TAG 1829-8:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 8
Antara Fajar Baru dan Lembayung Senja
(Sunset, sunrise)
Laporan Khas Malaysia Today - Laman M@RHAENBeberapa minggu yang lalu, salah seorang bekas Setiausaha Politik Anwar merangkap orang yang dipercayainya, Azmin Ali, telah membuat pendedahan dalam satu temubual. Secara selamba Azmin telah berkata betapa sejak pembebasan Anwar pada September 2004, Anwar Ibrahim telah menghabiskan banyak masa berbual di telefon dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Azman kelihatan berhati-hati dengan topik perbualan itu sambil menyebutnya sebagai ‘perbualan biasa' yang menyentuh isu terkini dan dasar kerajaan.
Dari satu sudut, Azmin telah membuat kiasan betapa Anwar kerap memberikan nasihatnya kepada Abdullah cara meningkatkan lagi prestasi kerajaan. Walaupun perkara ini boleh dipertikaikan - apabila mengambil kira betapa tingginya martabat jabatan Perdana Menteri - kenyataan Azmin itu mampu menyerlah satu pengertian betapa pun Anwar dianggap sebagai orang yang tidak diingini dalam Umno, beliau sebenarnya semakin cergas dalam kancah politik Malaysia.
Golongan yang skeptik (skeptics = pessimist) mungkin boleh dimaafkan seandainya mereka berfikir bahawa kenyataan Azmin itu hanya satu helah untuk melawan kehampaan ramai penyokong puak pembangkang yang merasakan Anwar sudah menghabiskan terlalu banyak masa di luar negara. Mungkin juga Azmin cuba menghidupkan kembali zaman dahulu kala di mana beliau merupakan orang dalam antara orang-orang dalam pejabat Anwar yang turut mencongak dan mewarnai strategi harian untuk pihak yang berkuasa. Namun demikian, kesahajaan dalam kenyataan Azmin itu mungkin ada juga kebenarannya.
Hakikatnya di kalangan orang-orang (dalaman) Anwar sendiri, di mana dinding kamarnya adalah begitu nipis sekali; apa juga titik-bengik semacam itu tidak pernah dirahsiakan. Malahan, kalaulah perbualan beliau dengan Abdullah ditentukan jauh daripada pengetahuan para pemimpin kerajaan yang lain, namun di pihak Anwar, perbualan telefon selalu sangat dibuat melalui telefon bimbit di depan para pelawat dan pengunjung. Mutakhir ini perbualan Anwar kerap sangat disaksikan oleh sesiapa sahaja yang hadir ketika itu seperti ilmuwan Islam yang datang mengunjunginya, pemimpin puak pembangkang, dan apatah lagi pembantu-pembantu khas yang memang sentiasa rapat berada di sisinya. Tidak menghairankan, para pembantu Anwar memang menaruh kebanggaan terhadap gelagat ketua mereka yang sentiasa berhubungan melalui telefon dengan Perdana Menteri Malaysia.
Sejurus beliau dibebaskan dahulu, Anwar pernah menyatakan hasrat mahu bertemu dengan Abdullah dan permohonan itu kerap diulang daripada katilnya di Jerman. Namun, permohonan yang dikemukakan oleh Azmin telah dipandang sepi sahaja. Ketika suasana ketakutan menular di kalangan pemimpin Umno kemungkinan Abdullah menerima kembali Anwar ke pangkuan Umno, sedangkan Umno sudah pun menganggap beliau sebagai seorang penderhaka, Anwar telah mencetuskan satu usaha mengadakan pertemuan itu secara terbuka dalam satu majlis sambutan Hari Raya.
Usaha pertemuan awal itu adalah satu pertanda bahawa Anwar tidak akan menggugat Abdullah, sekurang-kurangnya sepanjang tempoh pentadbiran Abdullah. Walaupun ada keraguan di kalangan Umno bahawa bayangan Anwar akan mula menghambat mereka yang pernah menganiaya beliau selama ini, nampaknya besar kemungkinan Anwar tidak akan menggugat kedudukan Perdana Menteri dan Presiden Umno. Malahan Anwar sudah muncul sebagai satu ikon yang berguna untuk menonjolkan imej Abdullah di tahap antarabangsa sebagai seorang pemimpin yang memang jujur mahu melakukan pembaharuan. Di tanah air sendiri rakyat biasa disogokkan idea betapa Abdullah memang ikhlas mahukan para hakim bebas membuat keputusan dalam kes Anwar, dan ini adalah satu gambaran akan ketokohannya. Walaupun ada pandangan para pemimpin Umno bahawa Anwar tidak dibawa masuk semula menganggotai parti, Abdullah ternyata mempunyai pendiriannya yang tersendiri.
Memanglah, pendirian begini mungkin tidak menonjol sangat ketika ini. Pembebasan Anwar telah membuatkan ramai pemimpin Umno yang melatah apabila mereka menyerang kumpulan (bererti Abdullah dan orang dalamannya) yang mungkin menyimpan hasrat agar Anwar masuk menganggotai Umno semula. Sesungguhnya kesangsian yang ada pada Hishamuddin Hussein dan anak-anak Mahathir - Mukhriz dan Mokhzani – bahawa Anwar berkemungkinan rujuk semula memanglah satu ketakutan yang tulen. Tidak ramai di kalangan pucuk kepimpinan parti yang mampu menyaingi karisma Anwar dan seandainya diadakan satu pertandingan terbuka di mana Anwar dibiarkan turut serta, besar kemungkinannya beliau akan menang. Namun demikian, kata-nista dan sindiran terhadap Abdullah serta anak menantunya sudah mencukupi untuk menyedarkan mereka akan sokongan yang mereka berikan terhadap Anwar pada hari-hari di awal bulan September 2004.
Apapun, di sebalik tabir pula Abdullah dan Khairy masih lagi mengekalkan satu bentuk perhubungan dengan Anwar. Abdullah sendiri pun diam membisu mengenai perbualan telefon dengan Anwar. Akan tetapi, Khairy mengambil sikap yang terbuka kepada rakan-rakan yang rapat dengannya, mengenai pertemuan beliau dengan orang kuat Anwar seperti pemimpin Pergerakan Pemuda PKR, Ezam Mohd. Nor. Mereka yang tahu akan kisah ini termasuklah orang yang rapat dengan Khairy yang semestinya penyokong Anwar juga seperti Zambry Abdul Kadir dan juga beberapa nama lain seperti Norza Zakaria.
Sebab musababnya terjadi perbezaan dalam sikap antara Abdullah dan Khairy memang amat jelas. Abdullah sudah pun menjadi seorang Perdana Menteri. Dia tidak terdesak memerlukan pertolongan Anwar kecuali sebagai contohnya dia dicabar oleh kuasa yang memihak kepada tauke lamanya, TKT Mahathir, yang mungkin diketuai oleh timbalan beliau, Najib Tun Razak. Sebaliknya, Khairy mahu menjadi seorang Perdana Menteri tetapi beliau masih belum sampai ke garisan penentuan itu lagi. Kerana itu dia amat memerlukan sebanyak mungkin sekutu memandangkan berapa sengitnya pertempuran yang perlu dihadapinya pada masa depan.
Hubungan baik antara orang-orang Abdullah dengan orang-orang Anwar sudah lama bermula sejak Abdullah mula-mula memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Ketika itu, Anwar dan Ezam masih berada di penjara - Ezam berada di Pusat Tahanan Kamunting sebelum dialihkan ke Penjara Kajang sementara Anwar dipenjarakan di Sungai Buluh. Dalam usahanya mahu menekan kerajaan, Ezam telah menghubungi anak lelaki Abdullah, Kamaluddin, melalui seorang orang tengah yang menganggotai pergerakan pemuda Umno, meminta bantuan Abdullah agar beliau memihak kepada penderitaan yang mereka hadapi. Tetapi sebagai seorang ahli perniagaan, Kamaluddin tidak ada minat dalam dunia politik, walaupun Kamaluddin dan Ezam pernah bertukar-tukar banyak mesej ataupun pesanan, tidak ada pun sebarang perubahan sehinggalah Kamaluddin menyatakan keluhannya kepada adiknya Nori.
Nori telah menunjukkan sedikit minat dalam perhubungan itu. Beliau telah bertanya kepada Abdullah, dan mengikut kata Ezam, Nori meminta Abdullah melakukan yang terbaik agar tahanan ISA dibebaskan. Nori turut memberitahu Khairy yang terus sedar betapa wujudnya nilai tambahan dalam memberi sedikit ruang beralah kepada Ezam. Tujuan berbuat demikian ialah menilai keadaan sebenar sejurus Abdullah menjadi Perdana Menteri.
Pada tahap awal cubaan itu jelas dingin sahaja. Tetapi dengan adanya mantan Timbalan Ketua Pemuda Keadilan, Hamdan Taha yang telah keluar parti untuk menyertai Umno semula, satu mesej (utusan pesanan) telah dihantar kepada Khairy menyatakan bahawa kem Anwar sudah bersedia untuk berunding.
Hamdan Taha sudah lama menjadi orang kanan Ezam. Kemasukannya semula menganggotai Umno tidak pernah diumumkan secara rasminya, kerana dibuat secara senyap-senyap sahaja. Namun, dia tetap memberikan nasihat kepada beberapa anggota utama Exco Pemuda Umno, khususnya bekas penyokong setia Anwar, Zambry Abdul Kadir. Zambry kerap mengajak Hamdan menghadiri beberapa sesi pertemuan Pemuda Umno di mana dia mendapat kesempatan bertemu dengan bintang muda yang menyerlah dan bernama Khairy Jamaluddin. Selepas beberapa pertemuan, Khairy sedar bahawa Hamdan adalah berguna untuk memberikan maklumat mengenai aktiviti parti pembangkang. Hamdan masih menjalin hubungan baik dengan beberapa pemimpin parti pembangkang termasuk Ezam. Walaupun dia sudah menganggotai Umno semula Hamdan kerap berbual dengan Ezam sama ada melalui telefon yang diseludup masuk penjara ataupun secara pertemuan peribadi semasa Ezam dihadapkan ke mahkamah. Sesungguhnya Hamdan adalah rakan akrab Ezam.
Pada satu ketika selepas berakhirnya satu perjumpaan Exco Pemuda Umno Hamdan telah mengajak Khairy berbual berdua, dan menyebut satu ‘cadangan’ padanya. Hamdan mencadangkan agar Khairy ‘menggunakan’ Anwar untuk menumpaskan sesiapa sahaja yang mencabar kedudukan Abdullah. Hamdan telah menyebut kisah para timbalan Mahathir yang tumpas di tengah jalan sebelum sempat menjadi Perdana Menteri. Kalau pada mulanya Keadilan kerap menyerang pelantikan Abdullah menjadi Timbalan Perdana Menteri, eloklah serangan itu ditumpukan sahaja ke atas Mahathir. Sebagai balasan, kes Anwar dan para tahanan ISA seharusnya menjadi tumpuan Abdullah (sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri) walaupun dia tidak boleh campurtangan secara terbuka.
Cadangan itu sungguh menyentuh Khairy sehingga beliau terjentik untuk mula menghantar mesej kepada Ezam melalui Hamdan.
Risikan dan bisikan itu tidak semestinya berakhir dengan kelegaan yang spontan kepada Anwar ataupun Ezam. Khairy memang begitu berhati-hati kerana beliau begitu kerap diawasi oleh puak Mahathir dan juga seterunya dalam kem Abdullah. Beberapa penyokong Abdullah seperti arwah Fawzi Basri dan Dr. Nordin Kardi adalah musuh ketat Anwar sejak 1970-an semasa mereka sama-sama memegang konsep ultra-nasionalis bertentangan dengan konsep liberal Islamiah yang dipegang oleh Anwar. Malahan, dalam kem Abdullah, memang wujud orang dalamannya seperti Aziz Shamsuddin yang telah mengadakan kenduri pada September 1998 untuk menyambut peristiwa pemecatan Anwar. Kalaulah Khairy mahu memainkan peranan pegawai seranta dengan kem Anwar, dia terpaksa berhati-hati agar tidak menggegarkan keadaan yang begitu rapuh.
Pada ketika itu Ezam memainkan peranan untuk merancakkan keadaan. Dia telah memberi arahan kepada penyokong Keadilan agar menyerang Khairy secara bertubi-tubi melalui Internet. Dia juga menentukan agar Khairy dikritik hebat di setiap pertemuan pelajar-pelajar yang ketika itu memang dirasuk hebat oleh penyokong PAS dan Keadilan. Akhirnya Khairy sedar bahawa dia perlu menerima pelawaan Ezam kalau tidak mahu bertentangan dengan musuh yang berada dalam Umno tetapi juga di kalangan puak pembangkang. Memanglah tidak ganjil menangani peperangan di dua medan perang tetapi adalah lebih bijak bagi Khairy berdepan dengan musuh dalaman yang mudah dikawal dengan menggunakan pengaruh kuasa bapa mertuanya.
Khairy telah menghantar satu mesej kepada Ezam mengatakan yang dia sudah bersedia untuk berunding.
Keadaan semakin jelas apabila Ezam dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. Khairy kini bertemu dan berbincang secara terbuka dengan Ezam yang selalu muncul bersama satu atau dua orang penyokongnya. Pada ketika itu juga pucuk kepimpinan Keadilan sudah semakin gelabah disebabkan keadaan kesihatan Anwar yang semakin kritikal dan segala usaha ditumpukan ke arah pembebasannya. Khairy adalah antara segelintir pemimpin Umno yang rapat dengan Abdullah yang ditemui oleh pucuk kepimpinan Keadilan untuk mendapatkan ihsan agar Anwar dibebaskan. Pemimpin Umno yang lain seperti Aziz Shamsuddin dan Setiausaha Politik Mahathir (yang sebenarnya orang Abdullah juga) Johari Baharom telah ditemui untuk mendapatkan pertolongan. Namun mereka tidak begitu berkenan dan bersimpati seperti Khairy. Orang lain sudah menganggap Anwar sebagai nasi basi sahaja. Tetapi Khairy mempunyai pendirian yang berbeza. Dia nampak bahawa Anwar mempunyai tempat dalam masa depannya yang begitu cerah di mana Khairy akan merupakan mentari yang paling besar sinarannya.
Ketika itulah Khairy mula memikirkan segala ancaman yang bakal dihadapi oleh Abdullah. Apabila semakin jelas bahawa Abdullah akan menggantikan Mahathir dan pelantikan itu bukan satu kerja olok-olok, Khairy mula memikirkan bagaimana cara mengukir satu masa depan kerjaya politiknya. Sebagai menantu kepada seorang Perdana Menteri, bintang Khairy memang cemerlang akan tetapi apa yang akan jadi seandainya si bapa mertua tidak lagi memegang jawatan itu? Apa yang akan jadi kalau kedudukan Abdullah hanya untuk satu tempoh yang singkat? Khairy tidak boleh bergantung harap kepada Najib Tun Razak yang menganggap Abdullah sebagai saingannya. Sudah tentu Najib tidak akan merestui pelantikan Khairy menduduki jawatan penting dalam pentadbirannya nanti. Untuk mewujudkan seorang calon menandingi Najib dalam Umno mungkin satu langkah yang tidak bijak kerana dari segi pengalaman kerja sahaja Najib sudah terkenal dan beliau mempunyai sokongan daripada para penyokong TKT Mahathir. Hanya satu alternatif yang dianggapnya berkesan, yakni menonjolkan seorang pencabar yang mampu mengalahkan Najib dalam satu pilihan raya yang terbuka dan adil. Orang itu ialah Anwar Ibrahim; dan Khairy faham bahawa Anwar boleh memainkan peranan itu dalam masa yang terdekat kalau tidak pun sepanjang pentadbiran Abdullah.
Inilah satu peranan yang sedia dilaksanakan oleh Anwar dan orang-orang yang rapat dengannya. Sejurus Anwar dibebaskan, Ezam terus berhubungan dengan Khairy. Sungguhpun Khairy mengambil sifat berahsia dengan pertemuan itu, ternyata sekali betapa rahsia itu hanya diamalkan oleh satu pihak sahaja. Ezam mempunyai perangai memberitahu segelintir pengikutnya apa yang berlaku. Malahan, dia kerap menyebut betapa Khairy kerap memberitahu apa yang sedang berlaku dalam Umno sebelum maklumat semacam itu diketahui umum.
Baru-baru ini Ezam telah bertemu dengan Khairy dan Reezal Merican Naina Merican. Dalam pertemuan itu Khairy dikatakan telah memberitahu Ezam bahawa besar kemungkinannya Isa Samad, seorang Naib Presiden Umno, akan digantung keahliannya selama enam tahun kerana politik wang dan beberapa bentuk korupsi yang lain. Ezam telah memberitahu kawan-kawan yang rapat dengannya termasuklah orang yang menyokong kuat Isa Samad. Maklumat semacam itu bukanlah perkara pelik sangat. Akan tetapi pertemuan itu berlaku enam hari sebelum Isa dipanggil untuk mendengar keputusan Jawatankuasa Disiplin Umno merupakan sesuatu yang aneh juga.
Kepercayaan antara Khairy dan Ezam lebih mirip merupakan kepercayaan antara sekutu politik dan bukan antara dua sahabat. Kedua-duanya berkongsi nasib naik mencanak dalam golongan istimewa di puncak kuasa politik Malaysia, dan kedua-duanya mempunyai cita-cita yang tinggi dan memang pintar dalam sepak terajang politik. Hanya sejarah yang akan menentukan apakah persahabatan antara Ezam dan Khairy ini akan dapat terus bertahan kerana keaslian dan keluhuran niatnya, ataupun hanya merupakan satu percantuman disebabkan penyesuaian keadaan semata-mata.
Buat sementara ini Anwar Ibrahim masih terus membuat panggilan telefon jarak jauh untuk berbual dengan Abdullah. Seperti yang disebut oleh Anwar sendiri, janganlah sesiapa cuba memandang sepi akan kewujudannya. Memang belum ada sesiapa yang berbuat begitu waktu ini – tidak juga Abdullah dan Khairy. Seandainya senario politik berubah dan serangan Mahathir terhadap pentadbiran Abdullah semakin memuncak, tidak syak lagi lembayung senja mungkin menyinar semula untuk memberi kilauan kepada pentadbiran Abdullah. Kalau Anwar ada bersama-sama dengannya, Khairy percaya beliau mampu menewaskan mana-mana pemimpin Umno yang cuba mencabarnya, termasuklah manusia yang disokong oleh Tun Kepala Taik Mahathir. Menunggukan kemunculan waktu seperti itu, Khairy bersiap dengan satu senjata lagi sebagai persiapan menghadapi perang besar dalam Umno. Senjata itu bernama duit.
Bersambung ke Bahagian 9: Lahirnya Seorang Jurujual
- MalaysiaToday
Hikayat Khairy Jamaludin: Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 21 - 22 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan
Terjemahan MT-SPAR - 30.08.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan: bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.