![]()
RM3 BILION WANG ROYALTI TERENGGANU DISELEWENG?
![]()
![]()
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang mendedahkan bahawa Terengganu tidak menerima wang royalti yang dibayar kepada negeri itu sebanyak RM3 bilion sejak 2004. Semalam Menteri di JPM, Datuk Amirsham A. Aziz memberi tahu Dewan Rakyat bahawa Petronas telah membayar sebanyak RM7.3 bilion royalti kepada Terengganu semenjak 2004. Walau bagaimanapun, Terengganu mendakwa hanya menerima sebanyak RM4.3 bilion sahaja dalam tempoh tersebut.
Dengan pendedahan oleh Menteri Besar Terengganu ini, bermakna sebanyak RM3 bilion telah tiris daripada dana rakyat Terengganu. Itupun, wang sebanyak RM4.3 bilion yang diterima oleh Terengganu adalah melalui Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau lebih dikenali sebagai wang ehsan. Sedangkan, dalam perjanjian Terengganu-Petronas tentang hak petroleum, Terengganu dijanjikan untuk dibayar royalti. Ini bermakna, wang sebanyak RM4.3 bilion ini juga tidak dimiliki secara mutlak oleh Kerajaan Terengganu, sebaliknya oleh Kerajaan Persekutuan, cuma disalurkan kepada Kerajaan Terengganu dan dimasukkan dalam bajet semenjak 2004.
Penyelewengan wang royalti dilakukan oleh Kerajaan BN semenjak 2000 apabila PAS menguasai negeri tersebut, tetapi menteri tidak mendedahkan jumlah royalti yang dibayar kepada Terengganu dalam tempoh tersebut. Pada 2000 sahaja dijangka RM1 bilion royalti perlu dibayar kepada Terengganu, tetapi dirompak oleh Kerajaan BN di peringkat Pusat dan ditukar menjadi wang ehsan yang diagihkan melalui Umno Terengganu. Dalam tempoh empat tahun pertama rompakan royalti ini, sebanyak lebih RM4 bilion telah diselewengkan. Kemudian, apabila Umno menguasai semula Terengganu, dengan peningkatan pengeluaran minyak dan kenaikan harga minyak dunia, jumlah royalti meningkat dua kali ganda kepada RM7.3 bilion sehingga 2007 atau RM157 bilion jumlah sumbangan Terengganu kepada Petronas.
Satu isu yang amat besar di sini ialah penyelewengan wang sebanyak RM3 bilion yang tidak diketahui ke mana dibelanjakan, tidak termasuk lebih RM4 bilion yang diselewengkan antara 2000 hingga 2004. DPP Pusat tidak menerima jika wang RM3 bilion ini dibelanja oleh Kerajaan Pusat untuk pembangunan Terengganu kerana ia adalah milik Terengganu, bukannya milik Pusat. Lebih membimbangkan lagi jika wang ini diselewengkan oleh menteri besar sebelum ini, Datuk Idris Jusoh. Kerana itu beliau berkeras mahu terus menjadi menteri besar bagi mengelakkan penyelewengan ini didedahkan. DPP Pusat percaya jumlah yang disebut oleh Datuk Ahmad Said sebanyak RM4.3 bilion yang dimasukan dalam bajet Terengganu itu termasuk yang digunakan untuk membina projek membazir di Pulau Wan Man dan Piala Monsun.
SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat16.05.2008
Emel