TAG 1829-29:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 29
Muslihat Baru: Mawarindu - Insan Baru Dalam Kehidupan Abdullah
(A New Deal: Rosebud – a new person in Abdullah’s life)
Laporan Khas Malaysia Today  - Laman M@RHAEN
Selain dari sama-sama berasal daripada Pulau Pinang, ada satu minat Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang turut dikongsi juga oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Mereka berdua adalah peminat Almarhum Tan Sri P. Ramlee, juga anak kelahiran Pulau Pinang. Kalau Anwar Ibrahim amat suka mengalunkan lagu ‘Azizah’, tentunya sebagai merujuk kepada isterinya sendiri; Abdullah gemar akan satu lagi gubahan P. Ramlee yang bertajuk ‘Anak Dara Rindu’. Kawan-kawan lama Abdullah di universiti dahulu pernah menceritakan kisah bagaimana dia kerap meragamkan alunan lagu itu dan senikatanya yang meleret-leret, sambil mengimbau nama seorang kekasih hati yang ditinggalkan jauh kesepian di kampung halaman di tepian sungai yang mengalir lesu ke arah muara dan lautan. Suara Abdullah adalah lebih mirip suara A.R. Tompel daripada menyerupai suara P. Ramlee.

Ketika Abdullah sama-sama berkhidmat bersama ayah Khairy di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, mereka berdua kerap diminta menyanyikan lagi-lagu P. Ramlee sebagai menghibur rakan-rakan tetamu daripada negara jiran. Selalunya Abdullah akan memilih lagu kegemaran yang sama untuk didendangkannya.

Perkara ini sememangnya lebih daripada secara kebetulan sahaja. Pada tahap awalan beliau berkhidmat dalam perkhidmatan awam (PTD), Abdullah telah bersua muka dan mengahwini seorang pegawai kerajaan peringkat bawahan yang merupakan kelahiran keluarga seorang pegawai tinggi Perkhidmatan Negeri Selangor yang terkenal. Nama gadis itu ialah Endon Mahmood Ambak. Itulah perkahwinan yang diiringi satu pakej penuh manfaat kepada seorang pegawai muda yang bermertuakan seorang pegawai tinggi perkhidmatan awam. Abdullah masih lagi mentah dalam meniti tangga pangkat yang sentiasa licin dan lembab langkahnya untuk naik ke atas hierarki PTD. Ketika itu Abdullah dan Endon sentiasa dilihat sebagai sepasang suami isteri laksana pinang dibelah dua. Akan tetapi  mereka yang mengenali Abdullah sejak zaman kanak-kanak dahulu, sedar betapa Abdullah telah dibesarkan dengan bayangan ’pondok’ yang menjadi warisan datuknya; seorang ilmuwan hebat pada zaman itu, Sheikh Abdullah Fahim. Mereka masih ingat betapa hati muda Abdullah pernah dicuri oleh seorang gadis sunti kelahiran tempatan. Hanya beberapa lama kemudiannya keadaan sudah berubah menjadikan hati muda Abdullah jatuh tersangkut kepada Endon.

Sememangnya tidak ada sesiapa yang meragukan betapa bahagianya perkahwinan Abdullah kepada Endon Malahan itulah perkahwinan yang mempunyai teras pengukuhan yang amat luar biasa. Endon adalah laksana tongkat sakti yang menjadi tonggak harapan Abdullah. Pada zaman dahulu sebelum munculnya insan bernama Khairy Jamaluddin mewarnai keluarga Abdullah, kehadiran Endon di sisinya dengan kesetiaan Setiausaha Politiknya dahulu Allahyarham Fatah, merupakan laksana jejambat gantung yang mengukuhkan dua menara kembar yang tegak perkasa menyokong ketokohannya. Pemergian Fatah hanya beberapa bulan selepas Abdullah naik takhta Timbalan Perdana Menteri, disusuli kemudiannya dengan pemergian Endon yang dihambat serangan barah, menyebabkan Abdullah menyandarkan harapan ke atas satu kelompok manusia yang menunjukkan kesetiaan lebih berpandukan kepada ganjaran dan habuan yang dapat mereka perah darinya berbanding kesetiaan abadi kepadanya. Inilah keadaan yang membuatkan kedudukan Abdullah menjadi goyah.

Abdullah merupakan seorang hamba Allah yang tidak mempunyai naluri mempercayai jatidiri sendiri. Malahan, bolehlah dikatakan dia amat kurang memiliki naluri demikian. Lantas, dia perlu mewujudkan satu kelompok penasihat yang rapat dengannya dan yang mampu melakar idea pemikiran dan strategi. Memang kerap juga dia sendiri tidak dapat memahami mereka, namun sebaliknya dialah yang menjadi jurucakap kepada pemikiran yang mereka cetuskan. Inilah caranya negara ini sedang ditadbir di bawah pemerintahan Abdullah.

Sesungguhnya para penasihat demikian memang tidak bertindak untuk membawa faedah kepada negara ini, akan tetapi tindakan mereka itu dilaksanakan kerana mereka meraih sedikit manfaat darinya. Malahan dalam keluarga Abdullah sendiri, walaupun dia mengaku kerap mengharapkan pandangan anaknya Kamal dan Nori, pandangan mereka itu kerap diwarnai pelbagai kehendak yang penuh kerakusan daripada rakan perniagaan Kamal dalam syarikat Scomi, dan nafsu membuak Nori yang sering mahu melihat dan melonjakkan impian politik suaminya yang memang terkenal sebagai pelahap yang bijak. Akhirnya para penasihat Abdullah lebih dianggap sebagai burung unta dan bukannya sebagai penasihat bergeliga. Mereka dilihat begitu ganas menyiat dan melahap daging yang ada sehingga tulang sumsumnya.

Beberapa bulan yang lalu, menjelang berakhirnya seratus malam tahlil selepas pemergian Endon, Abdullah sudah mula bertemu kawan-kawan lama daripada Kepala Batas. Salah seorang dari mereka ialah seorang insan yang memang kerap berada menemani beliau pada hari-hari terakhir sebelum pemergian Endon selama-lamanya Lelaki yang bertanggungjawab menyusun-atur majlis membaca Yassin, sepuluh hari sebelum pemergian Endon telah mencadangkan agar Abdullah menerima ketibaan satu rombongan daripada kampung halamannya di Kepala Batas. ”Setakat kawan-kawan lama sahaja.” kata lelaki itu.

Apa yang tidak Abdullah sedari ialah sikap kawan baiknya itu dengan karenah lamanya yang bertindak sebagai seorang pengiring khas dengan harapan untuk menemukan kembali sekuntum ”Mawarindu”. Inilah dia ’gadis-sunti’ daripada Kepala Batas yang pernah berani mencuri hati Abdullah kira-kira lima puluh tahun dahulu semasa Abdullah masih teraba-raba tanpa keruan mencari tempat untuk melakar masa depannya. Memang, si Mawarindu masih bernafas lagi. Segar dan bugar walaupun usia sudah memanjat tangga kelima puluhan dan bergelar seorang balu yang sudah beranak dan bercucu yang kerap menemaninya. Si Mawarindu kerap menghabiskan masanya di khalayak masyarakat setempat -- seperti wanita berumur lain, khususnya dalam bidang kerja kemasyarakatan dan beramal-jariah. Namun, beliau mempunyai ketrampilan yang ceria dan kerap bertanya khabar akan insan istimewa yang kerap duduk tertonggok di tepi jalan di hadapan rumah banglo dua tingkat, menunggu si gadis sunti melintasi rumahnya. Buat ketika ini si Mawarindu memang sibuk dengan kerja sebagai seorang nenek sepenuh masa, tetapi, kalau mengikut kata-kata kawan-kawan lama Abdullah, beliau adalah lebih sesuai memberikan sokongan dengan berada di sisi Abdullah yang lembut dan terlalu berbudi bahasa. Si Mawarindu memang tidak mempunyai impian politik dan tidak berkemungkinan menggunakan peluang hidup sebagai isteri seorang Perdana Menteri untuk mendesak banyak habuan seperti yang dilakukan oleh ramai penggali lombong emas yang kini giat menyibuk dengan rakusnya.

Memang ramai sangat wanita semacam itu. Pelakon wanita, penyanyi, janda menteri-menteri, pemilik bangunan tinggi yang tidak laku lagi dan projek semacam itu, ibu tunggal yang mempunyai anak-anak berusia dua puluhan yang berimpian tinggi, malahan golongan andartu di kalangan warga istana yang sedia menawarkan diri sebagai calon mengisi kekosongan yang nyata. Ada yang sudah berani mengiklankan diri dalam tabloid sambil menonjolkan diri sebagai tokoh ibu utama negara. Semua wanita ini menyandarkan harapan agar Abdullah adalah laksana Azmi dan Effendi, yang akhirnya nanti akan jatuh cinta kepada insan bermata cilik yang akan memintal manja keperibadian Abdullah dengan jejari mereka.

Akan tetapi, Abdullah bukannya laksana Datuk K, walaupun banyak desas-desus yang menyatakan sebaliknya. Selama ini Abdullah merupakan seorang suami yang setia kepada isteri yang satu dan tidak pernah menyimpang jauh lebih satu meter daripada kamar tidur yang dikongsi bersama Endon, kecuali kalau dia perlu masuk bilik mandi.

Entah mana yang satu antara mujur dan malangnya – semua para penggalak, pengurus majlis, pengenal dan orang-tengah, termasuk juga di kalangan mereka itu beberapa anggota kabinet yang ada; semuanya gagal membuatkan Abdullah tersangkut dan jatuh cinta ala Normala-Tiara menjebak kekasih mereka.

Betapa seriuskah percintaan Abdullah dan si Mawarindu? BAIKLAH ANDA INGAT DULU BAHAWA ANDA MENDAPAT BERITA INI AWAL-AWAL LAGI LAKSANA EDISI AWAL DARIPADA LAMAN INI.

Beberapa bulan yang lalu, satu rombongan telah datang ke Putrajaya dan di antara tujuh belas wanita yang diangkut oleh bas hijau-kuning daripada stesen Padang Merdeka Butterworth termasuklah Puan Mawarindu. Abdullah telah mengecam beliau dengan pantas dan begitu ceria melihat ketibaan beliau membawa oleh-oleh yang berisi kueh bahulu yang memang dia masih ingat menjadi kegemaran beliau membuatnya semasa perayaan Hari Raya satu ketika dahulu. Tidak banyak pertukaran kata-kata antara mereka berdua. Tetapi tidak lama selepas itu Abdullah telah mengarahkan seorang anggota risik kepercayaannya untuk melakukan risikan keselamatan ke atas Puan Mawarindu sebagai langkah berjaga-jaga sahaja. Tidak ada yang meragukan dalam siasatan itu. Tidak lama kemudian beberapa memanda dan paman serta sepupu Paklah telah datang mengunjungi rumah Puan Mawarindu di Kepala Batas.

Kehadiran Mawarindu dalam bayangan hidup Abdullah telah terbongkar gara-gara keceluparan seorang ‘datuk’ bekas BTN (memang sahabat baik Abdullah dan kini menjadi seorang Yang Berhormat). Beliau tersasul cakap dan menyebut nama Mawarindu ketika menjamu selera waktu makan tengah hari di kediaman rasmi Perdana Menteri. Inilah yang mengejutkan anak Abdullah. Yang menghairankan tidak ada sesiapa yang begitu prihatin dengan kehadiran nama Mawarindu, kecuali si anak menantu.

Khairy sudah lama sedar antara begitu banyak jenis wanita di dunia ini yang tidak diingininya dikahwini oleh Abdullah, inilah jenis wanitanya. Wanita jenis ini mengikut tanggapannya akan memastikan Abdullah terus berada di landasan yang lurus dan membuatkan Abdullah sentiasa prihatin akan jatidirinya untuk rasa bersalah kerana membiarkan anak menantunya yang rakus membalun harta karun dan memberi peluang kepada segala kroni membalun sama sedangkan pihak yang berhak terpinggir sahaja. Khairy boleh merasa lega kalaulah Abdullah jatuh hati terhadap seorang peragawati (model) yang mudah dipujuk agar menutup matanya terhadap segala kegiatan yang terjalin di belakang suaminya. Khairy mudah membahagi-dua segala habuan yang ada dengan isteri Abdullah itu. Khairy juga tidak merasa gentar kalau ada seorang isteri baru semacam Rosmah Mansor yang mudah dipujuk agar tutup mulut dengan memberikan layanan yang baik dan protokol yang berlebihan untuk menyenangi egonya. Wanita semacam itu memang tidak mengancam Khairy yang yakin dapat menonjolkan ketrampilan ala Hindustan (seperti yang pernah disebut Greg Sheridan) untuk memujuk kaum Hawa mengikut kehendaknya..

Akan tetapi apabila berdepan dengan insan yang takut kepada Allah, Khairy memang tidak punya jawapan. Dia tidak mampu menentang kesucian semacam itu dengan segala kebijaksanaan yang dicanai oleh pensyarahnya di Oxford dahulu..

Itu sebabnya Khairy memujuk isterinya Nori agar Abdullah sedar betapa kurang baik menggantikan Endon dengan menikah seorang wanita lain sebagai isteri barunya; walaupun nyata dan jelas Abdullah memang memerlukan rakan hidup di waktu ini. Nori telah mengemukakan satu hujah yang amat bersahaja dan ’simple’ maknanya: ’cukuplah dengan kita berempat sahaja – yakni bang beliau Kamal dan isterinya Azrene dan Nori bersama suaminya Khairy. Mereka beranggapan bahawa empat orang itu sudah cukup menjadi tongkat yang menyangga Abdullah. Tidak perlu ditambah lagi bilangan itu dan tidak perlu ada orang lain untuk melangkah masuk dewan sepi di kediaman rasmi Putrajaya.

Pada mulanya memang Abdullah akur kepada desakan anak perempuannya yang digalakkan oleh Khairy kerana Khairy memang takut akan kehadiran seorang bahu (bahasa Hindustan bermakna ibu mertua). Akan tetapi kawan-kawan Abdullah tidak mudah putus asa. Khairy menjadi terkejut beruk bila mengetahui satu kisah yang terjadi sebelum berlakunya rombakan kabinet yang baru berlalu. Ketika itu Abdullah sedang berbincang secara terbuka dengan Kamal di Perth, secara tiba-tiba Abdullah telah terserempak dengan Puan Mawarindu dengan cucu-cucunya di satu kedai ’strudel’ di Perth. Itu bukan alang-alang ’terserempak’. Sesungguhnya beberapa orang anggota sekretariat Abdullah telah mengatur percutian Mawarindu di Perth agar dapat berada sama waktu di Perth dengan ketibaan Abdullah. Sudah tentu Nori dan Khairy naik melenting. Akan tetapi akan tiba juga masanya apabila mereka juga terpaksa akur tidak mampu menguasai pergerakan Abdullah. Lagi pun, siapa boleh teka bahawa kejadian terserempak itu akan berulang banyak kali lagi pada masa hadapan?

Pembaca yang dihormati, tentu ingin sangat mengetahui nama sebenar Puan Mawarindu. Malahan, nama itu memang sudah diketahui umum. Mereka yang mengingati lagu-lagu P.Ramlee tentu sedar kalau Anwar mempunyai ‘Azizah’; nama sebenar Mawarindu ialah terlekat pada satu lagi lagu yang memuji seorang lagi wanita. Cukupkah dulu kalau disebut di sini, seandainya Abdullah tercegat di hadapan jendela di pejabatnya di Putrjaya, besar kemungkinan dia mengulang kembali senikata ‘Anak Dara Rindu’. Bisikannya itu bukan kerana kebosanan, tetapi lebih kepada kesepian, terhadap barang yang lepas dan tidak boleh dicari ganti.

Sama sekampung, sedangkan dirindu
Inikan lagi hai jauh di mata..

Terkini: Atas permintaan ramai, keseluruhan senikara lagu yang pernah didendangan Almarhum Tan Sri P.Ramlee disiarkan di sini:

NAK DARA RINDU
Original Singer : P. Ramlee

Di Waktu Malam Bulan Mengambang
Sunyi Damai hai Damai Sekeliling Ku
Terdengar Nan Sayu Bintang Seribu
Membujuk Rayu Kerna Merindu
Lagu Yang Dulu

Di Waktu Malam Bulan Purnama
Angin Laut Meniup Niup Tenang
Mengatakan Sayang Berlagu Merdu
Bermadah Ayu Lemah Mendayu
Nak Dara Rindu

Tanjung Katong Airnya Biru
Tempat Mandi Nak Dara Jelita
Sama Sekampung Sedangkan Dirindu
Ini Kan Lagi Hai Jauh Di Mata

Tanjung Katung Airnya Biru
Tempat Mandi Nak Dara Jelita
Sama Sekampung Hai Sedang Dirindu
Ini Kan Lagi Hai Jauh Di Mata
 

Apa yang Allah telah ketemukan, tidak akan dapat dipisahkan oleh keperkasaan Kamal, Azrene, Nori dan Khairy walaupun mereka berganding sama.

Akan bersambung ke bahagian 30

- MalaysiaToday

Terjemahan MT-SPAR  - 24.03.2006 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)

Hikayat Khairy Jamaludin:  Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 2122 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan

Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN