Boikot Utusan Meloya  Laman M@RHAEN


 
 

Siapa tak kenal dengan Utusan Malaysia dengan motto akhbarnya 'Penyebar Fikiran Rakyat' ataupun maksud yang tersiratnya 'Peracun Fikiran Rakyat'
 
Utusan Malaysia yang merupakan lidah parti UMNO dikritik kerana mengamalkan dwistandard dalam menyiarkan berita yang melibatkan parti-parti politik.
 
Ketika Lim Kit Siang, penasihat parti DAP menyarankan ahli-ahli DUN DAP Negeri Perak agar tidak menghadiri majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak dari PAS yang hanya memenangi 6 kerusi (DAP 18 kerusi), Utusan Malaysia telah 'menghentam' beliau dengan tajuk muka depan "DAP Biadap" (biadap kerana MB PAS diperkenankan oleh Raja Perak). Walau bagaimanapun, Lim Kit Siang telah menarik balik saranan tersebut dan memohon maaf dengan Raja Perak. Malah, beliau turut hadir majlis tersebut bagi menyampaikan tahniah kepada MB Perak.
 
Sebaliknya, apabila Terengganu menghadapi isu di mana 23 ADUN BN dengan segera mengumumkan untuk memboikot majlis angkat sumpah MB Terengganu sebaik sahaja ayam tambatan mereka Idris Jusoh tidak terpilih sebagai MB (Sultan Terengganu telah memilih Ahmad Said yang bukan dicalonkan oleh Perdana Menteri Malaysia Abdullah Badawi), Utusan Malaysia tidak menimbulkan sebarang provokasi dan rentetan propaganda dan tidak menyiarkan sesuatu berita dengan tajuk muka depan seperti "UMNO Biadap" ataupun lainnya. Malah, tiada seorangpun di kalangan 23 orang ADUN tersebut yang memohon maaf kepada Sultan Terengganu.
 
Di samping itu, Utusan Malaysia turut dikritik kerana memutar-belitkan ucapan yang diberikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng atas isu "tender terbuka" [1]. Ia telah mengaitkan isu tersebut dengan isu perkauman (antara lain rusuhan perkauman 13 Mei 1969) bagi mengelirukan pembaca umum padahal Lim Guan Eng tidak menyentuh langsung dengan isu kaum. Bernama yang pada mulanya melakukan kesilapan yang sama telah memohon maaf daripada Lim Guan Eng. Walau bagaimanapun, Utusan Malaysia enggan berbuat demikian, malah dilihat semakin kuat mengamalkan laporan berat sebelah terhadap anggota-anggota Pakatan Rakyat, contohnya dalam isu penternakan khinzir berpusat di Selangor.
 
Yang terbaru laporan yang digembar-gemburkan oleh Utusan yang melaporkan tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan hak Sultan Perak berkaitan pertukaran 24 jam Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) Datuk Jamry Sury yang boleh dianggap tidak menghormati Rukun Negara.
 
Sedangkan Karpal Singh berkata beliau tidak bertujuan untuk menghina Sultan dan ianya adalah pandangan peribadi beliau dari perspektif undang-undang.
 
Pakatan Rakyat berpendirian tegas mendukung kedudukan Raja-Raja sebagai Raja ber-Perlembagaan, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan semua pihak harus menerima bahawa seseorang Menteri Besar mempunyai bidang kuasa untuk memindahkan mana-mana pegawai eksekutif di negerinya, namun bagi jawatan yang berkaitan dengan Majlis Agama Negeri, Sultan sebagai Ketua Agama Negeri seharusnya dirujuk terlebih dahulu.
 
Kami berharap semua pihak akan menerimanya juga dan berhenti segera dari menggembar-gemburkan isu ini sehingga boleh menimbulkan ketidakstabilan dan ketegangan kaum,"

Paling sensasi pula sekarang ini ialah Utusan Malaysia terus menjadi agen pemusnah dan racun fikiran rakyat dalam isu memburuk-buruk imej pemimpin dan parti-parti Pakatan Rakyat seolah-olahnya kempen pilihanraya umum ke-12 masih tidak selesai.
 
Utusan Malaysia dan Umno khususnya memang tidak tahu malu dalam menyebarkan berita masalah dalaman parti mereka. Utusan kena ingat pembaca Utusan bukan semuanya menyokong kerajaan dan kini sahlah sejak sekian lama Utusan Malaysia adalah lidah rasmi suara UmnoBN.
 
Kami sebagai rakyat semakin muak dan jelak dengan sebaran dan paparan berita yang melampau sehinggakan etika-etika kewartawananpun seolahnya sudahpun dilacurkan oleh media yang digelar media arus perdana.
 
Tidak dinafikan Utusan Malaysia memainkan peranan besar dalam usaha negara kita menuntut kemerdekaan dari British dan asal usul sejarahnya bermula dengan Kumpulan Utusan diperbadankan pada tahun 1938 di Singapura sebagai Utusan Melayu Press Limited. Akhbar ulungnya, Utusan Melayu, telah dilancarkan pada 29 Mei 1939. Dengan menggunakan Jawi, iaitu tulisan Arab, akhbar tersebut dicetak di Singapura dan memenuhi kehendak para pembaca yang celik Jawi di Tanah Melayu jajahan British.
 
Pada bulan Februari 1958, lima bulan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, ibu pejabat Utusan Melayu telah dipindahkan ke ibu negara Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, Kumpulan Utusan telah memperkukuhkan kedudukannya dan terus memainkan peranan utama sebagai penyumbang aktif dalam pembangunan ekonomi, sosial dan politik Tanah Melayu, yang pada tahun 1963 diperluaskan untuk merangkumi wilayah yang lebih besar untuk menubuhkan negara Malaysia.
 
Itu semua tinggal sejarah kerana Utusan Malaysia sudahpun dbeli dan dimiliki oleh juak-juak Umno.
 
Kini sepakat 5 buah negeri Pakatan Rakyat melalui Majlis Menteri-menteri Besar lima buah negeri yang ditadbir di bawah Pakatan Rakyat, menyeru rakyat supaya memboikot akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.
 
Utusan Malaysia bersikap keterlaluan dan tidak profesional serta tidak adil, kerana terus memburuk-burukkan serta memutar-belit berita tentang pentadbiran negeri dan juga agenda kerajaan gabungan Pakatan Rakyat.
 
Semua jabatan dan institusi kerajaan di lima negeri di bawah pentadbiran Pakatan juga diarahkan untuk berhenti membeli akhbar tersebut dan juga berhenti memberikan iklan kepada mereka.
 
Raja-Raja dipolitikkan secara besar-besaran dan tidak bermaruah, terutama oleh media milik parti-parti dalam kerajaan BN Pusat dan sesetengah pemimpin Umno.
 
Oleh itu jangan kita berlengah lagi terus mulakan boikot di rumah dan pejabat anda walaupun mungkin saudara tinggal di negeri yang masih lagi diperintah oleh UmnoBN. Sewajarnya Utusan Malaysia membuat nota besar di kepala surakhabar dengan mesej untuk ahli Umno sahaja.
 
Sekali ini kita bagi mereka pengajaran.. sehingga mereka sedar dari noda dan dosa pelacur media yang menjilat kaki pemimpin-pemimpin Umno...
 

Sumber : Jundullah

- PAS Johor Bahru
Layari : http://www.pasjohorbahru.com

16.05.2008

Ditaja oleh:


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Emel