular. Begitu juga dengan kedudukan beliau sebagai bekas Pengerusi BSN, dan peti besar tabung persiapan perang yang dikumpulkannya selama lebih dua setengah dekad menjual dirinya kepada pembida tertinggi di kalangan masyarakat peniaga.
Sekali lagi Zahid terlepas peluang untuk menganggotai kabinet. Dia tidak akan melawan balik kerana masih kekal dengan kedudukan sebagai seorang Timbalan Menteri dan ini adalah kedudukan yang lebih baik berbanding apa yang pernah diberikan oleh bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir kepadanya. Usaha menggoyangkan umpan di depan muka Zahid sudah cukup untuk melekakan si kaldai supaya tidak berkhayal menjadi kuda tangkas yang mampu mencabar takhta impian Khairy.
Satu lagi strategi utama Khairy ialah mengembalikan kedudukan tengku celup Adnan Mansur, seorang kaki gedebe kelahiran Melaka yang berpura-pura berdarah raja. Sebelum itu Khairy telah tersilap menyingkirkan Adnan selepas beliau menang besar kerusi Parlimen Putrajaya. Kerana kecewa dan bersemangat dendam, Adnan telah cuba membunuh sekutu utama Khairy, Ahmad Zaki Zahid, Ketua Pemuda Putrajaya. Walaupun beliau gagal dalam usaha itu melalui nomininya, yang merupakan anak lelaki Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Aseh Che Mat, namun Adnan tidak berdiam diri. Sebagai berdamai, dan memenuhi janji untuk melantik timbalan Adnan menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, Khairy membawa balik Adnan menganggotai kabinet.
Jawatan Menteri Pelancongan memang amat serasi dengan Adnan yang suka berfoya-foya dan main-betina serta urusan perniagaan ‘social escort’ dan syarikat perjudiannya. Khairy sedar apabila muncul pilihan raya akan datang, dia mampu meletakkan Ahmad Zaki Zahdi sebagai MP Putrajaya dan mencampakkan Adnan untuk selama-lamanya. Cuma masanya bukan sesuai sekarang ini. Dia masih mampu membuatkan Adnan selesa untuk sementara waktu. Sementara itu tindakan memilih Zulhasnan sebagai menteri kabinet menepis kemungkinan beliau pergi menyebelahi Najib Tun Razak dan menjadikan beliau terus bersyukur kepada a si anak menantu tadi.
Barisan kabinet Paklah memang nampak suram kerana rakyat menumpukan perhatian hanya kepada barisan utama dan perampas perhatian berita. Akan tetapi segalanya nampak cocok (sesuai dan serasi) di tempatnya apabila kita lihat kepada barisan pelapis yang akan menjadi pemimpin masa depan. Inilah muka yang akan menjadi bahan bakar dan bahan umpan dalam usaha Khairy merangkul jawatan Perdana Menteri sebelum mencecah usia 40 tahun. Sifat kerakusan dan kebuasan seorang pengimpi jawatan tertinggi itu memang amat jelas kelihatan di mana sahaja dalam kabinet Paklah. Mereka yang terfikir bahawa Paklah sudah ketandusan idea memang tepat dengan pemikiran itu, tetapi Khairy ternyata tidak kehilangan wawasannya. Malahan, Khairy mampu memperkasakan kedudukannya. Barisan kabinet baru itu seolah olah menampakkan Paklah sengaja meniru usaha memperkasakan kumpulan Mahathir- Najib dan dengan itu tidak boleh dijangka akan dicabar oleh mereka secepat mungkin -- Sedangkan Najib sendiri tidak mampu melangkah jauh ke depan kerana ramai menteri yang sama taraf dengannya ataupun lebih kanan darinya masih berada dalam kabinet dan tidak mungkin mudah tunduk kepada rakan ‘junior’ mereka walaupun dia berperanan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Apa pun, Khairy merupakan insan yang akan meraih keuntungan di waktu yang panjang. Mungkin kabinet itu diwarnai tunggul lapuk sahaja, tetapi semasa anda membaca nukilan ini Khairy sedang merencana satu muslihat baru semacam ular-ular berbisa yang akan dilepaskannya naik menonjol di persada utama politik UMNO.
Bersambung ke Bahagian 29: Mawarindu - Insan Baru Dalam Kehidupan Abdullah
- MalaysiaToday
Terjemahan MT-SPAR - 15.02.2006 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Hikayat Khairy Jamaludin: Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 21 - 22 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN