TAG 1829-30:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 30
Pecah Perang: Budak Pekan Mula Melawan
(The Battle Begins: Pekan Boy Strikes Back)
Laporan Khas Malaysia Today - Laman M@RHAENMalam itu gelap gelita dan dihenyak ribut. Tetamu yang muncul daripada sebuah kereta yang tidak dikenali masuk meluncur di Aman Kota, melepasi pejabat Suruhanjaya Tinggi India, untuk memasuki gerbang rumah kediaman persendirian Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak. Kereta yang dinaikinya ialah kereta Waja yang sama dengan segala Waja yang kelihatan di jalan raya Malaysia. Namun, tetamu yang duduk di sebelah pemandu kereta itu tidak dapat dicam dari luar kerana tinta cermin kereta yang gelap, dan jelas menyalahi peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan. Sememangnya cermin gelap itu adalah satu kemestian untuk mengaburkan penglihatan orang luar kerana ketibaannya adalah untuk satu pertemuan yang sungguh sensitif. Dua tokoh yang akan bertemu itu adalah pemegang jawatan tinggi dalam UMNO dan dalam pentadbiran kerajaan Abdullah Ahmad Badawi. Mereka berdua tidak mahu dunia sejagat, khususnya Khairy Jamaluddin mengetahui apakah agenda pertemuan itu.
Najib Tun Razak yang telah merancang pertemuan itu. Beliau telah muncul daripada dewan utama rumah kediamannya yang kini sudah diubahsuai dijadikan surau sementara untuk para tetamu yang beliau undang pada petang itu untuk makan malam secara tidak formal. Kini, sekitar 40 orang tetamu yang datang sudah pun beransur pulang dan segelintir yang masih ada (termasuk bekas editor The New Straits Times Abdullah Ahmad dan beberapa bekas menteri) telah didesak oleh pegawai-pegawai khas Najib agar mereka juga turut berundur pulang. Najib sedang menunggu ketibaan seorang tetamu penting tidak lama lagi seolah-olah orang yang ditunggu-tunggu itu adalah ketuanya seorang Perdana Menteri. Tetapi bukan itu tetamu beliau yang sebenarnya. Tetamu itu adalah orang yang akan bersama-sama Najib membincangkan cara menjatuhkan Khairy Jamaluddin dalam Persidangan UMNO yang akan datang.
Si tetamu memang orang bergelar, belum sampai setengah umur lagi, tetapi beliau memang sudah lama memendam rasa terhadap Khairy. Setakat ini memang Najib enggan bertemu beliau secara peribadi kerana tidak mahu memberi isyarat kepada Khairy yang dia turut mahu menggagalkan impian anak muda itu naik mencanak dalam UMNO. Tetapi, masanya sudah tiba untuk Najib bertindak segera. Anak Rembau akan menghadapi satu tentangan dalam kerjaya politiknya oleh seorang patriak (orang yang disegani) daripada Pekan, Pahang. Pukulan sulung dalam peperangan UMNO dan pucuk kepimpinan kerajaan Abdullah Badawi sudah pun bermula.
Si tetamu tadi tidak pun keluar daripada keretanya sehinga kereta itu berhenti di tepi anak tangga rumah Najib. Dengan pantas dia melangkah masuk dewan untuk disambut oleh Najib. Memanglah amat mudah mengenali si tetamu itu gara-gara kedudukannya dalam politik Malaysia, lagi pun dia menganggotai Majlis Tertinggi UMNO pimpinan Abdullah. Kalaulah ada desas-desus beliau bertemu Najib dalam keadaan berahsia itu, sudah tentu menggegarkan ibu kota dan menjadikan agenda perbincangan mereka satu berita hangat dalam UMNO.
Memang bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Najib menerangkan rencana beliau kepada si tetamunya. Pertama, si tetamu, seperti Najib juga, sedar seandainya Khairy terus berpengaruh sebagai kuasa di sebalik takhta Abdullah, bermakna berakhirlah zaman kuasa mereka berdua. Mereka berdua memang sedar ketahanan mereka dalam politik adalah amat bergantung kepada kematian kerjaya politik Khairy. Tidak ada gunanya menyerlah kesetiaan kepada anak muda yang sudah begitu taksub untuk menjadi seorang Perdana Menteri sebaik sahaja dia mencapai usia 40 tahun. Cara terbaik untuk Khairy mencapai impian itu ialah dengan menamatkan kerjaya Najib dan tetamunya. Lagi pun, mereka berdua ini tidak mungkin bermuslihat hanya untuk membodek Khairy.
Memang umum sudah mengetahui betapa bencinya Khairy terhadap Najib. Mengikut mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, Khairy telah berani mengugut Najib betapa dia memiliki beberapa bahan bukti rahsia Najib seperti yang dibekalkan kepadanya oleh Perkhidmatan Risikan Singapura. Antara bahan rahsia itu ialah kerja-kerja kotor melibatkan rasuah Najib sepanjang dia menjadi Menteri Pertahanan. Singapura memang ghairah mahu Najib ditolak ke tepi daripada menjadi Perdana Menteri kerana mereka mahu terus menikmati peluang daripada kelemahan Abdullah yang lebih mesra dan mudah mengalah kepada Lee Hsien Loong dan kerajaannya di Singapura. Antara segala bahan bukti itu ialah kisah skandal Najib. Sememangnya selepas Anwar Ibrahim diaibkan, ramai dalam UMNO tidak peduli akan Najib lagi, lagi pun akar umbi Melayu mahukan para pemimpin mereka yang warak.
Antara serangan yang amat menghantui Najib ialah kisah bagaimana beliau menggunakan Razak Baginda dan beberapa orang lain untuk membalun lemak kepala santan daripada peruntukan Kementerian Pertahanan dalam mendapatkan kelengkapan perang. Jumlah yang mereka balun memang berjuta-juta dan dapat dicam dengan mudah kerana Najib memiliki akaun dalam Bank Singapura. Begitu juga dengan beberapa nomini beliau yang tidak semestinya taat kepada tuan politiknya.
Khairy pernah bercakap kepada Kalimullah Hassan Masheerul Hassan bahawa bukan susah sangat untuk mengetepikan Najib. Memang benar apa yang dikatakannya. Dengan pengaruh Khairy menguasai media, yang turut dikagumi oleh Mahathir Mohammad, Najib tidak ada peluang menggunakan media untuk pertahankan diri terhadap sebarang tuduhan oleh Abdullah dan Khairy. Segala kerja busuk Najib memang amat mudah dibuktikan kerana ia amat berbeza dengan usaha Mahathir yang cuba membusukkan Anwar Ibrahim. Najib mungkin cuba pertahankan dirinya tetapi tidak ada sesiapa yang sanggup mendengar dan mempercayainya. Dengan segala bahan bukti yang sudah dibuat oleh lawannya, Najib akan ternyata sama besar pembohong seperti Umi Hafilda yang berkata bahawa beliau masih berstatus dara sunti lagi. Dengan lain perkataan tidak ada sesiapa yang akan mendengar Budak Pekan itu lagi walaupun apa yang disebutnya mengandungi kebenaran.
Mahathir Mohamad sudah dapat tahu melalui orang-orang kepercayaannya, bahawa Khairy sudah bertungkus-lumus mengumpul segala bahan bukti daripada Singapura. Memang banyak yang telah dibelanjakan untuk memperolehi dokumen itu dan kebanyakan kos yang berbangkit telah ditanggung oleh syarikat GLC yang tahu siapa tuan baru mereka. Inilah salah satu sebab kenapa Mahathir begitu berang. Ketika muncul beberapa kenyataan adanya segelintir pemimpin yang menjual negara ini, Mahathir telah membuat kenyataan itu dalam kerangka masa depan. Sepatutnya dia membuatnya dalam kerangka masa silam... Penjualan sudah pun dibuat, harganya telah dibayar oleh Singapura, dan Khairy dapat apa yang diingininya sebagai bahan bukti untuk menguis keluar Najib Tun Razak daripada senario politik Malaysia.
Kumpulan yang rapat dengan Najib, termasuk mereka yang kerap menelefon Malaysia-Today, telah menyebut betapa Najib memang tidak ada tulang belakang untuk melawan sesiapa, waima kucing tempang berkaki dua. Akan tetapi keadaan sudah berubah kini. Najib sedar dia tidak dapat bertahan lebih enam puluh hari dalam penjara kalaulah dia dihenyak tuduhan yang pernah ditanggung oleh Anwar. Memang amat sukar untuk Najib membuat pendirian baru begini kerana selama ini dia memang amat berhati-hati. Pada masa dahulu dia mampu mendapat sokongan padu mahaguru dan bapa angkatnya dan merupakan penyokongnya yang paling setia. Kini keadaan sudah berubah dan ini adalah satu perkara RASMI bahawasanya Mahathir Mohamad tidak lagi memberikan sokongan beliau kepada Najib sebagai alternatif kepada Abdullah Badawi. Najib sudah kehilangan begitu banyak kredibiliti dengan Mahathir membuatkan si tua ganyut itu mencari calon baru untuk mencabar Abdullah. Kini, Mahathir sudah menganggap Najib sebagai seorang ahli politik yang pengecut tidak sama seperti Almarhum ayahandanya Tun Abdul Razak. Ini membuatkan Mahathir mencapai satu rumusan betapa rencananya selama beberapa tahun ini sudah gagal, segagal-gagalnya. Beliau menganggap Najib tidak layak untuk mewarisi warisan utama yang menjadi legasi Mahathir.
Buat masa ini Mahathir masih lagi mencari calon untuk menggantikan Najib sebagai anak emasnya. Setakat ini dia belum mendapati sesiapa lagi. Apa pun, dia masih memberikan Najib satu peluang terakhir untuk bangun dan mempertahankan legasi perwira lama. Sebarang gelagat Najib melaungkan kesetiaannya secara melulu kepada Abdullah tidak akan disenangi lagi oleh Mahathir dan dia sudah bersedia untuk menguis Najib keluar seperti mana dia menguis Anwar.
Sejurus pulang daripada menziarahi mantan Presiden Indonesia, Suharto yang sedang gering, Mahathir telah berkata adalah baik kalau Najib yang mengambil tempat Ghafar yang baru meninggal dunia itu. Setakat ini Najib tidak pernah berjaya mempertahankan apa pun legasi Mahathir dan kerana itu adalah lebih layak Najib disimpan sahaja di Makam Pahlawan. Itulah hujah beliau semasa bercakap dengan mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Mahathir menganggap hujahnya itu memang berasas.
Kini, Najib dan tetamunya sedang merencana satu usaha untuk mensabotaj sifat kenaikan Khairy secara mencanak untuk mengimpikan jawatan Naib Presiden UMNO yang kosong. Itulah beritanya yang anda dengar sekarang!!! Khairy tidak lagi berminat menjadi Ketua Pemuda UMNO. Dia sudah meletakkan sasaran untuk mengisi jawatan Naib Presiden UMNO, yang kosong disebabkan pengunduran Isa Samad. Segala usaha sudah dirancang agar semua calon pesaing seperti Mukhriz, Mokhzani dan Zahidi Zainul Abidin akan memberikan tumpuan mendapatkan sokongan puak Pemuda. Usaha itu tidak akan ke mana-mana kerana bukan golongan muda yang akan menyokong Khairy. Sokongan akan banyak datang daripada golongan tua kerana sudah dijanjikan habuan lumayan dan ada juga yang diugut oleh para penyokong Khairy. Mereka akan mengumumkan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada pelantikan Naib Presiden UMNO yang paling muda dalam sejarah parti selepas Ghafar ataupun Anwar.
Apakah hebatnya lagi untuk Khairy mengejar jawatan Ketua Pemuda? Apa guna menjadi seekor ikan besar dalam kolam kalau boleh menjadi seekor jerung di lautan? Malahan, Khairy sudah pun memilih orang yang akan menjadi proksi beliau untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO dan sekali lagi anda adalah orang yang mengetahui namanya dahulu; dia bukanlah berada dalam barisan Majlis Tertinggi (Exco) Pemuda UMNO. Akan tetapi memang sudah ada satu perjanjian bahawa insan ini akan mengejar jawatan Ketua Pemuda UMNO dan mendapatkannya sebagai proksi Khairy, sedangkan si anak muda itu akan cuba mengejar jawatan yang lebih gah sebagai Naib Presiden UMNO.
Najib sudah merancang agar tetamunya malam itu akan memainkan peranan sebagai tukang kacau. Beliau akan memainkan peranan sebagai seekor kuda belang yang akan muncul sebagai pencabar yang paling sesuai untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO. Segala andaian yang menyongsang sudah dipercayai oleh tukang komen politik termasuk Joceline Tan. Najib tahu semua itu ada sebagai topeng semata-mata. Pada saat akhir nanti tetamu tadi akan mengumumkan dia mahu mencabar Khairy bagi jawatan Naib Presiden. Dan apa juga jawatan lain yang diingininya. Dia menjadikan ini satu jihad bagi menyekat kemaraan Khairy dan terus mengekori beliau sehinggalah dia menjadi penghalang pertama kepada peluang Khairy naik ke atas. Setakat ini tentu para pembaca mahu tahu siapa dia si tetamu itu. Siapa pula mantan Timbalan Ketua Menteri, dan siapa pula yang akan menjadi proksi Khairy bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO.
Ini merupakan permulaan kepada satu siri baru dalam Hikayat Khairy Jamaluddin yang akan melakar aturcara peperangan antara Orang Lama dalam parti dengan golongan muda pelapis pemimpin UMNO, seperti yang berlaku kini. Untuk beberapa minggu mendatang, semua nama itu akan kita dedahkan. Buat masa ini masih terlalu awal lagi untuk merosakkan keseronokan kita. UMNO sedang menuju arah yang akan berantakan, seperti PKR sebelum ini. Kalau kita dedahkan nama itu semua akan menyenangkan Khairy sahaja. Cuma ada satu perkara yang mahu kita dedahkan sekarang; bahawa dalam peperangan antara Khairy dan Najib, Najib akan gagal dan kalah. Malahan dalam mainan terbaru Najib sudah pun mengucapkan selamat tinggal kepada peluang terakhir yang diserahkan kepadanya oleh mantan Perdana Menteri. Akan tetapi ini satu aspek peperangan itu juga. Masih ada Bapa-segala-pertempuran antara Orang Tua Yang Lama Berkuasa itu dengan Penggantinya yang dianggap sebagai penderhaka.
Akan bersambung ke bahagian 31
- MalaysiaToday
Terjemahan MT-SPAR - 07.05.2006 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Hikayat Khairy Jamaludin: Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 21 - 22 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN