TAG 1829-9:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 9
Lahirnya Seorang Jurujual
(Birth of a salesman)
Laporan Khas Malaysia Today  - Laman M@RHAEN
Memang menyedihkan tetapi inilah satu kebenaran. Wang ataupun duit sudah menjadi darah-daging politik di Malaysia. Korupsi sudah pun membarah di kalangan parti-parti politik dan wang merupakan minyak pelincir yang memudahkan keghairahan seseorang memanjat tiang licin ke puncak kuasa. Wang memang sudah dianggap penting bukan sahaja sebagai sogokan kepada para pengundi dan para penyokong parti tetapi untuk menakut-nakutkan orang lain yang cuba mencabar sesuatu kedudukan yang sedang dikuasai. Lebih banyak wang di tangan, lebih mudah seseorang itu mempertahankan kedudukannya kerana orang lain yang mahu mencabar beliau akan naik takut dan kecut perut untuk terus menjadi calon pencabar yang berwibawa. Seseorang yang belum lagi serasi dengan jawatannya tetapi dibantu oleh beratus juta ringgit sudah tentu mampu menundukkan seseorang calon yang lebih berwibawa tetapi tidak ada bentuk kekayaan yang boleh diperagakannya kecuali kepintaran, pengalaman kerja dan usaha dirinya.

Inilah yang amat difahami oleh Khairy Jamaluddin. Sejarah Pemuda UMNO memang sarat diwarnai pelbagai contoh semacam ini sekurang-kurangnya sejak tahun 1990-an lagi. Pemuda UMNO sudah memilih wang untuk mengetepikan kebolehan ataupun bakat. Inilah cerminan parti induknya, tetapi kesibukan Pemuda UMNO untuk mengkayakan diri telah diperkuatkan oleh gelagat Zahid Hamidi yang telah menggunakan berjuta-juta ringgit yang dikeroyoknya semasa menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional (dan beberapa syarikat perumahan –penterjemah). Itulah dana yang digunakannya untuk melenyek jalan dan laluan dalam dunia politik sedangkan dia masih mentah dan tidak diketahui akan kualiti kepimpinannya. Barulah, semua pencabar beliau seperti Rahim Tamby Tak Kecik dan Isa Samad sedar betapa orang seperti Zahid hanya dapat dicabar dengan kekuatan wang dan penajaan politik yang lebih perkasa. Justeru, lahirlah budaya politik wang pada awal 1990-an di mana UMNO hilang haluan dan terus terjerumus ke lembah kedewaan.

Laluan permulaan Khairy Jamaluddin bukanlah dengan kekayaan walaupun latar belakang keluarganya sendiri merupakan golongan senang lenang hasil jasa seorang bapa yang pernah menganggotai masyarakat diplomatik negara. Namun, keluarga Khairy tidak dapat menandingi beberapa tokoh Pemuda UMNO seperti kelompok Hishamuddin Hussein – Najib Tun Razak yang merupakan zuriat seorang bilioner Melayu pertama - Tan Sri Noah. Ataupun keluarga Sikh Fadzir yang dianggotai oleh Kadir, Aziz, Musa dan Haidar yang mempunyai istana tersergam di Kulim yang dapat mengkerdilkan Istana Negara di Kuala Lumpur. Inilah yang membuatkan Khairy sedar betapa dia juga perlu mengumpul harta karun. Lebih-lebih lagi setelah mengambil kira bahawa kalau mengikut piawaian Malaysia, bapa mertuanya Abdullah Badawi bukanlah orang yang berharta sangat.

Satu asas memacak khazanah perbendaharaan politiknya telah diwujudkan untuk membolehkan para penyokong beliau menjangkau pengaruh mereka. Berbeza dengan gelagat ramai ahli politik UMNO yang terlalu bergantung kepada kontrak kerajaan untuk memperkayakan diri sendiri, Khairy tidak banyak menggunakan taktik itu. Ini tidak bererti bahawa Khairy meminggirkan kontrak kerajaan untuk kepentingan beberapa kroni politik beliau. Rozabil Abdul Rahman adalah seorang penerima kontrak kerajaan yang besar-besar di beberapa buah negeri. Beberapa ahli keluarga Khairy juga memiliki saham secara proksi dalam banyak syarikat. Kontrak yang diberikan kepada Rozabil sudah tentu merupakan kontrak untuk Khairy. Ini termasuk pelbagai projek seperti pembekalan air bersih kepada ratusan sekolah di Malaysia Timur dan pembekalan paip air kepada pejabat kerajaan di Kedah. Masa terus berlalu, dan orang politik dalam UMNO yang mahu membodek Khairy telah memberikan kontrak kepada puak-puak yang mereka anggap memang menyebelahi beliau. Itu sebabnya Menteri Besar Kedah, Syed Razak Syed Zain telah melantik ibu Khairy, Datin Rahmah sebagai (salah seorang) penasihat dalam urusan ekonomi dan kewangan negeri.

Kini ramai yang sudah mengetahui cerita betapa Raja AP Haniff Aziz adalah sepupu kepada Khairy Jamaluddin. Umum sudah mengetahui betapa Haniff yang pernah merupakan pegawai MITI telah diberikan puluhan ribu AP tanpa mempunyai kelayakan menerimanya. Segala AP itu telah diberikan walaupun tidak wujud bilik pameran (showroom) dan kebanyakan AP itu telah dijualnya dengan pantas kepada mengimport kereta yang tidak mampu menebuk pengaruh terhadap menteri yang bertanggungjawab. Inilah kunci rahsia kejayaan Haniff. Dia bukan sahaja berjaya disebabkan dia merupakan sepupu kepada Khairy Jamaluddin. Kononnya hubungan intim beliau dengan Ratu Rafidah Aziz adalah kunci rahsia yang sebenarnya. Hubungan yang intim dengan Rafidah (sehingga mereka berkongsi bantal tidur? – penterjemah) Itu kononnya sudah lama terjalin selama lima tahun. Inilah kunci yang membolehkan beliau menggentel peluang menyamun ratusan juta melalui AP sahaja.

Walaupun segala kontrak kerajaan itu ternyata menyerlah, semua itu adalah dianggap ‘kacang’ sahaja jika dibandingkan dengan gelagat mengumpul harta karun milik negara seperti yang pernah dilakukan oleh Daim Zainuddin, Rafidah Aziz dan Zahid  Hamidi. Khairy tidak pun dapat membalun berpuluh juta yang tidak memadai untuk memudahkan laluan naik ke mercu kuasa UMNO. Memang terdapat banyak ranjau dan onak dalam laluan seseorang ahli politik yang kini dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang ghairah mahu membasmi korupsi. Kerana itu Khairy perlu memikirkan rencana yang lebih besar mengumpul harta, pertamanya dalam himpunan yang banyak dan kedua mengikut cara yang kelihatan bersih dan halal.

Langkah pertama yang dilakukan oleh Khairy ialah mewujudkan satu syarikat yang dinamakannya Ethos Consulting. Ada dua sebab kenapa Khairy mahu menempatkan Ethos Consulting di pejabat Najib. Alasan utama sudah pun di dedahkan dalam artikel (hikayat) yang terdahulu. Alasan kedua ialah faktor ekonomi. Najib Tun Razak dianggap sebagai lembu suci kerana keupayaan beliau menguasai perbelanjaan besar terhadap pertahanan negara. Hubungan baik beliau dengan bekas Perdana Menteri TKT Mahathir dan sokongan yang diterimanya daripada Mahathir membolehkan beliau menerbus segala peluang dalam sistem aset negara. Ethos Consulting ditempatkan di kementerian itu sebagai batu loncatan kepada Khairy. Ketua Ethos Consulting ialah Dr. Liew, yang diberikan tugas rasmi memberikan nukilan idea bagaimana merombak kaedah perbelanjaan pertahanan dan kaedah perolehan. Sedangkan Dr. Liew sudah diketahui umum sebagai rapat dengan golongan politik di Singapura. Malahan Dr. Liew telah memberi maklumat kepada Khairy bagaimana para kroni beliau dapat diberikan kontrak yang penting pada harga yang sengaja dinaikkan tinggi, seperti amalan biasa dalam Kementerian Pertahanan sejak berdekad dahulu lagi.

Satu lagi sumber kewangan yang besar di bawah naungan Najib ialah FELDA. Satu ketika dahulu TKT Mahathir telah memberikan tugas itu kepada Menteri Kewangan Kedua, Jamaluddin Jarjis yang memang rapat dengan Najib. Abdullah telah menurunkan pangkat Jamaluddin tetapi oleh sebab kebanyakan tugas Jamaluddin dahulu adalah melaksanakan perubahan kepada FELDA yang sudah pun sampai ke tahap akhir perancangannya, satu kompromi dibuat untuk meletakkan FELDA di bawah naungan Najib. Dengan demikian Abdullah beranggapan bahawa Jamaluddin tidak berapa kecewa dengan tindakannya
dan Najib mudah dipertanggungjawabkan seandainya harta karun ini berada jauh daripada jangkauannya.

Walaupun FELDA berada di bawah bidang kuasa Najib, beberapa keputusan yang penting-penting banyak dipengaruhi oleh Khairy dan Ethos Consulting. Pada mulanya tugas pengstrukturan FELDA dan pengurusan jualan asetnya telah difaraidkan kepada Avenue Assets, milik kesayangan Jamaluddin. Sepatutnya Avenue mengenal pasti ruang di mana FELDA boleh diswastakan. Dengan demikian apa juga aset yang berharga boleh diagihkan secara jualan murahan kepada para kroni Jamaluddin. Walaupun Jamaluddin hanya merupakan seorang Menteri Kewangan Kedua, beliau telah berlagak seolah-olah dia adalah Menteri Kewangan Pertama. Justeru beliau telah melantik orang-orang yang rapat dengannya yang sudah tentu merupakan kroni Najib juga ke tempat yang penting dalam pengstrukturan itu. Apabila Abdullah naik menjadi Perdana Menteri dan Jamaluddin dinyahkan daripada kedudukan itu, Ethos Consulting telah dibawa masuk untuk menggantikan Avenue Assets. Orang-orang Jamaluddin telah dinyahkan untuk diganti oleh orang-orang Khairy. Salah satu syor utama yang dikemukakan oleh Ethos Consulting ialah penjualan aset sampingan, contohnya yang berada dalam industri perbankan dan perkhidmatan. Dengan cepat Ethos telah membuat cadangan agar orang-orang pilihan Khairy dilantik sebagai penasihat dalam urusan itu dan sekali gus mereka menerima komisen yang tinggi dalam urusan penjualannya. Ini bererti komisen untuk Khairy mencecah berjuta-juta ringgit dan dianggap tidak salah dari sisi undang-undang.

Apabila belum lagi dibuat keputusan terhadap kedudukan Felda, Ethos Consulting melakukan tugas bagi pihak Khairy untuk meneliti senarai aset yang ada. Apa yang disebut sebagai penelitian untuk mengadakan perubahan itu adalah bertujuan untuk mencari jalan yang lebih licik bagaimana Khairy boleh mengaut keuntungan yang besar. Para pengundi biasa mempunyai kepercayaan bahawa orang politik menjadi kaya-raya secara membolot kontrak, dan membalun apa juga peluang yang ada. Hakikat yang sebenarnya, amalan ini telah lama diketepikan oleh pemerintahan Abdullah Badawi kerana mereka memilih cara mendapatkan komisen melalui peranan sebagai penasihat kewangan kepada orang-orang yang rapat dengan Perdana Menteri dan pasukan anak menantunya.

Kerana inilah makanya Khairy mempunyai peranan sebagai Director of Corporate Advisory (Pengarah Urusan Nasihat Korporat) dalam ECM Libra. Memang jelas bahawa ini bukan pilihan utama beliau. Apabila merebaknya desas-desus tidak ada orang yang bergeliga dalam Jabatan Perdana Menteri dan Khairy memainkan peranan itu dalam setiap segi jabatan itu, Khairy telah cuba mencari jalan yang boleh memberikan beliau satu kedudukan yang sama besar pengaruh dan kuasanya seolah-olah dia bertugas di pejabat Perdana Menteri. Malahan, beliau telah lama mengidamkan satu jawatan yang perkasa untuk mampu mengumpul harta karun sehingga mampu menakut-nakutkan semua musuh politiknya daripada kelompok lama dalam pejabat Abdullah dan menutup mulut mereka untuk selama-lamanya. Itu sebabnya beliau menggunakan helah pengstrukturan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC – Government Linked Companies) sebagai laluan untuk menjamin kejayaannya.

Pengstrukturan Khazanah merupakan peluang beliau yang pertama. Ia bersandarkan penggunaan ‘Key Performance Index’ (KPI - Indeks Prestasi Utama). KPI merupakan satu idea ‘nukilan’ Ethos Consulting yang dikemukakan kepada kerajaan Malaysia. Sebenarnya rencana itu adalah sama iras seolah-olah ditiru daripada dasar kerajaan Singapura terhadap Temasek Holdings, yang merupakan milik kerajaan yang terkenal di sana. Dalam pengstrukturan Khazanah, Khairy berharap beliau akan dilantik ke jawatan yang paling penting, contohnya sebagai Chief Executive Officer (CEO – Ketua Pegawai Eksekutif) . Akan tetapi para pekerja yang bertugas di Khazanah merupakan pegawai kerajaan yang sudah lama berkhidmat dan berpengalaman. Mereka ini tidak senang dengan cadangan betapa seorang anak muda yang baru berusia 28 tahun akan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif mereka. Lagi pun Khairy belum ada pengalaman berniaga mahupun pengalaman bekerja, kerana belum lagi mempunyai sebarang pengalaman bekerja di mana-mana. Kalau ada pun, satu jawatan sementara yang pernah dipegangnya ialah sebagai wartawan sambilan kepada akhbar asing - dan itu pun untuk beberapa bulan sahaja.

Lantas meluaplah tekanan dalam Khazanah untuk menolak Khairy. Pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi telah berkumpul sesama mereka untuk menghantar kiasan dan bisikan kepada Abdullah betapa tindakan untuk melonjakkan Khairy adalah satu tindakan yang kurang bijak dan tidak sihat untuk kerjaya politik beliau. Lebih-lebih lagi beliau baru sangat menjadi seorang Perdana Menteri. Mereka berhujah kalau betul Abdullah mahukan seorang anak muda yang berpengalaman untuk memimpin Khazanah, eloklah beliau memikirkan beberapa orang pakar muda yang bertugas sebagai perunding dalam krisis ekonomi negara pada 1977 dahulu lagi. Itu sebabnya Azman Khalid telah terpilih untuk mengisi jawatan yang diidamkan oleh Khairy.

Akan tetapi Khairy tidak berputus asa. Pelantikan Azman sebagai CEO mempunyai syarat jelas untuk menentukan dasar urusan Khazanah. Tetapi akan dilantik seorang Chief Operating Officer (COO) Ketua Pegawai Operasi) untuk urusan harian Khazanah. Azman telah dipanggil oleh Menteri Kewangan Kedua, Mohd Nor Yakcop untuk membuat pengumuman secara rasminya dan beliau telah diberikan cadangan agar Khairy dilantik sebagai COO. Malahan, Nor telah memberitahu Azman bahawa Abdullah sudah pun memberikan arahan agar surat pelantikan Khairy dibuat secara rasminya.

