![]()
TAG 2404:
Boleh Caya Malaysia Today Ke?
(Boleh Caya Malaysia Today Ke?)
Oleh Raja Petra Kamarudin- Laman M@RHAEN
![]()
Tengku Razaleigh Hamzah akan bertanding bagi jawatan Presiden UMNO dengan Muhiyuddin Yassin sebagai regunya, sedangkan mereka akan mencabar Abdullah Ahmad Badawi yang akan memilih Najib Tun Razak sebagai regunya.
“Tak boleh percaya langsung,” demikian kata sebuah lamanweb UMNO yang kini menjalankan satu ‘poll’ untuk mencari jawapan apakah yang disebutkan oleh Malaysia Today satu kebenaran ataupun sesungguhnya pembohongan. Baiklah, kalau tak boleh percaya, tak boleh percayalah! Nak buat macam mana? Lagi pun, kata UMNO, bloggers adalah golongan yang suka berbohong.
Marilah kita tinjau pelbagai pembohongan yang kononnya telah diputar oleh Malaysia Today, untuk mengukuhkan kajian ‘poll’ lamanweb UMNO itu. Memanglah apa yang diterapkan ini merupakan hanya segelintir pembohongan yang telah diputar oleh Malaysia Today sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tentunya masih banyak lagi yang lain.
Pada 2005, Malaysia Today pernah berkata bahawa Khairy Jamaluddin, anak menantu Perdana Menteri akan bertanding di Dewan Undangan Negeri Rembau pada pilihan raya umum 2008 ataupun 2009. Malaysia Today telah berbohong kerana Khairy telah bertanding kerusi Parlimen Rembau.
Pada 2006 Malaysia Today berkata bahawa Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi akan mengahwini Jeanne Danker pada akhir Februari ataupun awal Mac 2007. Ini telah dinafikan sendiri oleh Paklah. Malaysia Today telah berbohong. Kerana mereka menikah pada 9 Jun 2007. Ini bermakna Malaysia Today telah tersasul tarikh sebanyak tiga bulan sahaja.
Tahun lalu, Malaysia Today berkata bahawa Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi telah membeli sebuah airbus dengan harga RM200 juta, sebuah kapal layar (yatch) bernilai RM30 juta dan sebuah rumah di Australia dengan harga RM60 juta. Malaysia Today telah berbohong kerana Airbus itu telah dibeli oleh Kerajaan Malaysia, kapal layar telah dibeli oleh Ananda Krishnan dan rumah di Australia telah dibeli oleh isteri Patrick Lim.
Sekitar Julai 2007 Malaysia Today pernah berkata bahawa pilihan raya umum yang baru mungkin diadakan pada 15 Mac, 2008. Tarikh sebenar ialah 8 Mac, 2008, tekaan Malaysia Today telah tergelincir hanya dengan tujuh hari sahaja.Ketika kes perbicaraan pembunuhan Altantuya bermula pada 2007, Malaysia Today telah meramalkan satu perbicaraan yang pantas di mana tiga orang tertuduh akan dibebaskan gara-gara kekurangan bukti sahih . Malaysia Today telah berbohong kerana setakat ini perbicaraan masih dijalankan dan pihak pembela belum pun dipanggil oleh mahkamah.
Pada awal 2008, Malaysia Today telah meramalkan pelancaran “Operasi Lalang” kedua yang dinamakan Ops Bersih di mana antara 20-30 orang pembantah dan aktivis politik akan ditangkap di bawah ISA, tiga bulan selepas pilihan raya umum Mac 2008. Malaysia Today telah berbohong. Penangkapan berjalan selama dua bulan sahaja dan bukannya tiga dan mengikut Akta Hasutan dan bukan ISA. Lagi pun, bukannya 20-30 orang yang ditangkap tetapi kurang daripada sepuluh orang setakat ini (lima orang lagi akan dikenakan tuduhan pada akhir bulan ini).
Sejurus Parlimen (dahulu) dibubar, Malaysia Today telah berkata bahawa Pakatan pembangkang akan menang 90 kerusi Parlimen. Malaysia Today telah berbohong kerana pakatan pembangkang hanya berjaya menang 82 kerusi Parlimen sahaja.
Malaysia Today juga telah berkata bahawa pakatan pembangkang akan menang lima negeri – Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang – sedangkan Barisan Nasional akan mengekalkan Perak dan Selangor dengan majoriti satu hingga dua kerusi sahaja. Malaysia Today telah berbohong. Walaupun pakatan pembangkang menang lima negeri, ia tidak menang di Perlis dan Terengganu sedangkan Barisan Nasional tidak menang di Perak dan Selangor dengan majoriti satu ataupun dua kerusi. Sebaliknya dua negeri itu jatuh kepada pakatan pembangkang.
Malaysia Today juga pernah berkata bahawa pakatan pembangkang itu akan diberi nama Barisan Rakyat akhirnya dan poster memaparkan Barisan Rakyat telah dicetak dan diedarkan. Malaysia Today telah berbohong. Pakatan Rakyat adalah namanya dan bukan Barisan Rakyat.
Selepas pilihan raya umum, Malaysia Today berkata bahawa 30 anggota Parlimen Barisan Nasional akan melompat menganggotai Pakatan Rakyat yang kini sudah pun menguasai 82 kerusi Parlimen. Barisan Nasional yang menguasai 140 kerusi Parlimen akan melihat kerusinya mengecut kepada 110 kerusi, berbanding 112 kerusi milik Pakatan Rakyat. Malaysia Today telah berbohong kerana ini tidak pun berlaku dalam tempoh hari yang diramalkan. Sebaliknya ia memakan beberapa bulan juga dan mungkin 40 kerusi yang melompat dan bukannya 30 kerusi.
Malaysia Today telah berkata bahawa Sabah dan Sarawak yang memiliki 56 Kerusi Parlimen – 25 dan 31 kerusi - tetapi diberikan hanya tiga jawatan Kabinet (dan yang tidak penting sahaja berbanding MCA yang hanya berjaya dengan 15 Kerusi Parlimen tetapi diberikan 13 jawatan Kabinet) menjadi kurang senang hati akan merungut bahawa mereka diikhtiraf laksana anak tiri. Malaysia Today telah berbohong. Kelmarin mereka memang merungut tetapi tidak pun menyebut perkataan anak tiri.
Malaysia Today telah berkata bahawa lebih daripada 40 tahun Sabah dan Sarawak telah menikmati hanya 5% royalti minyak dan mereka tidak senang hati dengan angka yang rendah ini. Malaysia Today pernah berkata mereka mahu mendesak 20% royalti yang mencecah RM5 bilion setahun kepada dua negeri tersebut dan kalau kerajaan pusat tidak bersetuju mereka akan lancarkan satu Referendum agar dua negeri itu meninggalkan Malaysia. Malaysia Today telah berbohong. Kelmarin mereka merungut tentang 5% royalti minyak dan menuntut ia dinaikkan kepada 20%, tetapi tidak pula mereka melancarkan satu Referendum agar Sabah dan Sarawak untuk tinggalkan Malaysia.
Tahun lalu, Malaysia Today berkata bahawa Tengku Razaleigh Hamzah akan bertanding bagi jawatan Presiden UMNO dengan Muhiyuddin Yassin sebagai regunya, sedangkan mereka akan mencabar Abdullah Ahmad Badawi yang akan memilih Najib Tun Razak sebagai regunya.Aduhai....memang memeningkan perkara ini semuanya. Saya tidak fikir saya boleh teruskan. Tidak satu pun ramalan Malaysia Today yang mengena dan ramalannya menjadi nyata. Patutlah lamanweb UMNO melancarkan kutipan ‘poll’. Saya fikir saya akan hentikan kerja ramal-meramal ini dan sebaliknya hanya menulis laporan akan setiap kejadian yang telah berlaku. Inilah lebih selamat dan tidak boleh silap kalau anda mengambil kira hasil yang sudah menjadi nyata.
15.05.2008 - Terjemahan marhaintua (MT-SPAR)
(suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Sudah daftar Akaun Percuma?
Termasuk download upgred pun PERCUMA!![]()
Emel