Azman tidak berkata apa-apa. Setelah berada di pejabatnya beliau telah memanggil Khairy e pejabatnya. Khairy beranggapan yang Azman mahu memberitahu bila beliau boleh memulakan tugas sebagai seorang COO. Dengan penuh keyakinan beliau masuk ke pejabat Azman dan duduk secara selamba di sebuah kerusi yang bertentangan dengan Azman. Secara selamba Azman mulakan perbincangan mereka dengan menyebut betapa wujudnya satu jawatan dalam pertubuhan itu yang patut diisi. Khairy menjawab yang dia sudah pun tahu hal itu. Azman membalas betapa nama Khairy ada disebut untuk mengisi jawatan tersebut. Khairy menjawab lagi bahawa dia pun sudah tahu akan perkara itu. Azman membalas dengan mengatakan betapa Khairy mungkin didapati sesuai mengisi jawatan tersebut. Oleh itu dan untuk memuaskan penyelidikannya dia mahu Khairy mengemukakan satu ‘Curriculum Vitae’ (CV) untuk membolehkan beliau membuat kepastian. Khairy terkejut beruk dan meninggalkan bilik itu dengan serta merta.

Barulah Khairy sedar betapa Azman telah berlemah lembut menyatakan kepadanya yang dia tidak sesuai untuk jawatan itu dan dia memang tamak dan haloba untuk mengisinya. Memang jelas betapa Azman telah menyindir akan kekurangan pengalaman Khairy dalam bidang ekonomi dan kewangan. Walaupun Khairy pada mulanya memang amat marah terhadap Azman, sebenarnya Azman telah menyelamatkan beliau daripada satu jerangkap samar politik. Itu sebabnya dia membuat persiapan untuk mengisi jawatan CEO Khazanah dan tidak lagi sebagai seorang COO pertubuhan itu. Untuk melakukannya, Khairy perlu bertindak mencari sedikit pengalaman yang berkaitan.

Khairy telah pergi berjumpa teman lamanya Kalimullah Hassan Mohamed Hassan. Kai merupakan rakan tidur dalam satu rangkaian tiga gandingan (troika) yang dianggotai oleh dua orang Cina dan seorang India yang berjaya memajukan ECM Libra. Itulah sebuah syarikat yang dimajukan sehingga menjadi berpengaruh dalam bidang kewangan. Kali faham dan sedar betapa Khairy akan kehilangan punca dalam bidang kewangan. Sebagai seorang muda dalam dunia politik sudah tentu Khairy tidak ada masa dan kesabaran untuk membaca butiran dalam penyata ‘discounted cash flow’ dan penyata yang penuh angka. Lantas Kali mencadangkan agar Khairy masuk menganggotai ECM Libra sebagai seorang pakar seranta. Dengan lain perkataan Khairy akan menggunakan hubungannya dengan pihak atasan tanpa memerah otak untuk menjadikan ECM Libra menjadi lebih kaya-raya. Orang biasa yang tidak tahu-menahu akan muslihat dunia kewangan tidak akan tahu betapa jawatan Khairy sebagai pengarah nasihat korporat tentulah beranggapan bahawa itu tugas yang ada kena-mengena dengan kewangan. Di sebalik pangkat sebagai seorang pengarah itu Khairy sebenarnya bukanlah seorang pengarah syarikat yang sebenar. Sebagai seorang yang berjawatan pengarah ECM Libra, memang nampaknya beliau adalah seorang yang berpangkat besar. Hakikatnya dia bukanlah menganggotai Lembaga Pengarah syarikat itu. Nasihat korporat adalah nama cantik yang berbau kewangan. Sebenarnya orang yang memegang jawatan seperti itu adalah laksana seorang jurujual luar biasa yang membawa masuk bisnes kepada syarikat.

Para anggota pertubuhan Pemuda UMNO tidak akan tahu betapa timbalan ketua pemuda UMNO adalah seorang jurujual yang dijolokkan pangkatnya menjadi gah dan indah. Namun, pangkat yang gah itu bukanlah satu hiasan semata-mata. Khairy bukannya seorang jurujual yang biasa. Dia mempunyai ruang dan peluang untuk mengaut keuntungan. Khazanah merupakan satu pertubuhan milik kerajaan yang akan menjadi bahan utama untuk beliau membahamnya.

Bersambung ke Bahagian 10:     Jurulelong Negara

- MalaysiaToday

Hikayat Khairy Jamaludin:  Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 2122 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan

Terjemahan MT-SPAR  - 01.09.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net.   Cerminan: bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.